Saturday, March 19, 2022

BACA AL-QURAN DI KUBUR

BACA AL-QURAN DI KUBUR UNTUK KURANGKAN AZAB

 

Daripada Ibn Abbas: 


 مَرَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى قَبْرَيْنِ، فَقَالَ: "إِنَّهُمَا يُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا هَذَا فَكَانَ لَا يَسْتَنْزِهُ مِنَ الْبَوْلِ، وَأَمَّا هَذَا فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ، ثُمَّ دَعَا بِعَسِيبٍ رَطْبٍ فَشَقَّهُ بِاثْنَيْنِ، ثُمَّ غَرَسَ عَلَى هَذَا وَاحِدًا، وَعَلَى هَذَا وَاحِدًا، وَقَالَ: لَعَلَّهُ يُخَفَّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا"

 Nabi melintasi di dua kuburan lalu bersabda: "Sesungguhnya keduanya sedang diazab, dan keduanya tidak diazab kerana dosa besar. Adapun yang ini, dia tidak bersih dari kencing, sedangkan yang ini, kerana dia berjalan dengan namimah (batu api)"

 

Kemudian baginda menyuruh seseorang mengambil pelepah tamar yang basah, lalu dibelah menjadi dua, kemudian baginda menanamkannya pada kuburan ini dan menanamkan satunya pada kuburan yang satu lagi, dan baginda pun bersabda: "Semoga ia dapat meringankan keduanya selama ia belum kering”


Berlaku khilaf dalam kalangan ulama dalam hal membaca al-Quran atas kubur seperti berikut;


PENDAPAT PERTAMA: MEMBACA AL-QURAN DI KUBUR DAPAT KURANGKAN AZAB

 

Kata al-Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim:

 

واستحب العلماء قراءة القرآن عند القبر لهذا الحديث؛ لأنه إذا كان يرجى التخفيف بتسبيح الجريد فتلاوة القرآن أولى والله أعلم

“Ulama menggalakkan membaca al-Quran di samping kubur dengan sebab hadis ini, kerana apabila diharapkan ringan azab dengan sebab tasbih pelepah tamar, justeru bacaan al-Quran adalah lebih diharapkan lagi (diringankan azab).

 

Demikian juga, kata Qadhi Iyyadh dalam kitab Ikmal al-Muallim:

 

أخذ العلماء من هذا استحباب قراءة القرآن على الميت لأنه إذا خٌفِّف عنه بتسبيح الجريدتين وهما جماد، فقراءة القرآن أولى

“Ulama mengambil dari ini bahawa digalakkan membaca al-Quran terhadap mayat kerana apabila ia dapat mengurangkan azab dengan sebab tasbih dua belahan pelepah tamar, walhal kedua-duanya jamad, maka membaca al-Quran terlebih lagi boleh mengurangkan azab”.

 

Abu Bakar bin al-Khallal berkata dalam kitab al-Qiraah ‘Ala al-Qubur bahawa Al-Hasan bin al-Sobbah al-Za’farani berkata:

 

سألت الشافعي عن القراءة عند القبر فقال: لا بأس به

“Aku tanya Imam al-Syafie berkenaan membaca (al-Quran) di samping kubur. Jawab al-Syafie: tidak mengapa”

 

Dalam kitab al-Roh, al-Imam Ibn al-Qayyim ada berkata:

 

وقد ذكر عن جماعة من السلف أنهم أوصوا أن يٌقرَأ عند قبورهم وقت الدفن.

“Disebut dari Jemaah dari kalangan salaf bahawa mereka memberi wasiat agar dibacakan al-Quran di samping kubur mereka—di saat berlaku pengkebumian”

 

Dalam kitab yang sama, dinukilkan perkataan Abdul Haq al-Isybili:

 

يروى أن عبد الله بن عمر أمر أن يقرأ عند قبره سورة البقرة، وكان الإمام أحمد ينكر ذلك أولاً حيث لم يبلغه فيه أثر ثم رجع عن ذلك.

“Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Umar menyuruh bahawa dibacakan Surah al-baqarah di samping kuburnya. Dahulu, Imam Ahmad ingkar maklumat itu tidak sampai kepadanya. Apabila sampai, dia pun rujuk pendapatnya”

 

Antara hujah-hujah bagi pendapat ini adalah seperti berikut;

 

PERTAMA: Tidak dinafikan bahawa tidak ada satu nas yang sarih menyatakan bahawa bacaan al-Quran dapat mengurangkan azab orang dalam kubur.

 

Namun begitu, Konsep kurang azab dengan sebab syafaat Nabi sememangnya ada. Hal ini melihat kepada dikurangkan azab terhadap Abu Talib.

