MENGAMBIL UPAH DENGAN MENGAJAR AGAMA
Dalam dunia pada hari ini, terdapat beberapa keadaan
bahawa ada agamawan yang makan gaji sebab mengajar agama, seperti mengajar di
sekolah; ataupun mengajar di Universiti; ataupun mengajar di masjid dan surau;
ataupun makan gaji sebab memegang jawatan-jawatan yang melibatkan agama seperti
mufti dan sebagainya.
Perlu dibezakan antara dua perkara:
[1] Diberikan wang bukan dia minta. Ini tidak menjadi
pertikaian atas keharusannya.
[2] meminta wang/yuran/gaji untuk mengajar agama.
Dalam hal [2], perlu dilihat hujah-hujah berikut;
PERTAMA: DALIL YANG MEMBENARKAN
[1] Dalam hadis, Nabi
saw membenarkan mas kahwin dengan mengajar al-Quran, walhal hukum asal mas
kahwin adalah wang.
Dalam hadis—daripada
Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi berkata:
أَنَّ رَسُولَ
اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَتْهُ امْرَأَةٌ، فَقَالَتْ: يَا
رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي قَدْ وَهَبْتُ نَفْسِي لَكَ، فَقَامَتْ قِيَامًا طَوِيلًا،
فَقَامَ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، زَوِّجْنِيهَا إِنْ لَمْ يَكُنْ
لَكَ بِهَا حَاجَةٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
«هَلْ عِنْدَكَ مِنْ شَيْءٍ تُصْدِقُهَا إِيَّاهُ؟» ، فَقَالَ: مَا عِنْدِي إِلَّا
إِزَارِي هَذَا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
«إِنَّكَ إِنْ أَعْطَيْتَهَا إِزَارَكَ جَلَسْتَ وَلَا إِزَارَ لَكَ فَالْتَمِسْ
شَيْئًا» ، قَالَ: لَا أَجِدُ شَيْئًا، قَالَ: «فَالْتَمِسْ وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ
حَدِيدٍ» ، فَالْتَمَسَ فَلَمْ يَجِدْ شَيْئًا، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «فَهَلْ مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ شَيْءٌ؟» ،
قَالَ: نَعَمْ سُورَةُ كَذَا وَسُورَةُ كَذَا لِسُوَرٍ سَمَّاهَا، فَقَالَ لَهُ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «قَدْ زَوَّجْتُكَهَا بِمَا
مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ» - ابو داود, 2111
“Rasulullah saw didatangi oleh
seorang wanita seraya berkata: Wahai Rasulullah, aku hadiahkan diriku kepadamu”
Wanita tersebut
berdiri lama. Tiba-tiba seorang lelaki yang berdiri dan berkata: Wahai
Rasulullah, nikahkan aku dengannya jika kamu tidak berkehendak kepadanya”
Kemudian Rasulullah
saw berkata: "Apakah kamu memiliki sesuatu yang dapat kamu berikan
kepadanya sebagai mas kahwin?"
Orang tersebut berkata:
“aku tidak memiliki sesuatu kecuali kain sarungku ini”
Rasulullah saw bersabda lagi: "Apabila
kamu memberikan sarungmu, maka kamu akan telanjang dan kamu tidak memiliki
sarung, carilah sesuatu (untuk dijadikan mas kahwin)”
Lelaki itu berkata: “aku
tidak mendapatkan sesuatu”
Beliau berkata:
"Carilah (yang lain) walaupun hanya sebentuk cincin besi"
Kemudian lelaki
tersebut mencari dan tidak mendapatkan sesuatu pun.
Kemudian Rasulullah
saw pun berkata kepadanya: "Apakah kamu
hafal sedikit dari Al-Qur'an?"
Lelaki tersebut
berkata: “Ya, surah ini dan surah ini”; Dia menyebutkan surah yang telah ia
hafal.
Kemudian Rasulullah
saw berkata kepadanya: "Aku menikahkanmu dengan apa yang engkau miliki
(hafal) dari Al-Quran” (Abu Daud, hadis no: 2111)
ISTIDLAL: hadis ini menjelaskan
bahawa Nabi saw menggantikan mas kahwin dari berbentuk benda kepada mengajar
al-Quran.
[2] hadis—daripada Ibn
Abbas berkata:
أَنَّ نَفَرًا
مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرُّوا بِمَاءٍ،
فِيهِمْ لَدِيغٌ أَوْ سَلِيمٌ، فَعَرَضَ لَهُمْ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ المَاءِ،
فَقَالَ: هَلْ فِيكُمْ مِنْ رَاقٍ، إِنَّ فِي المَاءِ رَجُلًا لَدِيغًا أَوْ
سَلِيمًا، فَانْطَلَقَ رَجُلٌ مِنْهُمْ، فَقَرَأَ بِفَاتِحَةِ الكِتَابِ عَلَى
شَاءٍ، فَبَرَأَ، فَجَاءَ بِالشَّاءِ إِلَى أَصْحَابِهِ، فَكَرِهُوا ذَلِكَ
وَقَالُوا: أَخَذْتَ عَلَى كِتَابِ اللَّهِ أَجْرًا، حَتَّى قَدِمُوا المَدِينَةَ،
فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَخَذَ عَلَى كِتَابِ اللَّهِ أَجْرًا، فَقَالَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ أَحَقَّ مَا أَخَذْتُمْ
عَلَيْهِ أَجْرًا كِتَابُ اللَّهِ»
“Beberapa sahabat Nabi saw melintas di sumber mata air yang
terdapat orang yang tersengat binatang berbisa di situ. Salah seorang yang
tinggal di sumber mata air tersebut datang dan berkata: "Adakah di antara
kalian seseorang yang pandai menjampi? Kerana di tempat tinggal dekat sumber
mata air ada seseorang yang tersengat binatang berbisa"
Salah seorang sahabat Nabi pergi ke tempat tersebut
dan membacakan Al-Fatihah dengan upah seekor kambing. Ternyata orang yang tersengat
tadi sembuh, maka sahabat tersebut membawa kambing itu kepada teman-temannya.
