Tuesday, September 6, 2022

AL-BAQARAH 180

AL-BAQARAH 180

 

كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ (180)

Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 179

AYAT 180

 

Dijelaskan hukum Qisas dan kaitannya dengan hukum kematian.

 

 

Dijelaskan hukum orang yang hampir dengan kematian dan mereka pula ada meninggalkan harta. Justeru mereka perlu melakukan  wasiat.

 

 

Digalakkan kepada ahli keluarga mangsa bunuh bahawa memberi kemaafan kepada pembunuh agar dia terlepas dari hukuman mati. Ayat menggunakan perkataan اخيه, iaitu saudara.

 

 

Dijelaskan agar menjaga hubungan silaturrahim, walaupun selepas daripada kematian. Iaitu dengan adanya konsep wasiat harta kepada ibu bapa dan kaum kerabat. (Usaimin:3/308)

 

 

[1] Dari sudut bahasa, wasiat adalah pesanan baik yang disampaikan kepada orang lain agar dia lakukan, samaada orang yang berpesan itu masih hidup maupun setelah kematian.

 

Dari sudut konteks ayat, wasiat adalah pesanan yang disampaikan agar dilaksanakan selepas kematian oleh orang yang memberi wasiat. (Shihab:1/397)

 

[2] Wasiat dilakukan oleh orang yang hampir dengan kematian. Iaitu apabila ada tanda-tanda yang dia bakal menghadapi kematian, seperti sakit, maka perlu dia memberi wasiat hartanya.

 

[3] Ayat wasiat diturunkan terlebih dahulu berbanding ayat faraid (al-Nisa’ 4: 7-11). Justeru, ibu bapa yang telah ditentukan hak faraid, maka mereka tidak termasuk di dalam kalangan yang menerima wasiat.

 

Dalam hadis—daripada Abi Umamah berkata bahawa Nabi saw ada bersabda;

 

عن ابي أُمَامَةَ، سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ فَلَا وَصِيَّةَ لِوَارِثٍ» - البخاري, 2870[1]

"Sesungguhnya Allah memberikan hak kepada mereka yang berhak, terima ke tidak ada wasiat untuk waris" (Hamka:1/412)

 

Menurut al-Imam al-Mawardi, jumhur ulama dari kalangan tabiin menyatakan bahawa, sebelum turun ayat faraid, wasiat harta untuk kedua ibu bapa adalah wajib. (Qurtubi:3/99)

 

كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

 

[1] Kalau dilihat dalam kupasan الزجاج, beliau menyatakan bahawa ayat ini adalah عطف bagi ayat sebelum ini. Dalam perkataan lain ayat ini berbunyi: وكتب عليكم, itu wujud huruf واو عطف.

 

Dan sengaja tidak disebut kerana memendekkan perkataan dalam keadaan manusia sudah faham, seperti dalam firman Allah:

 

لَا يَصْلاها إِلَّا الْأَشْقَى. الَّذِي كَذَّبَ وَتَوَلَّى" [الليل: 16- 15] أَيْ وَالَّذِي

 

[2] Dalam ayat ini Allah menggunakan perkataan كتب, yang memberi maksud diwajibkan. Dengan ini, orang yang hampir dengan kematian bahawa wajib dia meninggalkan wasiat yang berkaitan dengan hartanya.

 

[3] Kata Al-Qurtubi, maksud dengan حضركم الموت, iaitu apabila datang tanda-tanda atau asbab kematian. (Qurtubi:3/91)

 

Walaupun digunakan فعل الماضي, ia tidak bermakna kematian itu sudah berlaku. Ia juga memberi maksud kematian yang bakal berlaku.

 

Ia sama seperti ungkapan: قد قامت الصلاة, yang ungkapan ini bukan bermaksud solat sudah ditunaikan, tetapi solat tidak lama lagi mahu ditunaikan.

 

 Demikian juga seperti firman Allah: اذا قمتم الى الصلاه فاغسلوا وجوهكم, ayat ini bukan menyatakan bahawa berwuduk itu dilakukan setelah masuk solat, tetapi menyatakan bahawa “jika kamu mahu menunaikan solat”.

