1. Istihsan
oleh : Wan Ji bin Wan Hussin
1.1. Definisi Istihsan
Dari sudut bahasa, istihsan bermaksud dikira sesuatu itu sebagai baik. Termasuk dalam maksud itu adalah, kecenderungan manusia kepada sesuatu perkara, walaupun ia dikira buruk dari sudut pandang orang lain. Maksud istihsan dari sudut ini dilarang dalam Islam. ini kerana, ia adalah kecenderungan kepada hawa nafsu, sedangkan amat jelas bahawa al-Quran melarang mengikut kehendak hawa nafsu .
Dari sudut istilah, istihsan punyai definisi yang banyak. Antara definisi-definisi itu adalah seperti definisi al-Kurkhi seperti dinukilkan oleh al-Amidi;
الِاسْتِحْسَانُ هُوَ الْعُدُولُ فِي مَسْأَلَةٍ عَنْ مِثْلِ مَا حُكِمَ بِهِ فِي نَظَائِرِهَا إِلَى خِلَافِهِ لِوَجْهٍ هُوَ أَقْوَى
Maksudnya; “Istihsan adalah perpindahan sesuatu masalah hukum yang semisal kepada sebaliknya, kerana terdapat dalil yang lebih kuat ”
Ibn Quddamah mendefinisikan Istihsan;
العدول بحكم المسألة عن نظائرها لدليل خاص من كتاب أو سنة
Maksudnya; “Perpindahan hukum sesuatu masalah yang terhasil dengan bandingan dengan sebab wujud dalil khusus dari Kitab dan Sunnah ”
Al-Syatibi pula menyatakan :
الْأَخْذُ بِمَصْلَحَةٍ جُزْئِيَّةٍ فِي مُقَابَلَةِ دَلِيلٍ كُلِّيٍّ
Maksudnya; “Mengambil maslahah yang juzie dan menolak dalil kulli”
Dari sebilangan definisi-definisi tentang istihsan yang dikemukakan ini, disimpulkan bahawa Istihsan adalah hukum yang keluar dari kaedah umum, disebabkan wujud pertentangan kerana hukum itu lebih dekat dengan tujuan sesuatu pensyariatan.
Contoh tentang perkara ini adalah seperti kaedah umum menyatakan larangan menjual barang yang tiada di tangan. Ini berdasarkan kepada Hadis daripada Hakim bin Hizam berkata;
يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ يَسْأَلُنِي الْبَيْعَ وَلَيْسَ عِنْدِي، أَفَأَبِيعُهُ؟ قَالَ: «لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ»
Maksudnya; “Wahai Rasulullah, seseorang lelaki memintaku menjual sesuatu yang tiada padaku. Apakah boleh aku menjualnya?” Jawab Nabi Muhammad saw, “Jangan kamu jual perkara yang tiada padamu ”
Walaupun kaedah umum menyatakan tidak boleh menjual sesuatu yang tiada di tangan, tetapi hukum jualan secara tempahan diizinkan walhal jualan tempahan adalah jualan yang barang yang mahu dijual belum ada di tangan penjual. Keizinan itu kerana akan menghasilkan kesusahan kepada manusia dalam urusan jual beli jika pengamalan jualan tempahan dilarang. Keizinan ini sudah pasti amat dekat dengan kehendak syariah, iaitu memberikan kemaslahatan kepada umat manusia. Ekoran itu, tidak hairan jualan tempahan ini dinyatakan oleh Nabi Muhammad saw atas keizinannya dengan disertakan syarat-syarat yang ketat. Iaitu, hadis daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah saw ada bersabda;
مَنْ أَسْلَفَ فِي شَيْءٍ، فَفِي كَيْلٍ مَعْلُومٍ، وَوَزْنٍ مَعْلُومٍ، إِلَى أَجَلٍ مَعْلُومٍ
Maksudnya; “Barangsiapa yang menempah sesuatu, maka hendaklah dalam takaran dan timbangan yang jelas hingga kepada waktu yang jelas ”
1.2. Dalil-dalil Hujah Istihsan
Pihak ulama-ulama yang mengizinkan pengamalan Istihsan dipamerkan beberapa dalil-dalil yang muktabar. Antaranya adalah firman Allah;
الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya; “Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna” (Surah al-Zumar : 39 : 18)
Dan firman Allah lagi;
وَاتَّبِعُوا أَحْسَنَ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ
Maksudnya; "Dan turutlah - Al-Quran - sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya” (Surah al-Zumar : 39 : 55)
Dalam hadis, bahawa Rasulullah saw ada bersabda;
مَا رَآهُ الْمُؤْمِنُونَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ حَسَنٌ، وَمَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ قَبِيحًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ قَبِيحٌ
Maksudnya; “apa yang orang mukmin lihat ia sebagai baik, maka ia baik di sisi Allah SWT. Apa yang orang mukmin lihat sebagai buruk, maka ia juga buruk di sisi Allah SWT ”
Dari semua nas-nas yang dinukilkan ini, membuktikan bahawa pengamalan Istihsan tidak dilarang syariah, malahan ia selaras dengan sifat syariah islam .
