Monday, September 12, 2022

HADIS SAHIH BERTEMBUNG DENGAN AMAL AHLI MADINAH

 HADIS SAHIH BERTEMBUNG DENGAN AMAL AHLI MADINAH

 

Dalam metode mazhab Maliki, sesuatu hadith Ahad yang sahih, jika bertembung dengan amal ahli Madinah, maka hadith ahad yang sahih itu tidak boleh dijadikan sandaran hujah.

 

Maliki beranggapan bahawa penduduk Madinah adalah orang yang paling rapat dengan nabi. Justeru sesuatu amalan yang sabit dalam Hadith hendaklah selaras dengan amal ahli Madinah. Jika bertembung, hadis Ahad (walaupun sahih sanad) tersebut wajar diragui.

 

Dengan sebab itu, terdapat beberapa amalan yang terkenal dalam mazhab Syafie, hanbali dan Hanafi, tetapi ia dianggap sebagai tidak ada dalam mazhab Maliki. Contohnya puasa 6 di bulan Syawal—semua ulama menganggap ia sebagai sunat, tetapi Maliki menganggap ia sebagai makruh.

 

Dalam kitab ini, Dr Rifaat Fauzi mendatangkan kritikan Syafie terhadap pendekatan mazhab Maliki dalam hal ini.

 

Beliau menjelaskan juga bahawa, selain al-Syafi'i, di sana terdapat ulama lain turut sama mengkritik, seperti IMAM AL-LAIS BIN SA'AD yang sezaman dengan Imam Malik malah mereka pernah bertemu, dan IMAM IBNUL QAYYIM melalui kitab beliau I'LAM AL-MUWAQIIN dan IBN HAZM dalam kitab AL-IHKAM. Tidak kurang juga murid Imam Malik dan juga imam Abu Hanifah, iaitu imam MUHAMMAD BIN HASAN AL-SYAIBANI.

 

Antara kritikan yang dilakukan adalah seperti berikut;

 

(a)                Menolak dakwaan Imam Malik bahawa berlaku ijmak dalam kalangan ahli Madinah. Syafie menjelaskan bahawa ijmak yang diiktiraf adalah kesepakatan ulama yang berlaku di seluruh negara, bukan dibataskan kepada penduduk Madinah sahaja.

 

(b)                al-Lais menyatakan bahawa terdapat beberapa perkara yang amal ahli Madinah bercanggah dengan amalan sahabat yang berada di luar Madinah.

 

Antara contohnya, Ahli Madinah menjamakkan sembahyang maghrib dan isyak pada waktu malam yang hujan, sedangkan sahabat yang berada di Iraq, syam dan Mesir tidak melakukannya.

 

Malahan Umar bin Abdul Aziz juga tidak melakukan amalan tersebut.

 

(c)                 Hujah Syafie lagi, apabila sesuatu hadis Ahad itu telah berjaya dibuktikan bahawa ia adalah sahih dan sanadnya terdiri daripada para siqah, maka itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa hadis itu boleh dijadikan sebagai sandaran.

 

(d)               Syafie turut berhujah bahawa susunan dalam pengambilan sumber hukum adalah bermula dari Al-Quran, kemudian hadis, kemudian ijmak dan qias.

 

Jika Maliki melihat hadis dengan diikat faktor amal ahli Madinah, susunan itu sudah songsang. Yang sepatutnya dari atas ke bawah, sudah jadi dari bawah ke atas.

 

Sumber: Rif’at Fawzi Abd al-Muttalib, Tawsiq al-Sunnah fi al-Qarn al-Sani al-Hijri, (Mesir, Maktabah al-Khanji, 1981), cetakan pertama, hlm 281-282




No comments:

Post a Comment

IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI

  IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI   وَالْحَقُّ كَمَا قَالَ شَيْخُ الْإِسْلَامِ ابْنُ تَيْمِيَةَ:   إِنَّ كُلًّا مِنَ الدَّلِيل...