Tuesday, February 7, 2023

SAHABAT BUKAN SUMBER HUKUM



Sahabat bukan merupakan hujjah, kerana sumber hujjah hanya dari sumber yang ma’sum, iaitu al-Quran dan al-Sunnah. al-Imam al-Syaukani menyatakan;

والحق أنه ليس بحجة , فإن الله سبحانه لم يبعث إلى هذه الأمة إلا نبينا محمد – صلي الله عليه و سلم - , وليس لنا إلا رسول واحد , كتاب واحد , وجميع الأمة مأمورة بإتباع كتابه و سنة نبيه
 “Yang sebenarnya, Sesungguhnya ia bukan Hujah. Ini kerana, Allah SWT tidak melantik kepada umat ini kecuali Nabi kita, Muhammad saw. Tidak ada bagi kita kecuali Rasul yang satu, kitab yang satu. Seluruh umat disuruh mengikuti kitabNya dan sunnah NabiNya” (al-Syaukani al-Yamani, Irsyad al-Fuhul Ila Tahqiq al-Haq min Ilm al-Usul, jld 2, hlmn 188)

 Namun begitu, sahabat dijadikan sebagai rujukan pada perkara yang tiada nas dalam keadaan ia tidak menyalahi al-Quran dan al-Sunnah secara pasti.

 Al-Imam al-Syafie pernah menyatakan;

نصير منها (أي من أقاويل الصحابة) إلى ما وافق الكتاب و السنة أو الإجماع أو كان أصح في القياس
 “Kami jadikan daripadanya (iaitu dari perkataan-perkataan Sahabat) kepada perkara yang selaras dengan al-Kitab, al-Sunnah, Ijmak atau perkara yang saheh pada al-Qiyas” (al-Syafie, al-Risalah, hlmn 596)

 Imam Abu Hanifah juga berkata;

إن لم أجد في كتاب الله , ولا سنة رسوله – صلى الله عليه و سلم – أخذت بقول أصحابه, أخذت بقول من شئت منهم , وأدع من شئت منهم
 “Jika aku tidak dapati dalam Kitab Allah dan dalam Sunnah RasulNya, aku akan ambil perkataan sahabat. Aku akan ambil dengan perkataan sebilangan mereka yang aku mahu, dan aku meninggalkan perkataan sebilangan mereka yang aku mahu” (al-Muzi, Tahzib al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal, jld 29, hlmn 443)


 Al-Zuhaili juga menyatakan;

أرجح ألا يكون مذهب الصحابي دليلا شرعيا مستقلا فيما هو مقول بالإجتهاد المحض : لأن المجتهد يجوز عليه الخطاء , ولم يثبت أن الصحابة ألزموا غيرهم بأقوالهم , ومرتبة الصحبة وإن كانت شرفا كبيرا لا تجعل صاحبها معصوما عن الخطاء
 Maksudnya;
 “Aku mengutamakan bahawa tidaklah mazhab sahabat itu sebagai dalil syarak secara menyendiri pada perkara ia dalam kerangka ijtihad semata-mata. Ini kerana, mujtahid itu harus melakukan kesilapan. Juga, tidak tetap bahawa sahabat itu memestikan selain dari mereka dengan perkataan-perkataan mereka. martabat sahabat, walaupun ia kemuliaan yang besar, tidak menjadikan dirinya ma’sum atau terkawal dari kesalahan” (al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, jld 2, hlmn 886)

 Ibn Taimiah pula berkata;

وبكل حال فهم أعلم الأمة بحديث الرسول و سيرته و مقاصده و أحواله

 Maksudnya;
 “Dalam setiap keadaan, mereka adalah umat yang paling mengetahui tentang hadis al-Rasul, perjalanan hidup, tujuan dan keadaan baginda SAW” (Ibn Taimiyyah, Majmuk al-Fatawa, jld 4, hlmn 95)

 Memandangkan sahabat adalah mereka yang paling mengetahui tentang Rasul disamping mereka berada di era penurunan wahyu, maka tidak hairan mereka merupakan sumber rujukan dalam mengetahui maqasid terhadap sesuatu ayat al-Quran atau Hadis Nabi Muhammad saw. 

 Contoh dalam perkara ini seperti tindakan Umar bin al-Khattab yang melarang perkahwinan muslim terhadap perempuan ahli Kitab dalam keadaan beliau mengetahui keizinan bersumberkan nas al-Quran tentang sahnya nikah tersebut. larangan itu berfaktorkan dengan dua factor besar, iaitu kebimbangan anak-anak yang dilahirkan lebih mudah dipengaruhi oleh ibunya yang tidak beragama Islam, dan kebimbangan perempuan muslimat sukar untuk mendapat suami ekoran para lelaki lebih memilih perempuan ahli Kitab untuk dijadikan isteri. Ini bersandarkan kepada apa yang pernah diungkapkan oleh Umar bin al-Khattab terhadap Huzaifah bin al-Yaman dengan kata beliau;

إني أخشى أن تدعوا المسلمات وتنكحوا المومسات

Maksudnya;
 “Aku bimbang bahawa kamu semua tinggalkan perempuan muslimat dan kamu nikahi perempuan pelacur-pelacur” (al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, Bab menceritakan tentang pengharaman mengahwini perempuan merdeka dari kalangan Ahli Kitab dan pengharaman perempuan mukminat terhadap orang kafir, jld 7, hlmn 280, hadis no : 13984) 

No comments:

Post a Comment

IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI

  IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI   وَالْحَقُّ كَمَا قَالَ شَيْخُ الْإِسْلَامِ ابْنُ تَيْمِيَةَ:   إِنَّ كُلًّا مِنَ الدَّلِيل...