 

Ataupun melihat kepada firman Allah: فاذا قرات القران فاستعذ بالله من الشيطان الرجيم, yang ayat ini bukan menggambarkan membaca الاستعاذة setelah membaca Al-Quran, tetapi membaca itu sebelum memulai membaca Al-Quran. (Tahir:2/146)

 

إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ

 

[1] Sebilangan ulama seperti Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Ibnu Zaid dan Imam Malik; mereka mengatakan ayat ini Mansukh dengan ayat faraid (surah al-Nisa’ 4:7-11). Hal ini kerana ibu bapa antara orang yang berhak untuk mendapat hak faraid, sedangkan ayat ini menyatakan bahawa ibu bapa mendapat hak wasiat. (Qurtubi: 3/101)

 

Namun bagi pendapat yang membantah mereka menjelaskan hujah berikut;

 

(a)                               Makna perkataan ترك خيرا

 

Apabila Allah kata تَرَكَ خَيۡرًا, menandakan wasiat itu hanya berlaku pada lebihan harta yang telah difaraidkan. Hal ini kerana, perkataan dalam bahasa Arab yang apabila bermaksud harta, ia merujuk kepada kekayaan dan kemewahan. Seperti kita kata: dia telah meninggalkan kebaikan; maksudnya, dia telah meninggalkan lebihan harta yang banyak.

 

 وَمَا تُنفِقُواْ مِنۡ خَيۡرٖ (272) – البقرة

 

وَإِنَّهُۥ لِحُبِّ ٱلۡخَیۡرِ لَشَدِیدٌ (8) - العاديات

 

(b)                              Hadis Aisyah;

 

Dalam riwayat Ibnu Abi Syaibah, Ummu mukminin, iaitu Aisyah ada bertanya kepada yang mahu melakukan wasiat: "Berapakah banyak harta engkau?"

 

Dia jawab: tiga ribu

Aisyah tanya lagi; berapa orang anak engkau?

Dia jawab: ada empat orang.

Aisyah tanya lagi: meremang Allah menyatakan jika engkau meninggalkan Khairan hendaklah berwasiat, tetapi harta engkau itu sedikit. Sebab itu tinggalkan harta itu buat anak-anakmu, itulah yang lebih baik.

 

عَنْ عَائِشَةَ قَالَ: قَالَ لَهَا رَجُلٌ: إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُوصِيَ، قَالَتْ: «كَمْ مَالُكَ؟» ، قَالَ: ثَلَاثَةُ آلَافٍ، قَالَتْ: «فَكَمْ عِيَالُكَ؟» ، قَالَ: أَرْبَعَةٌ، قَالَتْ: «فَإِنَّ اللَّهَ يَقُولُ» : {إِنْ تَرَكَ خَيْرًا} [البقرة: 180] ، «وَإِنَّهُ شَيْءٌ يَسِيرٌ، فَدَعْهُ لِعِيَالِكَ فَإِنَّهُ أَفْضَلُ» - مصنف ابن ابي شيبة, 30946[2]

 

(c)                               HADIS ALI BIN ABI TALIB

 

Dalam riwayat Al-Baihaqi, Ali bin Abi Talib datang menziarahi kepada maulanya yang sedang sakit. Maula itu berkata: apakah tidak patut kalau saya berwasiat?

Ali bertanya: berapa harga yang engkau tinggalkan?

Jawab Maula: ada tujuh ratus dirham atau enam ratus dirham.

Ali berkata: ini cuma harta yang sedikit, tidak perlulah kamu berwasiat. Biarkan saja untuk waris kamu.(Hamka:1/414)

 

عَنْ عروة بن الزبير قَالَ: دَخَلَ عَلِيٌّ عَلَى مَوْلًى لَهُمْ فِي الْمَوْتِ فَقَالَ: يَا عَلِيُّ أَلَا أُوصِي؟ فَقَالَ عَلِيٌّ: لَا إِنَّمَا قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: {إِنْ تَرَكَ خَيْرًا} [البقرة: 180] وَلَيْسَ لَكَ كَثِيرُ مَالٍ " قَالَ: «وَكَانَ لَهُ سَبْعُمِائَةِ دِرْهَمٍ» - مصنف عبد الرزاق, 16351[3]

 

(d)                              Kemungkinan takhsis

 

Usaimin menyatakan, ayat ini tidak boleh mansukh kerana ia memungkinkan takhsis.

 

Iaitu, ibu bapa tidak boleh mendapat wasiat jika mereka adalah ahli bagi faraid. Namun jika mereka bukan ahli faraid, seperti mereka tidak beragama islam atau hamba, maka mereka dapat hak wasiat. (Usaimin:3/207)

 

Dari keempat-empat hujah ini, dapat disimpulkan bahawa konsep wasiat kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat sepertimana dalam ayat ini  tidak mansukh.

