Saturday, April 2, 2022

ISTINJAK MENGGUNAKAN TIGA BIJI BATU

 ISTINJAK MENGGUNAKAN TIGA BIJI BATU

 

Dalam hadis, nabi saw melarang beristinjak menggunakan kurang tiga biji batu. Dalam hal ini, terdapat beberapa penjelasan ulama seperti berikut;

 

PERTAMA:

Dalam mazhab Syafie dan Hanbali, syarat beristinjak menggunakan batu adalah seperti berikut:

 

a.                  Perlu menyapu dengan batu pada tempat lubang dubur yang keluar najis itu sehingga bersih.

b.                  Bilangan batu perlu lebih dari kadar 3 biji batu.

 

Disamping hujah dari hadis bab ini, mereka turut kemukakan hujah-hujah tambahan seperti hadis—daripada Aisyah bahawa nabi ada bersabda:

 

إذا ذهب أحدُكم إلى الغائطِ، فلْيذهبْ معه بثلاثةِ أحجارٍ يَستطيبُ بهنَّ؛ فإنَّها تُجزئُ عنه

“apabila seseorang kamu pergi buang air besar, maka hendaklah di bawa bersamanya tiga biji batu yang dia gunakan untuk membersihkannya. Maka itu (tiga biji batu) baru memadai” (Abu Daud, hadis no: 40 | al-Nasaie, hadis no: 44)

 

Hadis lain—daripada Jabir bin Abdullah berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:

 

 إِذَا اسْتَجْمَرَ أَحَدُكُمْ فَلْيُوتِرْ

“Apabila seseorang kamu beristinjak menggunakan batu,hendaklah dengan bilangan ganjil (bukan genap)” (Muslim, hadis no: 239)

 

KEDUA:

Mazhab Hanafi dan Maliki mengatakan, perkara utama bagi istinjak adalah bersih, tidak kira dengan batu atau tidak; tidak kira batu yang digunakan itu kurang tiga biji atau lebih.

 

Mereka berhujah lebih kepada maqasid bagi istinjak sahaja, bukan kepada bilangan. Adapun hadis ini menyatakan tiga biji batu, mereka tafsirkan sebagai sunat sahaja.

 

Hujah mereka adalah seperti berikut;

 

Abdullah bin Mas’ud ada berkata:

"أَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الغَائِطَ فَأَمَرَنِي أَنْ آتِيَهُ بِثَلاَثَةِ أَحْجَارٍ ، فَوَجَدْتُ حَجَرَيْنِ ، وَالتَمَسْتُ الثَّالِثَ فَلَمْ أَجِدْهُ ، فَأَخَذْتُ رَوْثَةً فَأَتَيْتُهُ بِهَا ، فَأَخَذَ الحَجَرَيْنِ وَأَلْقَى الرَّوْثَةَ " وَقَالَ : هَذَا رِكْسٌ

“Nabi saw datang untuk Qadha’ Hajat, baginda pun menyuruh aku bahawa membawakan kepadanya tiga biji batu. Aku mendapati dua biji sahaja. Aku cari yang ketiga, aku tidak mendapatinya. Aku pun mengambil satu tahi keras dan aku berikan kepada baginda. Nabi saw mengambil dua biji batu dan melempar buang tahi keras itu. Kata baginda: ini adalah najis” (al-Bukhari, hadis no: 156)

 

ISTIDLAL: hadis ini dijelaskan bahawa Nabi saw hanya menerima dua biji batu, dan melempar buang tahi keras tersebut. Ia menjadi dalil bahawa istinjak menggunakan batu yang kurang dua biji batu pun sudah memadai.

 

Penghujahan ini dibantah dengan menyatakan bahawa dalam riwayat selain al-Bukhari, seperti riwayat Ahmad dan al-Tibrani bahawa hadis ini ada sambungannya, iaitu selepas Nabi saw melempar buang tahi kering tersebut, nabi saw berkata:

إِنَّهَا رِكْسٌ، ائْتِنِي بِحَجَرٍ

“Ia adalah najis. Bawakan kepadaku satu biji lagi” (Ahmad, hadis no: 4299 | Tibrani dalam al-Mukjam al-Kabir, hadis no: 9951)

 

Dalam penghujahan al-Khattabi bahawa menggunakan tiga biji batu itu adalah ta’abbudi sama seperti tiga kali quru’ bagi iddah Wanita. Dalam erti kata yang lain, walaupun rahim Wanita sudah bersih dengan sekali quru’ (haid atau suci), tetapi tetap disuruh agama sebagai tiga kali quru’ kerana terkandung dalam maksud suruhan itu adalah ta’abbud, iaitu ketaatan dan kepatuhan terhadap perintah tuhan, walaupun tidak diketahui sebab dan puncanya.

 

No comments:

Post a Comment

IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI

  IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI   وَالْحَقُّ كَمَا قَالَ شَيْخُ الْإِسْلَامِ ابْنُ تَيْمِيَةَ:   إِنَّ كُلًّا مِنَ الدَّلِيل...