Tuesday, April 12, 2022

MAKSUD SIQAH DI SISI IMAM SYAFIE

 MAKSUD SIQAH DI SISI IMAM SYAFIE


Persoalan ini sering ditanyakan kepada saya, iaitu siapakah perawi yang dimaksudkan oleh Imam al-Syafii dalam ucapan beliau "seorang thiqah memberitahu saya (أخبرنا الثقة)" dalam buku-bukunya?

 

Jawapan untuk persoalan ini pernah saya muatkan dalam buku saya yang bertajuk Fiqh Hadith Imam al-Syafii. Berikut adalah ringkasannya:

 

1. Beberapa pendapat telah diajukan untuk menjelaskan maksud al-Syafii di sini. Satu pendapat mengatakan bahawa perawi yang dimaksud adalah Yahya bin Hassan. Ada juga yang mengatakan: Ahmad bin Hanbal. Dan beberapa pendapat lainnya.

 

2. Sesetengah ulama mengkaitkan maksud al-Syafii di sini dengan perawi yang berada di atasnya. Jika al-Syāfi‘ī meriwayatkan daripada seseorang daripada Al-Laith bin Sa'ad, maka orang yang dimaksud itu ialah Yaḥyā bin Ḥassān.

 

Jika beliau meriwayatkan daripada al-Awzā‘ī, maka orang itu ialah 'Amr bin Abī Salamah.

 

Jika daripada Ibn Abī Dhi'b, maka orang itu ialah Muhammad bin Muslim bin Abī Fudayk.

 

Jika daripada Ibn Jurayj, maka beliau ialah Muslim bin Khālid.

 

Jika dari Ṣālih Mawlā Taw’amah dan Usāmah bin Zayd, maka beliau adalah Ibn Abī Yaḥyā.

 

Jika daripada Ḥumayd dan Yūnus bin 'Ubayd, maka beliau ialah Ismā‘īl bin 'Ulayyah.

 

Jika daripada Ma'mar, maka beliau dalah Muṭarrif bin Māzin.

 

Jika daripada al-Zuhrī, maka beliau ialah Sufyān bin 'Uyaynah. (Tadrib al-Rawi).

 

3. Kaedah di atas memang teliti namun sukar dibuktikan. Secara amnya, kita tidak dapat memastikan maksud  al-Syāfi‘ī melainkan jika beliau menyebutkan secara jelas nama tokoh tersebut dalam tempat yang lain, atau hadith berkenaan diriwayatkan secara tafarrud oleh tokoh tertentu sahaja.

 

4. Oleh yang demikian, ulama yang paling menguasai pemikiran al-Syafii, iaitu Imam al-Bayhaqi, mengatakan bahawa perawi yang dimaksud al-Syafii dapat dikenalpasti pada sesetengah tempat, namun pada sesetengah yang tempat lain tidak diketahui melainkan dengan sangkaan yang tiada bukti (إلا بظن غير مقرون بعلم).

 

5. Tāj al-Dīn al-Subki dalam Tabaqat al-Syafiiyah berkata: "Apabila membaca kitab Musnad  al-Syāfi‘ī bersama Syeikh kami Abū ‘Abdillah al-Ḥāfiẓ (yakni al-Dhahabī), aku selalu menanyakan perkara ini kepada beliau. Sesetengah hadith dapat dipastikan bahawa ia adalah riwayat Yaḥyā bin Ḥassān, sebagaimana yang selalu dimaksudkan. Sebahagian yang lain, dapat dipastikan riwayat Ibn Abī Yaḥyā. Namun banyak juga hadith lain yang tidak dapat dipastikan maksudnya."

 

6. Menurut saya, pandangan al-Bayhaqi, al-Subki, dan al-Dhahabi ini lebih kuat kerana dibina di atas istiqra. Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment

BENARKAH ALI BIN ABI TALIB KATA SUNNAH ZIARAH KUBUR HARI RAYA?

  BENARKAH ALI BIN ABI TALIB KATA SUNNAH ZIARAH KUBUR HARI RAYA? Sebelum ini admin sudah dedahkan bagaimana Jabatan Mufti Negeri Sembilan se...