BATAL WUDUK DENGAN SEBAB SENTUH ZAKAR?
PENDAPAT PERTAMA:
Batal wuduk jika sentuh kemaluan. Ini adalah pendapat MAZHAB SYAFIE dan HANBALI.
Hujah-hujah mereka adalah seperti berikut:
[a] Hadis—daripada Busrah binti Safwan berkata bahawa dia dengar Nabi saw bersabda:
مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ
“Barangsiapa yang sentuh zakarnya, maka hendaklah dia berwuduk” (Abu Daud, hadis no: 181)
ISTIDLAL: Dalam hadis ini, nabi saw suruh berwuduk apabila menyentuh zakar. Justeru, mereka simpulkan bahawa sentuh zakar boleh menyebabkan wuduk batal.
[b] hadis—Abdullah bin Umar berkata:
إِذَا مَسَّ أَحَدُكُمْ ذَكَرَهُ فَقَدْ وَجَبَ عَلَيْهِ الْوُضُوءُ
“Apabila seseorang kamu memegang zakarnya, maka wajib dia berwuduk” (Muwatta’, hadis no: 129)
ISTIDLAL: kewajipan berwuduk apabila menyentuh zakar disebut oleh sahabat Nabi, iaitu Abdullah bin Umar.
PENDAPAT KEDUA: TIDAK BATAL
Ini adalah pendapat Mazhab HANAFI.
Hujah mereka adalah merujuk kepada hadis—daripada Qais bin Talq, dari bapanya yang bernama Talq bin ‘Ali berkata:
سَأَلَ رَجُلٌ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيَتَوَضَّأُ أَحَدُنَا إِذَا مَسَّ ذَكَرَهُ؟ قَالَ: " إِنَّمَا هُوَ بَضْعَةٌ مِنْكَ أَوْ جَسَدِكَ
“Seseorang lelaki bertanya Rasulullah saw, apakah perlu seseorang kami berwuduk apabila menyentuh zakar? Jawab nabi: zakar itu adalah salah satu entity dari badan (jasad) kamu” (Muwatta’, hadis no: 16286)
ISTIDLAL: Hukum asal adalah tidak batal kecuali ada nas yang sahih dan sarih kata batal. Hadis ini membuktikan bahawa sentuh zakar tidak membatalkan wuduk.
Walaubagaimana pun, bagaimana pula dengan hadis-hadis yang dijadikan sandaran dalam mazhab yang mengatakan batal wuduk pula?
Dihujahkan seperti berikut:
Pertama, hadis Abdullah bin Umar itu bukan perkataan Nabi, tetapi kenyataan Abdullah bin Umar. menandakan ia bukan wahyu. Justeru, hadis itu tidak valid untuk dijadikan sandaran bahawa batal wuduk dengan sebab sentuh zakar.
Kedua, hadis Talq bin ‘Ali menyatakan illat hukum, iaitu tidak batal wuduk itu, illat hukumya adalah zakar itu adalah salah satu entity jasad manusia juga. Adapun hadis Busrah binti Sofwan, ia tidak dinyatakan illat hukum.
Dalam metode Usul al-Fiqh mazhab Hanafi, apabila bertembung antara hadis yang ada illat dengan hadis yang tidak ada illat, maka didahulukan hadis yang ada illat.
Dalam hal ini, hadis tidak batal wuduk itu ada illat. Maka, diambil hadis yang ada illat.
Apatah lagi, hadis Busrah itu terbuka kepada penakwilan. Hal ini kerana, suruha berwuduk kerana sentuh zakar itu boleh sahaja dianggap suruhan sunat, bukan bermaksud batal wuduk; ataupun seperti takwilan sebilangan ulama mazhab maliki yang menyatakan bahawa suruhan itu melibatkan kepada sentuhan zakar yang boleh menaikkan syahwat. Dalam erti kata yang lain, batal wuduk itu bukan kerana sentuhan, tetapi factor syahwat ekoran sentuhan dan sebagainya.
Bagi pendapat Ibn Taimiyyah pula, sentuh zakar tidak membatalkan wuduk. Namun, terlebih utama berwuduk juga.
SENTUH FARAJ BAGI WANITA
Apabila dalam hadis menyatakan sentuh zakar yang membatalkan wuduk, bagaimana pula hukum perempuan menyentuh farajnya?
PERTAMA, tidak terdapat satu al-Quran dan hadis secara sarih menyatakan hukum wuduk bagi wanita menyentuh kemaluan.
KEDUA, apabila tidak ada nas sarih, makanya diserahkan kepada ijtihad ulama.
Dalam kalangan ulama, terdapat dua pendapat berikut;
PENDAPAT PERTAMA: BATAL WUDUK PEREMPUAN YANG SENTUH FARAJNYA.
Hujah mereka adalah kembali kepada kaedah bahawa hukum perempuan sama dengan hukum lelaki kecuali ada nas khusus bagi wanita dalam menyatakan sebaliknya.
Dalam erti kata lain, hukum wanita sentuh farajnya adalah batal wuduknya, sama seperti lelaki menyentuh zakarnya kerana faraj dan zakar adalah sama-sama kemaluan.
PENDAPAT KEDUA: TIDAK BATAL.
Ini pendapat Hanafi dan Suhnun (salah seorang ulama dalam Mazhab maliki).
Pendapat ini menyatakan, hukum berkenaan penentuan batal wuduk adalah ta’abbud. Justeru, kekalkan hukum tidak batal kecuali ada nas secara khusus menyebut batal.
Yang pasti, tidak ada nas khusus menyebut bahawa perempuan menyentuh kemaluan itu batal wuduk. Makanya, disimpulkan bahawa wanita sentuh faraj tidak membatalkan wuduknya.
Maksud dengan faraj dalam perbincangan ini adalah pada halaqah faraj. Hukumnya sama dengan menyentuh halaqah dubur.
No comments:
Post a Comment