Wednesday, April 10, 2024

BENARKAH ALI BIN ABI TALIB KATA SUNNAH ZIARAH KUBUR HARI RAYA?

 BENARKAH ALI BIN ABI TALIB KATA SUNNAH ZIARAH KUBUR HARI RAYA?

Sebelum ini admin sudah dedahkan bagaimana Jabatan Mufti Negeri Sembilan secara cuai telah memetik sebuah hadis yang tidak memiliki asal daripada kitab al-Washoya karya Ibnu Arabi, yang mana ia paling awal ditemui dalam kitab Makarim al-Akhlaq oleh ath-Thabrisi, seorang tokoh syiah.
Dalam kesibukan Aidilfitri, admin cuba ambil sedikit peluang untuk mengkritik sedikit poster “Hukum Ziarah Kubur di Hari Raya” yang memuatkan 3 dalil menunjukkan seolah-olah perbuatan mengkhususkan ziarah kubur pada hari raya memiliki dasarnya dalam sunnah. Dengan masa yang terhad, admin ingin fokuskan kritikan ini kepada dalil kedua sahaja.
Telah berkata pihak Jabatan Mufti Negeri Sembilan, “Saidina Ali bin Abi Talib jelas menyatakan menziarahi kubur pada hari raya adalah termasuk dalam sunnah nabi.” lalu membawakan teks daripada Sunan al-Kubra, al-Baihaqi dengan mengandungi terjemahan “keluar pada 2 hari raya ke kubur adalah sunnah.”
Setelah admin merujuk kepada as-Sunan al-Kubra al-Baihaqi (3/415) dalil tersebut, ia adalah seperti berikut:
وَأَخْبَرَنَا أَبُو الْحُسَيْنِ بْنُ بِشْرَانَ بِبَغْدَادَ، أنبأ أَبُو جَعْفَرٍ الرَّزَّازُ، ثنا كَثِيرُ بْنُ شِهَابٍ، ثنا مُحَمَّدُ بْنُ سَعِيدٍ هُوَ ابْنُ سَابِقٍ ثنا عَمْرُو بْنُ أَبِي قَيْسٍ، عَنْ مُطَرِّفٍ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنِ الْحَارِثِ، عَنْ عَلِيٍّ رضي الله عنه قَالَ: " الْجَهْرُ فِي صَلَاةِ الْعِيدَيْنِ مِنَ السُّنَّةِ، وَالْخُرُوجُ فِي الْعِيدَيْنِ إِلَى ‌الْجَبَّانَةِ مِنَ السُّنَّةِ "
KRITIKAN.
Terdapat 2 masalah utama yang dikesan dalam hadis ini:
1. DARJAT HADIS ALI BIN ABI TALIB RA.
Perbuatan al-Baihaqi berdiam diri daripada hadis ini, bukanlah bermakna hadis ini tidak mempunyai kecacatan di sisi al-Baihaqi sendiri. Pada sanad ini terdapat perawi yang bernama al-Harits al-A’war. Apabila kita meneliti as-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi telah mengkritik perawi ini dalam perbahasan lalu.
Antara kata-kata al-Baihaqi:
وَالْحَارِثُ ‌الْأَعْوَرُ ضَعِيفٌ.
“Dan al-Harits al-A’war adalah dhaif.” (as-Sunan al-Kubra, 1/19)
‌الْحَارِثُ ‌الْأَعْوَرُ لَا يُحْتَجُّ بِهِ.
“Al-Harits al-A’war tidak berhujah dengannya.” (as-Sunan al-Kubra, 1/355)
Manakala, pentahqiq as-Sunan al-Kubra, Muhammad Abdul Qadir Atha’, menukilkan daripada at-Turkmani, bahawa asy-Sya’bi mengatakan al-Harits adalah seorang pendusta.” (Nota kaki as-Sunan al-Kubra, 3/415)
2. KESILAPAN MEMAHAMI KALIMAH “AL-JABBANAH”.
Pihak Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah menterjemahkan “al-Jabbanah” sebagai kubur, lantas membawa kefahaman seolah-olah Ali bin Abi Talib menyatakan menziarahi kubur pada hari raya adalah sunnah Nabi.
Sebenarnya, ini adalah satu terjemahan yang silap, mengikut konteks hadis tersebut. Perkataan al-Jabbanah bukan sahaja boleh difahami sebagai “tanah perkuburan”, tetapi ia juga merujuk kepada “padang pasir”.