Namun teman-temannya tidak suka dengan hal itu, mereka berkata: "Kamu
mengambil upah atas kitabullah?"
Setelah mereka tiba di Madinah, mereka berkata:
"Wahai Rasulullah, ia ini mengambil upah atas kitabullah."
Rasulullah saw pun bersabda: "Sesungguhnya upah
yang paling berhak kamu ambil adalah upah kerana kitabullah” (al-Bukhari, hadis
no: 5737)
ISTIDLAL: Nabi saw memberitahu keizinan mengambil upah
melalui al-Quran, seperti mengajar dan berbuat jampi.
KEDUA: DALIL YANG MELARANG
[1] Hadis—daripada Ubbadah bin al-Somit berkata:
عَلَّمْتُ
نَاسًا مِنْ أَهْلِ الصُّفَّةِ الْكِتَابَ، وَالْقُرْآنَ فَأَهْدَى إِلَيَّ رَجُلٌ
مِنْهُمْ قَوْسًا فَقُلْتُ: لَيْسَتْ بِمَالٍ وَأَرْمِي عَنْهَا فِي سَبِيلِ
اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، لَآتِيَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ فَلَأَسْأَلَنَّهُ فَأَتَيْتُهُ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، رَجُلٌ
أَهْدَى إِلَيَّ قَوْسًا مِمَّنْ كُنْتُ أُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْقُرْآنَ،
وَلَيْسَتْ بِمَالٍ وَأَرْمِي عَنْهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، قَالَ: «إِنْ كُنْتَ
تُحِبُّ أَنْ تُطَوَّقَ طَوْقًا مِنْ نَارٍ فَاقْبَلْهَا»
Aku
mengajar ahli Suffah menulis dan membaca, kemudian terdapat seseorang memberiku
hadiah sebuah busur panah.
Aku
pun berkata: busur bukanlah sebuah harta, dan aku akan menggunakannya untuk
memanah di jalan Allah. Aku akan datang kepada Rasulullah saw dan bertanya
kepada baginda.
Kemudian
aku berjumpa nabi dan aku pun berkata: “Wahai Rasulullah, seorang lelaki dalam
kalangan orang yang aku ajari menulis dan membaca telah memberiku hadiah sebuah
busur panah, dan busur bukanlah merupakan harta dan aku akan menggunakannya
untuk memanah di jalan Allah.
Baginda
berkata: "Apabila engkau ingin dikalungi dengan kalung dari api maka
terimalah" (Abu Daud, hadis no: 3416)
[2] ayat al-Quran yang dibincangkan ini—Surah
al-Baqarah, ayat 174.
PENDAPAT ULAMA
Dari semua dalil-dalil ini, terdapat kekhilafan
pendapat dalam kalangan ulama seperti berikut;
PERTAMA: HARAM MENGAMBIL UPAH MENGAJAR AGAMA
Ini adalah pendapat al-Zuhri dan Abu Hanifah.
KEDUA: HARUS AMBIL UPAH MENGAJAR AGAMA SELAMA TIDAK BERSYARAT
Ini adalah pendapat Imam Syafie, Imam Maliki, al-hasan
al-Basri, al-Sya’bi, Ibn Sirin dan sebagainya.
Mereka berpegang bahawa hukum asal mengambil upah
untuk mengajar agama adalah harus berdasarkan sandaran hadis-hadis yang
membenarkan.
Namun, hadis Ubbadah bin al-Somit yang mengatakan
larangan itu, perbahasannya adalah seperti berikut;
(a)
Dari sudut sanad, dalam hadis itu ada dua perawi yang
diragui status kesahihannya iaitu MUGHIRAH BIN ZIYAD dan AL-ASWAD BIN SA’LABAH.
(b)
Andai dianggap
sahih sekalipun, hadis itu terbuka kepada pemahaman khusus. Iaitu dilihat pada
konteks hadis, Ubbadah mengajar al-Quran itu kepada ahli suffah yang terkenal
dengan kemiskinan dan kefakiran. Justeru, mengambil upah dari mereka sudah
pasti akan memberi beban kepada mereka untuk suatu masa nanti.
Berkenaan ayat al-Quran, surah al-Baqarah ayat 174
pula; ia tidak bersifat larangan mutlak, tetapi larangan itu ada kaitan dengan
menyembunyikan kebenaran.
Dalam erti kata lain, jika mengambil upah mengajar
agama, tanpa pemberi upah meletakkan syarat agar sembunyikan kebenaran, maka ia
tidak termasuk maksud ayat.
No comments:
Post a Comment