Sunday, August 20, 2023

makna akal

Dari sudut akar kata, kalimah ‘Aqala bermaksud menahan dan mengikat. Ekoran itu, tali pengikat serban yang dipakai di kalangan bangsa arab Saudi dikenali sebagai ‘iqal (عقال); menahan orang dalam penjara disebut ‘itaqala (اعتقل) dan tempat tahanan disebut Mu’taqil (معتقل) . 
Dalam menjelaskan maksud akal, Ibn manzur menyatakan;

العَقْلُ: الحِجْر والنُّهى ضِدُّ الحُمْق

Maksudnya; “Akal adalah menahan dan kebijaksanaan yang merupakan lawan bagi kebodohan ” 

Ada penjelasan lain menyatakan;

العاقِلُ الَّذِي يَحْبِس نَفْسَهُ ويَرُدُّها عَنْ هَواها

Maksudnya; “orang berakal adalah orang yang menahan dirinya dan menolaknya dari mengikut hawa nafsunya ” 

Faktor akal amat penting untuk memastikan sesuatu itu maslahah atau mafsadah. Lebih-lebih lagi, faktor penggunaan akal itu amat ditekankan oleh syarak itu sendiri. 
Al-Izz bin Abd al-Salam ada menyatakan;

ومعظم مصالح الدنيا و مفاسدها معروف بالعقل , وذلك فى معظم الشرائع

Maksudnya; “Sebahagian besar maslahah dunia dan mafsadahnya diketahui berdasarkan kepada akal. Ia terjadi pada kebanyakkan syariat-syariat ”. 

Al-Imam al-Mawardi menyatakan;

واعلم أن بالعقل تعرف حقائق الأمور و يفصل بين الحسنات و السيئات

Maksudnya; “Ketahuilah, sesungguhnya akal dapat mengenali hakikat-hakikat perkara dan dapat membezakan antara kebaikan dan kejahatan ” 

Al-Imam al-Ghazali pula ada menyatakan;

بالعقول تدرك مصالح الدنيا

Maksudnya; “Dengan akal, diketahui kemaslahatan dunia ”  

Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur berkata;

أن العقول الراجحة تدعو إلى تقوى الله لأنها كمال نفساني، ولأن فوائدها حقيقية دائمة، ولأن بها اجتناب المضار في الدنيا والآخرة

Maksudnya; “Sesungguhnya Akal yang pasti menyeru kepada taqwa Allah, kerana ia adalah kesempurnaan diri; dengan kerana faedahnya bersifat hakiki dan berkekalan; dengan sebab akal, terhindar kerosakan di dunia dan akhirat ” 

Al-Quran sendiri menyeru manusia memanfaatkan akal dengan bertadabbur pada ciptaan Allah dan mencari rahsia-rahsianya. Seperti dalam ayat 101 dari surah Yunus, Allah menyuruh melihat apa yang ada pada langit dan bumi. Juga seperti dalam ayat ke 17 dari surah al-Ghasyiah, bahawa Allah SWT menyuruh mencari rahsia dengan melihat bagaimana unta itu diciptakan Tuhan. 

Dalam diri manusia, faktor akal amat penting. Allah SWT sendiri ada menceritakan bagaimana ahli neraka itu merasakan menyesal ekoran tidak memanfaatkan akal. 
Firman Allah;

وَقَالُوا لَوْ كُنَّا نَسْمَعُ أَوْ نَعْقِلُ مَا كُنَّا فِي أَصْحَابِ السَّعِيرِ

Maksudnya; “Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kamu tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka” (surah al-Mulk (67), ayat 10)

Berfaktorkan akal, manusia dikira sebagai mukallaf atau diberati hukum. Bagi orang yang tidak berakal atau gila, mereka tidak pula dikira sebagai mukallaf. Dengan akal, manusia dapat mengenal tentang maslahah. Orang yang tidak berakal, tidak mengetahui sesuatu itu kebaikan atau keburukan, tetapi ia dapat dikenal oleh orang yang berakal.

Namun begitu, akal yang diguna tidak secara mutlak, hendaklah dikawal oleh wahyu, supaya ia tidak tersasar dari kehendak syariat. Ini kerana, akal manusia itu bersifat lemah lantaran sifatnya yang cukup terbatas. Ia terjadi kerana akal itu boleh terpengaruh dengan suasana, hawa nafsu, malahan ia bersifat merangkumi dengan perkara yang telah, sedang dan yang bakal berlaku . 

Juga sifat akal itu tidak tetap. Ini dapat dilihat apabila wujud orang-orang bijak berbeza pendapat sesama mereka. Ditambahi lagi sesuatu penilaian sesuatu maslahah diiktiraf oleh syarak itu tertakluk dengan memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat, maka sudah pasti akal amat terbatas dalam memahami perkara akhirat ekoran akhirat itu hanya dikenali menerusi wahyu . 

Al-Syatibi pernah menyatakan bahawa adalah satu perkara yang mustahil bahawa akal itu boleh menyendiri dalam memahami sesuatu kemaslahatan atau kemafsadan secara terperinci. Beliau berkata;

فالعادة تحيل استقلال العقول في الدنيا بإدراك مصالحها و مفاسدها علي التفصيل

Maksudnya; “Kebiasaannya, mustahil menyendiri akal di dunia ini untuk mengetahui kemaslahatannya dan kerosakannya secara terperinci ”

No comments:

Post a Comment

IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI

  IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI   وَالْحَقُّ كَمَا قَالَ شَيْخُ الْإِسْلَامِ ابْنُ تَيْمِيَةَ:   إِنَّ كُلًّا مِنَ الدَّلِيل...