 

Justeru yang dimaksudkan dalam ayat bahawa ibu bapa layak mendapat hak wasiat adalah merujuk kepada ibu bapa yang tidak layak untuk mendapat hak faraid, seperti ibu bapa yang tidak beragama islam atau ibu bapa yang mereka adalah golongan hamba. Apatah lagi semasa ayat ini diturunkan, konsep perhambaan itu masih diamalkan lagi. (Shihab:1/398, Hamka:1/414)

 

Ini adalah pendapat Al-Dhahhaq, Thawus, al-Hassan dan al-Tabari. (Qurtubi:3/99)

 

[2] Menurut Sya'rawi, konsep wasiat diberikan kepada ibu bapa yang tidak beragama Islam selaras dengan firman Allah;

 

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (15) - لقمان

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (sya'rawi:1/758)

 

PENDALILAN: dalam ayat ini, Allah suruh manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapa, walaupun mereka tidak beragama islam. Allah suruh berbuat ma’ruf kepada mereka, walaupun tidak taat kepada mereka ketika mereka memaksa agar mensyirikkan Allah.

 

[3] Perkataan خير dalam ayat merujuk kepada harta yang banyak. Justeru, berapa kadar banyak harta tersebut?

 

(a)                          700 Dinar ke atas. Ini pendapat Ali, Aisyah dan Ibn Abbas.

 

(b)                         1 ribu dinar dan ke atas. Ini pendapat al-Hasan sepertimana riwayat Qatadah.

 

(c)                          Dari 5 ratus sehingga 1 ribu dinar. Ini pendapat Al-Sya'bi. (Qurtubi:3/93)

 

[4] Kadar wasiat hanya 1/3 daripada harta si mati. Tidak boleh lebih daripada kadar itu. Jika lebih, dia telah menzalimi kepada mereka yang layak menerima faraid. (Hamka:1/414)

 

Dalam hadis, dari Abu Said al-Khudri berkata:

 

عَنْ سَعْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي وَأَنَا مَرِيضٌ بِمَكَّةَ، فَقُلْتُ: لِي مَالٌ، أُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ؟ قَالَ: «لاَ» قُلْتُ: فَالشَّطْرِ؟ قَالَ: «لاَ» قُلْتُ: فَالثُّلُثِ؟ قَالَ: «الثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ، أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ » - البخاري, 5354[4]

Nabi saw mengunjungiku ketika aku jatuh sakit di Makkah. Aku memberitahu kepada baginda: "Aku memiliki harta. Aku mahu mewasiatkan seluruhnya?" Baginda menjawab: "Tidak."

 

Aku bertanya lagi: "Ataukah setengah darinya?" Jawab nabi: "Tidak."

 

Aku bertanya lagi: "Ataukah sepertiga darinya?" jawab Baginda: "Ya, sepertiga. Namun sepertiga adalah sesuatu yang banyak. Lebih baik bila kamu meninggalkan kecukupan kepada ahli warismu berbanding kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan meminta-minta dari apa yang ada di tangan manusia. (sya'rawi:1/758)

 

Dari hadis ini, jumhur ulama menyatakan, tidak harus memberi wasiat harta lebih daripada satu pertiga.

 

Bahkan mereka menyatakan bahawasanya tindakan sebegitu adalah batil. (Tahir:2/151)

 

Walaubagaimanapun jika dia tidak mempunyai sebarang kerabat dan ibu bapanya juga sudah meninggal, Abu Hanifah dan ulama bermazhab hanafi memfatwakan bahawa harus baginya mewasiatkan semua hartanya. (Tahir:2/151, Qurtubi:3/96)

 

لِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ

 

[1] Kata Sya'rawi, kebiasaan manusia itu selalu memfokuskan kepada anak berbanding ibu bapa. Dengan sebab itu, Allah menyatakan dalam ayat ini agar manusia tidak abaikan kepada kedua ibu bapa mereka dalam hal yang melibatkan wasiat. (Sya'rawi:1/757)

 

[2] Dalam ayat yang lain Ada menyatakan bahawa ibu bapa yang kematian anak akan mendapat hak faraid sebanyak 1/6. Firman Allah:

 

