HUKUM HUDUD DAN QISAS SUDAH ADA SEBELUM ZAMAN NABI MUHAMMAD
Hukum hudud seperti potong tangan, dan hukuman qisas, seperti bunuh balas dan sebagainya adalah undang-undang yang sudah ada dalam syariah sebelum Nabi Muhammad saw.
Dalil-dalilnya adalah seperti berikut;
a. Surah al-Maidah, ayat 45
وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنْفَ بِالْأَنْفِ وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ فَمَنْ تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (At Taurat) bahwasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka luka (pun) ada kisasnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak kisas) nya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.”
Ayat ini menyatakan bahawa Allah telah mewajibkan hukuman qisas dalam kitab taurat.
b. Surah al-Kahfi ayat 74
فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا لَقِيَا غُلَامًا فَقَتَلَهُ قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةً بِغَيْرِ نَفْسٍ
“Maka berjalanlah keduanya; hingga tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak, maka Khidhr membunuhnya. Musa berkata: "Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih, bukan karena dia membunuh orang lain?”
Membunuh adalah salah dari sudut syariah Nabi Musa. Tiba-tiba, Khidir membunuh. Memandangkan tindakan Khidir itu menyalahi syariah, maka ia dibantah oleh Nabi Musa. Cara Nabi Musa bantah itu pula, dengan menyatakan أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةً بِغَيْرِ نَفْسٍ – patutkah dibunuh orang yang tidak bersalah, tanpa dia melakukan pembunuhan terhadap orang lain. Secara isyarat difahami bahawa amalan hukuman Qisas itu sudah ada dalam syariah Nabi Musa.
c. Hadis - daripada Aisyah bercerita bahawa ada seorang perempuan dari etnik Makhzumiyyah mencuri. Masyarakat Quraish berfikir untuk menyelamatkan dia dari dikenakan hukuman. Lalu mereka bercakap: “siapakah yang boleh memberitahu hal ini kepada Nabi saw?”
Lalu mereka dapati, Nabi saw amat sayang kepada seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid. Mereka pun memberitahu kepada Usamah agar memujuk Nabi untuk tidak menjatuhkan hukuman kepada wanita makhzumiyyah tersebut. Apabila Usamah memaklumkan hal itu kepada Nabi, baginda saw terus berkata: “apakah kamu nak memberi bantuan untuk melepaskan bagi kesalahan hudud?”
Kemudian Nabi berdiri dan berkhutbah. Kemudian baginda berkata:
إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ، أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ، وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا
“Telah membinasakan orang yang sebelum kamu, kerana apabila mencuri orang mulia dalam kalangan mereka, ia dilepaskan. Apabila orang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dia dikenakan hukuman hudud. Demi Allah, andai Fatimah binti Muhammad mencuri, pasti aku akan potong tanganya” (Al-Bukhari, بَابُ حَدِيثِ الغَارِ , hadis no : 3475)
Dalam matan hadis, Nabi saw ada menyatakan bahawa kalangan orang sebelum zaman Nabi yang “double standard” dalam perlaksanaan hukum hudud, iaitu dikenakan kepada rakyat bawahan, sedangkan orang-orang besar terlepas.
Wallahu ‘Alam.
No comments:
Post a Comment