MENJAWAB SALAM KETIKA SEDANG SOLAT
Di awal Islam, antara perkara yang tidak dilarang adalah bercakap semasa sedang solat. Sehinggakan, berlaku keadaan di mana nabi dan para sahabat memberi salam dan menjawab semasa mereka sedang solat.
Namun, hukuman tidak dilarang itu mansukh. Makanya, tidak dibenarkan lagi menjawab salam ketika sedang solat.
Dalam hadis—daripada Abdullah bin Mas’ud berkata:
كُنْتُ أُسَلِّمُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي الصَّلاَةِ فَيَرُدُّ عَلَيَّ ، فَلَمَّا رَجَعْنَا سَلَّمْتُ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيَّ وَقَالَ: إِنَّ فِي الصَّلاَةِ لَشُغْلًا
Áku selalu memberi salam kepada Nabi saw ketika nabi sedang solat, lalu baginda menjawab salam. Ketika aku telah pulang (dari musafir), aku memberi salam kepada Nabi, baginda tidak menjawab salam aku itu. Baginda berkata: Sesungguhnya dalam solat itu ada kesebukan (focus untuk solat). (al-Bukhari, hadis no: 1216)
Begitujuga, larangan bercakap semasa solat termasuk menjawab salam adalah turun firman Allah berikut;
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَى (238) – البقرة
“janganlah kamu atas solat-solat dan solat pertengahan”
MEMBERI SALAM KEPADA ORANG SOLAT
Berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan ulama berkenaan memberi salam kepada orang yang sedang menunaikan solat.
PENDAPAT PERTAMA: MAKRUH
Ini adalah pendapat JABIR BIN ABDILLAH.
Hujah yang menganggap makruh adalah seperti berikut;
Pertama, hadis—daripada Jabir bin Abdillah berkata:
لَوْ دَخَلْتُ عَلَى قَوْمٍ ، وَهُمْ يُصَلُّونَ مَا سَلَّمْتُ عَلَيْهِمْ
“Kalau aku masuk kepada sesuatu kaum ketika mereka sedang solat, aku tidak akan memberi salam kepada mereka” (al-Mu’jam Ibn al-Munzir).
Kedua, apabila orang yang sedang solat dilarang menjawab salam, sudah pasti memberi salam kepada mereka juga adalah dilarang.
PENDAPAT KEDUA: HARUS
Ini adalah pendapat Ibn Umar, Imam Malik, Ahmad bin Hanbal dan sebagainya.
Dalil mereka adalah seperti berikut;
Pertama, hadis—daripada Jabir berkata:
إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَنِي لِحَاجَةٍ ، ثُمَّ أَدْرَكْتُهُ وَهُوَ يَسِيرُ يُصَلِّي - فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ ، فَأَشَارَ إِلَيَّ
“Nabi saw hantar aku untuk tunaikan sesuatu urusan. Kemudian, aku dapati baginda sedang menunaikan solat. Aku memberi salam kepada baginda. baginda pun memberi isyarat kepadaku” (Muslim, hadis no: 540)
Kedua, hadis—daripada Sohaib al-Rumi berkata:
مَرَرْتُ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يُصَلِّي، فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ، فَرَدَّ إِشَارَةً . قَالَ: وَلَا أَعْلَمُهُ إِلَّا قَالَ إِشَارَةً بِأُصْبُعِهِ"
“Aku melintasi Nabi saw yang ketika itu sedang solat. Aku memberi salam kepada baginda. baginda membalas dengan isyarat. Berkata lagi: Aku tidak tahu kecuali dia berkata: baginda memberi isyarat itu dengan jari-jarinya” (Abu Daud, hadis no: 925)
Ketiga, hadis—daripada Abdullah bin Umar berkata:
خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى قُبَاءَ يُصَلِّي فِيهِ ، فَجَاءَتْهُ الْأَنْصَارُ ، فَسَلَّمُوا عَلَيْهِ وَهُوَ يُصَلِّي ، قَالَ: فَقُلْتُ لِبِلَالٍ: كَيْفَ رَأَيْتَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرُدُّ عَلَيْهِمْ، حِينَ كَانُوا يُسَلِّمُونَ عَلَيْهِ وَهُوَ يُصَلِّي؟ ، قَالَ: يَقُولُ هَكَذَا ، وَبَسَطَ كَفَّهُ
“Rasulullah saw keluar ke Quba’-baginda tunaikan solat di situ. Orang-orang ansar pun datang, lalu memberi salam kepada baginda ketika baginda sedang solat. Aku (Ibn Umar) berkata kepada Bilal: bagaimana keadaan mereka memberi salam dalam keadaan baginda saw sedang solat itu? Jawab bilal: “Baginda jawab begini”, sambil bilal membuka tapak tangannya” (Abu Daud, hadis no: 927)
ISTIDLAL: dari ketika hadis ini memperlihatkan bahawa Nabi saw tidak melarang sahabat memberi salam kepada baginda yang sedang solat, bahkan Nabi membalas salam itu dengan isyarat tangan.
Dari ini, al-Imam al-Nawawi berkata dalam Syarh Muslim:
تَحْرِيمُ رَدِّ السَّلَامِ فِيهَا بِاللَّفْظِ ، وَأَنَّهُ لَا تَضُرُّ الْإِشَارَةُ ، بَلْ يُسْتَحَبُّ رَدُّ السَّلَامِ بِالْإِشَارَةِ ، وَبِهَذِهِ الْجُمْلَةِ قَالَ الشَّافِعِيُّ وَالْأَكْثَرُونَ
“Haram menjawab salam dengan lafaz, tetapi tidak mudharat solat jika dibalas dengan isyarat—bahkan, digalakkan jawab dengan isyarat. Ini adalah pendapat Imam Syafie dan kebanyakkannya”
No comments:
Post a Comment