1.3. Pendapat Ulama mazhab
Boleh dikatakan bahawa semua ulama-ulama mazhab Islam dari aliran Sunni menerima pengamalan Istihsan . Namun, sebilangan berpendapat bahawa al-Imam al-Syafie menolak pengamalan Istihsan. Ini kerana, al-Imam al-Syafie pernah memberikan gambaran negative terhadap pengamalan Istihsan ini.
Al-Imam al-Syafie berkata;
مَنْ اسْتَحْسَنَ فَقَدْ شَرَّعَ
Maksudnya; “Barangsiapa yang lakukan istihsan, sesungguhnya dia telah membuat syariat ”
Dalam al-Risalah, beliau pernah menyatakan;
وإنما الاستحسان تلذُّذ
Maksudnya; “Istihsan adalah mahu bersedap-sedap ”
Dalam nukilan yang lain, al-Imam al-Syafie menyatakan;
ولو جاز تعطيلُ القياس جاز لأهل العقولِ من غير أهل العلم أن يقولوا فيما ليس فيه خبر بما يحضرهم من الاستحسان
Maksudnya; “Kalau harus membatalkan kias, sudah pasti hari bagi ahli akal yang bukan dari kalangan ahli Ilmu bahawa berkata perkara yang tidak punyai sumber wahyu, dengan alasan apa yang mereka hadirkan itu atas nama istihsan ”
Pendapat al-Imam al-Syafie ini dikukuhkan lagi dengan beberapa dalil, iaitu firman Allah SWT;
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ
Maksudnya; “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka” (Surah al-Maidah : 5 : 49)
Malahan, pengamalan al-Istihsan ini bercanggah dengan suruhan agar kembali kepada Allah dan Rasulullah saw waktu berlaku perselisihan. Firman Allah;
فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلً
Maksudnya; “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat” (Surah al-Nisa’ : 4 : 59)
Namun, dalam pengkajian, didapati bahawa ada beberapa faktwa ulama dalam mazhab al-Syafie, mereka telah menggunakan pengamalan Istihsan, seperti dalam isu penjagaan anak, apabila ada dua ibu bapa yang berbeda agama. Menurut Syaifieyyah hak penjagaan anak itu hendaklah diberikan kepada pihak yang beragama Islam. Pendapat Syafieyyah bercanggah dengan Hanafiyyah dan Malikiyyah yang hak penjagaan anak itu hendaklah diberikan berasaskan kepada kasih sayang, bukan berfaktorkan agama .
Pendapat Hanafiyyah dan Malikiyyah ini merujuk kepada hadis bapa kepada Salamah al-Ansari bahawa beliau telah Islam, sedangkan isterinya tidak memeluk Islam. kedua-duanya berebut seorang anak yang belum sampai umur baligh lagi. Perkara ini diselesaikan di hadapan Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW meletakkan anak tersebut di tengah-tengah antara kedua-dua ibu yang tidak muslim dan bapanya yang muslim untuk memberikan anak itu membuat pilihan. Lalu anak itu memilih ibunya yang tidak muslim. ketika itu juga, nabi Muhamad SAW berdoa dengan berkata;
اللَّهُمَّ اهْدِهِ
Maksudnya; “Ya Allah, berikan hidayah kepadanya”
Selesai doa, ketika itu juga budak itu pergi kepada bapanya. Lalu, Nabi Muhammad SAW pun menetapkan keputusan .