 

Dalil satu: daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah saw ada bersabda:

 

أَهْوَنُ أَهْلِ النَّارِ عَذَابًا أَبُو طَالِبٍ، وَهُوَ مُنْتَعِلٌ بِنَعْلَيْنِ يَغْلِي مِنْهُمَا دِمَاغُهُ

“Seringan azab ahli neraka adalah Abu Talib. Dia pakai sepatu dengan dua sepatu, lalu dengan sebab dua sepatu itu, otaknya bergelegak” (Muslim, hadis 212)

 

Dalil dua: Hadis daripada al-Nu’man bin Basyir bahawa dia mendengar Rasulullah saw bersabda:

 

إِنَّ أَهْوَنَ أَهْلِ النَّارِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَرَجُلٌ تُوضَعُ فِي أَخْمَصِ قَدَمَيْهِ جَمْرَتَانِ، يَغْلِي مِنْهُمَا دِمَاغُهُ

“Azab yang paling ringan untuk ahli neraka pada hari kiamat nanti adalah lelaki yang diletak dua kakinya pada bara api; dengan sebab dua kaki itu, otaknya bergelegak” (muslim, hadis no: 213)

 

Dalam hadis daripada al-Abbas bin Abd al-Muttalib berkata bahawa dia bertanya kepada nabi berkenaan Abu Talib. Jawab Nabi saw;

 

هُوَ فِي ضَحْضَاحٍ مِنْ نَارٍ، وَلَوْلاَ أَنَا لَكَانَ فِي الدَّرَكِ الأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ

“Dia berada di tepian neraka. Seandainya bukan kerana aku, dia tentu sudah berada di dasar neraka” (al-Bukhari, hadis no: 3883)

 

ISTIDLAL: Jika kurang azab terhadap orang bukan islam pun berlaku, sudah pasti kurang azab terhadap muslim juga boleh berlaku.

 

Kedua, terdapat dalil bahawa azab akan dikurangkan dengan sebab doa orang hidup terhadap orang mati.

 

 Antaranya adalah semasa menunaikan solat jenazah, diajar agar mendoakan terhadap si mati. Dalam hadis—daripada Auf bin malik berkata:

 

صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى جَنَازَةٍ، فَحَفِظْتُ مِنْ دُعَائِهِ وَهُوَ يَقُولُ: «اللهُمَّ، اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ - أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ -» قَالَ: «حَتَّى تَمَنَّيْتُ أَنْ أَكُونَ أَنَا ذَلِكَ الْمَيِّتَ»

Rasulullah saw menunaikan solat terhadap satu jenazah. Aku hafal doa baginda itu, iaitu baginda berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa-dosanya, kasihanilah ia, lindungilah ia dan maafkanlah ia, muliakanlah tempat kembalinya, lapangkan kuburnya, bersihkanlah ia dengan air, salji, dan air yang sejuk. Bersihkanlah ia dari segala kesalahan, sebagaimana Engkau telah membersihkan pakaian putih dari kotoran, dan gantilah rumahnya -di dunia- dengan rumah yang lebih baik -di akhirat- serta gantilah keluarganya -di dunia- dengan keluarga yang lebih baik, dan pasangan di dunia dengan yang lebih baik. Masukkanlah ia ke dalam syurga-Mu dan lindungilah ia dari siksa kubur atau siksa api neraka)." (Aku mendengar itu) sehingga aku merasakan seandainya aku sudah menjadi mayat”

 

ISTIDLAL: Kalau mendoakan kepada si mati adalah sia-sia, masakan ia diajar oleh Nabi saw. Ini bermakna, mendoakan kepada si mati agar dikurangkan azab itu boleh berlaku, termasuk bertabarruk dengan al-Quran semasa berdoa terhadap si mati.

 

PENDAPAT KEDUA: TIDAK ADA KONSEP BACA AL-QURAN DI SAMPING KUBUR

 

Ini adalah pendapat Abu Hanifah, Mazhab Maliki, Ibn Taimiyyah dan sebagainya.

 

Antara dalil-dalil mereka adalah seperti berikut;

 

PERTAMA: daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda:

 

لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

“Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Hal ini kerana Syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah” (Muslim, hadis no: 780)

 

ISTIDLAL: Nabi saw larang jadikan rumah sebagai kubur. Lalu dijelaskan, perbezaan antara kubur dan rumah adalah, rumah itu dibacakan al-Quran. Makanya, tidak ada membaca al-Quran di kubur.

 

KEDUA: Fiman Allah:

 

أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى (38) وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى (39) – النجم

Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain * Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”


No comments:

Post a Comment

IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI

  IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI   وَالْحَقُّ كَمَا قَالَ شَيْخُ الْإِسْلَامِ ابْنُ تَيْمِيَةَ:   إِنَّ كُلًّا مِنَ الدَّلِيل...