Thursday, February 24, 2022

ZIKIR “ALLAH”, “ALLAH”

 

ZIKIR “ALLAH”, “ALLAH”

 

Zikir “Allah”, “Allah”, apakah dibenarkan atau dilarang?

 

Tidak terdapat satu pun suruhan atau larangan, dan juga perbuatan Nabi saw dalam hal berzikir menggunakan lafaz Allah secara mufrad.

 

Dengan sebab itu, hal ini terikat kepada ijtihad para ulama dalam menentukan hukumnya.

 

PENDAPAT ULAMA:

Dalam hal ini, ada dua pendapat:

 

[1] tidak boleh zikir dengan lafaz mufrad atau mujarrad. Ini adalah pendapat Ibn Taimiyyah, al-Izz bin Abd al-Salam dan sebagainya.

 

[2] boleh zikir dengan lafaz mufrad atau mujarrad. Ini adalah pendapat Dr. Ali Jumu’ah.

 

HUJAH PENDAPAT MELARANG

 

[A] Zikir antara perkara ibadat khusus. Justeru perlu kepada nas yang sahih dan sarih dalam menyatakan bahawa ia diamalkan oleh Nabi. Jika tidak ada, maka ia dianggap sebagai bid’ah.

 

[B] Di lihat dari sudut dalil hadis, didapati zikir yang diajar oleh Nabi tidak pernah bersifat mufrad. Semuanya dengan lafaz murakkab (tersusun antara perkataan) sehingga menjadi ayat yang difahami.

 

Antara hadis-hadis tersebut adalah seperti berikut;

 

n  Imam al-Tarmizi ada riwayatkan hadis bahawa Nabi saw bersabda:

أفضل الذكر لا إله إلا الله، وأفضل الدعاء الحمد لله

“zikir yang paling Afdhal adalah “La Ilaha Illa Allah” dan Doa yang paling afdhal adalah “Alhamdulillah”. (Tarmizi kata, hadis hasan gharib)

 

n  Imam Muslim ada riwayatkan hadis daripada Nabi saw bersabda:

الحمد الله تملأ الميزان وسبحان الله والحمد الله تملآن أو تملأ ما بين السماء والأرض.

“al-Hamdulillah” memenuhi timbangan, dan “subhanallah wa al-hamdulillah”; kedua-dua ini memenungi langit dan bumi” (muslim)

 

n  Malik dalam Muwatta’ meriwayatkan bahawa nabi saw bersabda:

 أفضل ما قلت أنا والنبيون قبلي: لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير.

“Seafdhal perkara yang aku kata dan para nabi sebelum aku adalah “la Ilaha Illa Allah wahdahu la Syarika lah, lahu al-Mulk wa lahu al-hamd, wa huwa ‘Ala Kulli Syai’ Qadir” (muwatta’, Malik).

 

n  Ahmad bin Hanbal dalam musnadnya meriwayatkan hadis bahawa nabi saw berkata:

 أفضل الكلام بعد القرآن سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر.

“Kalam yang paling afdhal selepas al-Quran adalah Subhanallah wal Hamdulillah wa La ilaha illa Allah Wallahu ‘Akbar” (Musnad Ahmad).

 

PENDAPAT YANG MEMBENARKAN

 

[HUJAH 1] Hadis muslim—Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah saw bersabda:

عَنْ أَنَسٍ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: " لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ: اللهُ، اللهُ "

“tidak akan berlaku kiamat hingga tidak ada lagi disebut di bumi: “Allah”, “Allah”

 

Hujah ini dibantah oleh mereka yang melarang dengan alasan berikut:

 

[BANTAHAN SATU] Hadis ini diriwayatkan secara mukhtasar (ringkasan).

 

Muhammad Al-Amir al-Harari dalam al-Kaukab al-Wahhaj kata, yang dimaksudkan “tidak ada lagi disebut di bumi “Allah”, “Allah”; itu ada kalam takdir; iaitu merujuk kepada maksud لا اله الا الله.