Namun begitu, Syafiyyah berpendapat sebaliknya kerana melihat kepada kepentingan penjagaan agama lebih diutamakan berbanding selainnya. Bukan sekadar itu sahaja, malahan dalam fatwa al-Imam al-Syafie sendiri, beliau ada menggunakan teori Istihsan dalam maksud makna Istihsan yang sebenar. Ini disandarkan kepada pandangan beliau tentang tindakan Abdullah bin Umar yang mengirimkan zakat fitrahnya kepada orang yang mengumpul zakat dua hari atau tiga hari sebelum Aid al-Fitr . Al-Imam al-Syafie menyatakan;
(قَالَ الشَّافِعِيُّ) : هَذَا حَسَنٌ وَأَسْتَحْسِنُهُ لِمَنْ فَعَلَهُ
Maksudnya; “(Berkata al-Syafie) : ini adalah perkara baik dan aku memandangnya sebagai baik (istihsan) bagi mereka yang melaksanakannya ”
Nyata di sini, kekhilafan tentang Istihsan antara mazhab syafie dengan selainnya adalah kekhilafan dalam sudut bahasa sahaja, tetapi dari sudut pengamalannya, mazhab syafie juga menerima istihsan dengan secara tidak langsung. Ini kerana, maksud larangan Istihsan dalam mazhab syafie itu adalah merujuk kepada istihsan yang terikat dengan kehendak hawa nafsu. Adapun jika terikat dengan faktor maslahah, ia tidak termasuk maksud istihsan yang dilarang dalam mazhab al-Syafie .
1.4. Bentuk-bentuk istihsan
Istihsan tidak mempunyai satu bentuk, sebaliknya terdapat beberapa bentuk. Dipamerkan bentuk-bentuk tersebut adalah seperti berikut ;
Pertama : al-Istihsan bi al-Nas
Yang dimaksudkan dengan istihsan bi al-Nas adalah perpindahan hukum yang berasalkan kepada kaedah umum kepada hukum yang lain, kerana wujud nas-nas tertentu yang menjadikannya begitu. Contoh perkara ini seperti hukum jualan tempahan seperti yang telah dibahas di atas. Atau dalam contoh lain, seperti hukum secara kaedah umumnya menyatakan bahawa makan dan minum boleh membatalkan puasa. Namun, jika makan dan minum dalam keadaan tidak sengaja, seperti terlupa, ia tidak membatalkan puasa. Pengecualian hukum ini berdasarkan kepada Nas, iaitu hadis daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah saw bersabda;
إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ، فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ، فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ
Maksudnya; “Apabila dia lupa, lalu dia makan dan minum, maka hendaklah dia sempurnakan puasanya, kerana Allah swt telah memberi makan dan memberi minum kepadanya ”
Kedua : al-Istihsan bi al-Ijmak
Yang dimaksudkan dengan Istihsan bi al-Ijmak adalah perpindahan hukum yang berasal kepada kaedah umum kepada hukum yang lain disebabkan wujud ijmak ulama yang menyalahi terhadap pengamalan hukum yang berasal dari kaedah umum tersebut. Contoh dalam perkara ini seperti keizinan masuk ke dalam tandas berbayar dengan membayar bayaran yang tidak ditentukan kadar penggunaan air dalam tandas tersebut. Dari sudut kaedah umum, hukum membayar bayaran sesuatu kegunaan hendaklah tepat, kerana bayaran secara tidak jelas ini disebut sebagai Jahalah yang dilarang. Namun, secara ijmak telah sepakat menyatakan bahawa pembayaran secara tidak jelas pada penggunaan air pada tandas berbayar secara tidak ditentukan ini diterima ramai. Ekoran itu, ia dibenarkan berdasarkan kepada teori istihsan.
Ketiga : al-Istihsan bi al-Urf
Meninggalkan hukum yang terhasil dari kaedah umum kerana wujud uruf yang menyatakan keperluan hukum sebaliknya. Contoh dalam perkara ini adalah seseorang lelaki bersumpah bahawa dia tidak mahu makan daging. Dari sudut kaedah umum, sebarang perkara yang dinisbahkan kepada daging, tidak boleh dimakan oleh lelaki tersebut. Tetapi, apabila dia memakan ikan, dia tidak dikira sebagai melanggar sumpah, kerana melihat kepada sudut pandang uruf bahawa ikan tidak dikira sebagai daging .
Keempat : al-Istihsan bi al-Dharurah
Meninggalkan hukum yang terhasil dari kaedah umum, kerana wujud keperluan dharurat yang mengambil hukum sebaliknya. Contohnya, telaga yang najis jatuh ke dalamnya. Air tersebut dikira sebagai najis dari segi hukum umum. Air telaga tersebut tidak boleh digunakan. Namun, dengan teori al-Istihsan, air itu boleh digunakan berdasarkan kadar keperluan mendesak sahaja kerana dharurat.