والجَبَّان والجَبَّانة، بِالتَّشْدِيدِ: ‌الصَّحْرَاءُ.
Dan “al-Jabban”, “al-Jabbanah” dengan tasydid: adalah ash-Shahra’u – padang pasir. (Lisan al-Arab, 13/85)
Berkata Imam Ibnu al-Atsir mengenai perkataan “al-Jabbanah” ini mengapa dapat dikenali sebagai perkuburan?
وتسمّى بها الْمَقَابِرُ؛ لِأَنَّهَا تَكُونُ فِي الصَّحْرَاءِ.
“Ia dinamakan tanah perkuburan dengannya kerana ia (perkuburan itu) terletak di padang pasir.” (an-Nihayah Fii Gharib al-Hadis, 1/237)
Seperti mana yang kita ketahui tanah perkuburan zaman Nabi Muhammad SAW terletak di kawasan padang pasir yang lapang, seperti tanah perkuburan Baqi’ di Madinah.
Manakala dalam kamus at-Ta’rifat al-Fiqhiyyah pula dijelaskan, bahawa al-Jabbanah adalah tempat solat umum di tanah lapang.
‌‌‌الجبانة: المصلى العام في ‌الصحراء. التعريفات الفقهية (ص68)
Justeru, terjemahan yang tepat untuk hadis Ali bin Abi Talib adalah:
وَالْخُرُوجُ فِي الْعِيدَيْنِ إِلَى ‌الْجَبَّانَةِ مِنَ السُّنَّةِ
“Dan keluar pada dua hari raya – Aidilfitri dan Aidiladha – ke tanah lapang adalah termasuk sunnah.”
Mengapa hadis Ali bin Abi Talib ia termasuk sunnah? Ini kerana solat sunat Aidifitri dan Aidiladha pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah dilaksanakan di kawasan lapang, seperti padang pasir dan bukannya dilaksanakan dalam masjid.
Ini lebih jelas apabila kita membaca hadis riwayat Imam asy-Syafie berikut:
أن النبي صلى الله عليه وسلم ‌كان ‌يطعم ‌قبل ‌أن ‌يخرج ‌إلى ‌الجبان يوم الفطر، ويأمر به
“Sesungguhnya Nabi SAW makan sebelum keluar ke kawasan lapang pada hari raya Aidilfitri, dan baginda memerintahkannya.” (Kitab al-Umm, 1/266)
Disebut juga oleh ash-Shan'ani:
كان يأمر بناته ونسائه أن يخرجن في ‌العيدين ‌إلى ‌الجبانة يحضرن الصلاة والوعظ
"Adalah diperintahkan para wanita dan anak-anak perempuan agar keluar pada dua hari raya ke tanah lapang (al-Jabbanah) untuk menghadiri solat dan peringatan." (At-Tanwir Syarh al-Jami' ash-Shaghir, 8/525)
PENUTUP.
Sebagai kesimpulan, pihak Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah melakukan dua kesilapan apabila berhujah dengan hadis Ali bin Abi Talib; iaitu daripada segi status hadis tersebut terdapat perawi yang tidak boleh dijadikan hujah dan kesilapan dalam menterjemah perkataan “al-Jabbanah”.
Sayangnya, kesilapan ini turut dilakukan oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah, apabila mengeluarkan poster serupa (tidak pasti sama ada ia secara “copy & paste” tanpa melakukan penelitian yang mendalam).
Diharapkan kritikan terbuka ini akan memberikan penjelasan fakta yang sebenarnya kepada para pembaca sekalian. Ia adalah kecuaian yang tidak boleh dipandang remeh, kerana membawa kepada perubahan makna memahami hadis Nabi Muhammad SAW, apatah lagi selaku pihak berautoriti dalam agama, bertanggungjawab menjelaskan urusan kepada masyarakat awam.

No comments:

Post a Comment

BENARKAH ALI BIN ABI TALIB KATA SUNNAH ZIARAH KUBUR HARI RAYA?

  BENARKAH ALI BIN ABI TALIB KATA SUNNAH ZIARAH KUBUR HARI RAYA? Sebelum ini admin sudah dedahkan bagaimana Jabatan Mufti Negeri Sembilan se...