ZIARAH KUBUR NABI, WAJIB DAPAT SYAFAAT?
Dalam hal ini, ada dua pendapat ulama:
Pertama, majoriti ulama yang berpendapat bahawa menziarahi kubur Nabi adalah sunat dan mendapat ganjaran syafaat nabi.
Kedua, Ibn Taimiyyah yang memandang menziarahi kubur Nabi saw bukan tuntutan syariah.
Kekhilafan antara dua pendapat ini berasaskan kepada satu hadis – daripada Ibn Umar bahawa Nabi saw ada bersabda:
مَنْ زَارَ قَبْرِي وَجَبَتْ لَهُ شَفَاعَتِي
“Barangsiapa yang menziarahi kuburku, maka wajib baginya syafaatku” (Sunan al-Daraqutni, hadis no : 2695 | Syu’ab al-Iman, hadis no : 3862 (
HUJAH IBN TAIMIYYAH
Pendapat yang mendokong ibn Taimiyyah seperti Albani menganggap hadis ini palsu (Doifah al-Jami’ al-Soghir, rujukan hadis, 5607)
Antara hujah yang dikemukakan adalah hadis ini dalam semua turuqnya ada perawi bernama Musa bin Hilal al-‘Abdi.
Abu Hatim dalam kitab al-Jarh wa al-Ta’dil menyatakan bahawa Musa bin Hilal ini seorang yang majhul (8/166).
Dengan sebab itu, Ibn taimiyyah simpulkan hadis ini tidak boleh dijadikan sandaran hukum.
HUJAH JUMHUR
Kritikan Jumhur terhadap kesimpulan Ibn Taimiyyah itu:
a. Yang menyatakan Musa bin Hilal ini sebagai majhul adalah Abu hatim. Abu hatim itu amat terkenal dengan bermudah dalam menuduh seseorang perawi majhul, walhal ia tidak majhul dari kalangan ulama yang lain.
Contohnya, gurunya al-Imam al-Bukhari yang bernama Bayan bin Amru yang berasal dari Bukhara, dinilai Majhul oleh Abu Hatim. Ibn Hajar al-Asqalani mengkritik Abu Hatim dengan menyatakan bahawa hampir semua ulama-ulama besar hadis menganggap dia tidak majhul, seperti al-Bukhari, Abu Zur’ah, Ubaidullah bin Wasil; bahkan, semua ulama-ulama besar ini menganggap Bayan sebagai siqah. (Hady al-Sari, hlm 393)
Dalam Lisan al-Mizan, Ibn hajar menjelaskan bahawa Abu hatim itu kerap menggunakan perkataan Majhul yang ditujukan kepada sebilangan sahabat nabi yang dari kalangan badwi yang mereka tidak diriwayatkan hadis oleh para imam tabiin. (6/13)
Justeru, penilaian Abu Hatim sebagai majhul itu tidak boleh diterima secara mutlak, sebalik perlu kepada penelitian yang lebih mendalam lagi.
b. Andai mahu dikatakan bahawa Musa bin Hilal ini sebagai majhul sekalipun, didapati riwayat Musa ini diterima oleh sebilangan besar ulama-ulama hadis yang siqah, seperti Ahmad bin Hanbal, Muhammad bin Jabir al-Muharibi, Muhammad bin Ismail al-Ahmasi, Abu Umayyah Muhammad bin Ibrahim al-Tarasus, Ubaid bin Muhammad al-Warraq, al-Fadhl bin Sahl dan Ja’far bin Muhammad al-Bazuri.
Dalam usul al-Hadis, seorang perawi yang majhul, riwayatnya sememangnya ditolak. Namun, menurut Ibn hajar al-Asqalani dan Ibn al-Qattan, apabila dua perawi siqah meriwayatkan hadis dari perawi majhul, makanya hadisnya boleh diterima dan dijadikan sandaran hukum. (al-ijtihad fi ilm al-hadis wa asaruhu fi al-fiqh al-islami, hlm 126)
Justeru, hadis riwayat musa ini boleh dijadikan sandaran, kerana riwayat musa ini bukan sekadar dua orang, bahkan seramai 7 orang perawi siqah yang Namanya disebutkan di atas mengambil riwayat beliau.
Dari ini, disimpulkan oleh Majoriti ulama bahawa hadis ini boleh dijadikan sandaran hukum. Makanya, amalan bermusafir dengan mahu menziarahi kuburnya nabi adalah disyariatkan.
Mulla ‘Ali al-Qari ada menyatakan dalam syarah kitab al-Syifa’ dengan menyatakan : Ziarah kuburnya nabi saw itu adalah salah satu sunnah dari sunnah-sunnahnya orang Islam”
No comments:
Post a Comment