Kelima : al-Istihsan bi al-Maslahah
Meninggalkan hukum yang terhasil dari kaedah umum, kerana wujud keperluan mencapai maslahah untuk mengambil hukum sebaliknya. Contoh perkara ini adalah keizinan doctor melihat aurat pesakitnya. Hukum dari kaedah umum bahawa tidak dibenarkan melihat aurat. Namun, dengan sebab ada keperluan kesihatan yang merupakan kemaslahatan bagi pesakit, doktor dibenarkan melihat aurat pesakit mengikut kadar keperluan sahaja .
Keenam : al-Istihsan bi al-Qias al-Khafiy
Meninggalkan hukum yang terhasil dari al-Qiyas al-Jaliy, dengan mengambil hukum yang terhasil dengan hukum yang terhasil dari al-Qiyas al-Khafiy, kerana hukum itu lebih memberi kesan yang lebih baik.
Contoh perkara ini adalah kaedah umum yang menyatakan tidak boleh minum air sisa minuman binatang yang dagingnya tidak boleh dimakan. Ini kerana, dari sudut al-Qiyas al-Jaliy, jika dagingnya dikira sebagai najis yang haram dimakan, sudah pasti sisanya turut sama najis. Namun, sisa minuman burung liar seperti helang tidak diharamkan untuk diminum. Ini merujuk kepada al-Qiyas al-Khafiy, kerana burung helang itu minum air dengan menggunakan paruhnya yang merupakan tulang keras suci. Paruh tersebut tidak menyerap najis ataupun air liurnya, ekoran itu ia kembali kepada hukum asal, iaitu tidak najis.
1.5. Pengamalan Istihsan
Antara pengamalan Istihsan sebagai contoh dalam perbincangan ini adalah dalam isu kesalahan mencuri yang dikenakan hukuman potong tangan. Dari sudut hukum berdasarkan kaedah umum bahawa pencuri yang sabit kesalahan, hendaklah dipotong tangannya. Hukuman itu dikenakan tanpa dilengah-lengahkan lagi dan tidak dilihat pencuri itu dari darjat dan kalangan manusia yang bagaimana. Semua ini bertujuan untuk mencapai tujuan disebalik perlaksanaan, iaitu penjagaan terhadap harta manusia dan memberhentikan kecurian yang boleh memberikan menafikan hak kebahagian orang lain. Perkara ini berdasarkan kepada firman Allah swt;
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya; “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Maidah : 5 : 38)
Namun, dalam melaksanakan hukuman tersebut, dalam beberapa keadaan boleh membawa kepada kerosakan dan mafsadah. Ia menjadikan tujuan perlaksanaan tersebut ternafi. Seperti perlaksanaan hukuman tersebut ketika peperangan sedang tercetus. Ini kerana, perlaksanaan tersebut boleh menjadikan pencuri itu murtad dan berhubungan dengan pihak musuh.
Mengetahui hal ini, tidak hairan Rasulullah saw ada melarang melaksanakan hudud ketika sedang tercetus peperangan. Dalam hadis, daripada Busr bin Arthat bahawa Nabi Muhammad saw ada bersabda;
لاَ تُقْطَعُ الأَيْدِي فِي الغَزْوِ.
Maksudnya; “Tidak dipotong tangan-tangan (pencuri) semasa dalam peperangan ”
Ekoran itu, Ibn Qayyim al-Jawziyyah ada menyatakan bahawa pernah Saidina Umar menulis bahawa seseorang ketua perang tidak melaksanakan hudud ketika dalam peperangan, kerana kebimbangan pihak yang dikenakan hudud itu akan bergabung diri dengan pihak musuh .
Begitujuga tindakan Saidina Umar bin al-Khattab yang mengugurkan perlaksanaan hukuman hudud pada tahun kebuluran. Ini kerana, tindakan melaksanakan hukuman hudud waktu itu akan melahirkan kekeliruan dalam perlaksanaan, seperti gagal membezakan orang mencuri kerana kebuluran atau mencuri kerana untuk bermewah-mewahan. Namun, jika nyata dan jelas bahawa pencuri itu mencuri kerana untuk bermewah-mewahan, hukuman potong tangan dikenakan kepadanya .
Melihat kepada pengamalan Saidina Umar bin al-Khattab ini, kelihatan bahawa tindakan beliau itu berasaskan kepada Istihsan, iaitu memalingkan hukum yang berdasarkan kepada kaedah umum kepada hukum yang lain agar tercapai tujuan bagi sesuatu perlaksanaan syariah .
wallahu 'alam
9 dis 2014 - 10:04 malam
No comments:
Post a Comment