 

Dalam erti kata yang lain, tidak akan berlaku kiamat selama masih ada lagi manusia yang mengucapkan kalam tauhid, iaitu “tiada tuhan kecuali Allah”.

 

Pendapat ini diasaskan kepada riwayat Ahmad seperti berikut:

 

حَدَّثَنَا عَفَّانُ، حَدَّثَنَا حَمَّادٌ، أَخْبَرَنَا ثَابِتٌ، عَنْ أَنَسٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Tidak berlaku kiamat hingga tidak ada lagi disebut di bumi: “tiada tuhan kecuali Allah” (Ahmad, hadis no: 13832)

 

Dari sudut sanad, hadis ahmad ini bermuarakan dari perawi yang sama dalam sanad muslim, iaitu: AFFAN yang ambil dari HAMMAD yang ambil dari SABIT yang ambil dari ANAS BIN MALIK

 

Dalam Musnad Ishaq pula, dinyatakan hadis berikut:

 

وَبِهَذَا الْإِسْنَادِ (أَخْبَرَنَا كُلْثُومٌ، نا عَطَاءٌ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ)، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لَا تَقُومُ السَّاعَةُ عَلَى أَحَدٍ يَقُولُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَوْ يَأْمُرُ بِالْمَعْرُوفِ أَوْ يَنْهَى عَنِ الْمُنْكَرِ» .

“tidak akan berlaku kiamat atas seorang pun yang berkata: tiada tuhan kecuali Allah; ataupun dia menyuruh ma’ruf dan melarang dari mungkar” (Musnad Ishaq, hadis no: 387)

 

Dengan ini jelas, dalam riwayat lain menyebut bahawa perkataan itu adalah “la Ilaha Illa Allah”.

 

Dalam erti kata lain, yang dimaksudkan dengan ungkapan “Allah” itu adalah ringkasan dari perkataan “La Ilaha Illa Allah”. zikir dengan kalam tauhid itu sememangnya ada dalam nas.

 

[BANTAHAN DUA] Hadis ini menjelaskan situasi di akhir zaman nanti yang menyebut berkenaan tidak ada manusia yang beriman dengan Allah, bukan merujuk kepada amalan zikir. Kata al-Munawi dalam Faid al-Qadir:

وليس المراد أن يتلفظ بهذه الكلمة بل إنه لا يذكر الله ذكراً حقيقياً

“bukanlah maksudnya (hadis ini) adalah berlafaz dengan kalimah ini, tetapi tidak ingat pada Allah secara hakikat”

 

Bagi pendapat yang membenarkan pula menjawab:

 

[JAWAB 1] sesuatu nas wahyu itu dipegang pada umum lafaz selama tidak ada nas lain yang mentakhsiskannya. Justeru, hadis ini boleh sahaja diaplikasi dalam kerangka zikir dan selain zikir.

 

[JAWAB 2] Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa nama Allah yang bersifat Mufrad, tetap boleh dianggap sebagai ta’zim (membesarkan Allah).

 

Hal ini dibahas oleh Imam Abu Hanifah dalam hal membaca “Allah” secara mufrad atau mujarrad ketika menyembelih binatang yang beliau menyatakan sudah sah. (al-Badaie, 1/ 131)

فَأَمَّا إذَا ذَكَر الِاسْمَ لَا غَيْرَ بِأَنْ قَالَ: " اللَّهُ " لَا يَصِيرُ شَارِعًا عِنْدَ مُحَمَّدٍ، وَرَوَى الْحَسَنُ عَنْ أَبِي حَنِيفَةَ أَنَّهُ يَصِيرُ شَارِعًا، وَكَذَا رَوَى بِشْرٌ عَنْ أَبِي يُوسُفَ عَنْ أَبِي حَنِيفَةَ لِمُحَمَّدٍ أَنَّ النَّصَّ وَرَدَ بِالِاسْمِ وَالصِّفَةِ فَلَا يَجُوزُ الِاكْتِفَاءُ بِمُجَرَّدِ الِاسْمِ وَلِأَبِي حَنِيفَةَ أَنَّ النَّصَّ مَعْلُولٌ بِمَعْنَى التَّعْظِيمِ، وَأَنَّهُ يَحْصُلُ بِالِاسْمِ الْمُجَرَّدِ، وَالدَّلِيلُ عَلَيْهِ أَنَّهُ يَصِيرُ شَارِعًا بِقَوْلِهِ: " لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ "، وَالشُّرُوعُ إنَّمَا يَحْصُلُ بِقَوْلِهِ: " اللَّهُ " لَا بِالنَّفْيِ

 

[HUJAH 2] sesuatu amalan zikir tidak semestinya dilarang hanya kerana ia tidak dilakukan oleh Nabi. Jika ada manat hukum, maka ia boleh dijadikan sandaran.

 

Hujah manat ibadat itu berasaskan kepada hadis sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani—daripada Rifa’ah bin Rafi’ al-Zarqi:

عن رفاعة بن رافع الزرقي، قال : كنا يوما نصلى وراء النبي صلي الله عليه وسلم فلما رفع رأسه من الركعة قال : سمع الله لمن حمده. قال رجل وراءه ربنا ولك الحمـد، حمدًا كثيرًا طيبًا مباركًا فيه، فلمـا انصرف قال: من المتكلم. قال : أنا. قال : رأيت بضعة وثلاثين ملكًا يبتدرونها، أيهم يكتبها أول

“kami solat satu hari di belakang Nabi. Ketika baginda angkat kepala dari rukuk, baginda membaca: سمع الله لمن حمده

Berkata seseorang lelaki di belakang Nabi: ربنا ولك الحمـد، حمدًا كثيرًا طيبًا مباركًا فيه

Apabila Nabi saw selesai, baginda berpaling berkata: Siapa yang membaca tadi?

Lelaki itu jawab: saya.

Nabi pun kata: Aku melihat 30 lebih malaikat berebut-rebut siapa dalam kalangan mereka yang mula-mula mahu menulisnya” (Fath al-Bari, 2/ 286)

 

Dengan hadis ini, Ibn Hajar membuat komentar berikut;

وَاسْتُدِلَّ بِهِ عَلَى جَوَازِ إِحْدَاثِ ذِكْرٍ فِي الصَّلَاةِ غَيْرِ مَأْثُورٍ إِذا كَانَ غير مُخَالف للمأثور

“Ia menjadi dalil bahawa harus mencipta zikir dalam solat yang tidak ma’tsur, jika ia tidak menyalahi dengan zikir yang ma’sur (Fath al-Bari, 2/ 287)

 

Justeru, walaupun amalan zikir “Allah” secara mufrad atau mujarrad ini tidak diamalkan oleh Nabi dan salaf soleh, tidak bermakna ia dilarang berasaskan kepada hujah Manat ini.

 

[A] Kisah bilal sebut “ahad” semasa diseksa yang merupakan dalil bahawa perkataan “Allah” secara mufrad juga boleh dianggap sebagai zikir.

 

[B] Hadis Nabi saw ajar Saidina Ali agar membaca zikir “Allah”, “Allah”.

 

Bagi pihak yang melarang membantah dengan menyatakan bahawa hadis ini palsu.

 

KESIMPULAN

 

Hal ini adalah perkara khilafiyyah yang setiap pihak mempunyai sandaran hujah yang muktabar; dari al-Quran dan hadis, secara manhaj istinbat yang diperakui.

 

Justeru, dapat disimpulkan bahawa tidak salah untuk berzikir “Allah”, “Allah” secara mufrad, tetapi yang paling utama adalah mengamalkan zikir sepertimana yang diajar oleh Rasulullah saw.

 


No comments:

Post a Comment

BENARKAH ALI BIN ABI TALIB KATA SUNNAH ZIARAH KUBUR HARI RAYA?

  BENARKAH ALI BIN ABI TALIB KATA SUNNAH ZIARAH KUBUR HARI RAYA? Sebelum ini admin sudah dedahkan bagaimana Jabatan Mufti Negeri Sembilan se...