یُوصِیكُمُ ٱللَّهُ فِیۤ أَوۡلَـٰدِكُمۡۖ لِلذَّكَرِ مِثۡلُ حَظِّ ٱلۡأُنثَیَیۡنِۚ فَإِن كُنَّ نِسَاۤءࣰ فَوۡقَ ٱثۡنَتَیۡنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَۖ وَإِن كَانَتۡ وَ ٰ⁠حِدَةࣰ فَلَهَا ٱلنِّصۡفُۚ وَلِأَبَوَیۡهِ لِكُلِّ وَ ٰ⁠حِدࣲ مِّنۡهُمَا ٱلسُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُۥ وَلَدࣱۚ فَإِن لَّمۡ یَكُن لَّهُۥ وَلَدࣱ وَوَرِثَهُۥۤ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ ٱلثُّلُثُۚ فَإِن كَانَ لَهُۥۤ إِخۡوَةࣱ فَلِأُمِّهِ ٱلسُّدُسُۚ مِنۢ بَعۡدِ وَصِیَّةࣲ یُوصِی بِهَاۤ أَوۡ دَیۡنٍۗ ءَابَاۤؤُكُمۡ وَأَبۡنَاۤؤُكُمۡ لَا تَدۡرُونَ أَیُّهُمۡ أَقۡرَبُ لَكُمۡ نَفۡعࣰاۚ فَرِیضَةࣰ مِّنَ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِیمًا حَكِیمࣰا (11) - النساء

 

Ayat ke-11 dari surah al-Nisa’ ini  sebagai takhsis terhadap ayat 180 surah al-Baqarah, iaitu seperti berikut;

 

(a)                        ibu bapa yang beragama islam dan layak menerima faraid, dia akan mendapat bahagian daripada peninggalan harta anaknya sebanyak satu perenam. Hal ini dilihat pada ayat yang ke-11 dari surah an-Nisa.

 

(b)                       Ibu bapa yang tidak layak menerima faraid seperti dia tidak beragama islam ataupun seorang hamba, mereka dapat hak wasiat sepertimana yang disebut oleh Allah dalam ayat yang ke-180 dari surah al-Baqarah.

 

[3] Siapa yang dimaksudkan sebagai kaum kerabat di dalam ayat ini? Terdapat perbezaan pentafsiran ulama seperti berikut;

 

(a)                Anak-anak. Ini adalah pendapat Abdul Rahman bin Zaid.

 

(b)               Semua kaum kerabat yang selain ibu dan bapa. Ini adalah pendapat Ibnu Abbas dan Mujahid.

 

(c)                 Semua kaum kerabat mereka yang dapat mewarisi dan tidak dapat mewarisi.

 

(d)               Mereka yang tidak dapat mewarisi harta dari kalangan orang lelaki. (Razi:5/65)

 

(e)               Usaimin kata, maksud kerabat adalah adik-beradik dan bapa saudara dan ibu saudara. (Usaimin:3/306)

 

[4] Berkata imam mazhab empat dan al-Awza'ie;

 

مَنْ أَوْصَى لِغَيْرِ قَرَابَتِهِ وَتَرَكَ قَرَابَتَهُ مُحْتَاجِينَ فَبِئْسَمَا صَنَعَ!

Barangsiapa yang memberi wasiat kepada orang yang bukan kaum kerabatnya, serta meninggalkan kerabatnya dalam keadaan mereka  memerlukan (keperluan kewangan), amat buruklah dengan apa yang dilakukan. (Al-Qurtubi:1/102)

 

[5] Dari sudut bahasa, معروف bermaksud adalah perbuatan yang diterima akal, dan hawa nafsu akan menolak. Ia adalah sesuatu yang disukai dan diredhai dalam agama.

 

Lawan bagi makruf adalah mungkar, itu sesuatu yang diingkari oleh manusia dari sudut akal, walaupun kadangkala diterima oleh hawa nafsu.

 

Justeru, maksud dengan بالمعروف dalam ayat ini adalah:

(a)                          agihkan harta itu secara adil. Hal ini kerana, dengan keadilan akan terhindar rasa tidak puas hati dari pihak lain.

(b)                          Juga memberi makna, diagihkan harta itu jangan sampai memudaratkan kepada waris, kaum kerabat atau suami atau isteri masing-masing. (Tahir:2/148)

(c)                           Dibahagikan harta itu berdasarkan uruf syariat. (Usaimin:2/306)

(d)                          Agihkan itu dengan sifat kasih sayang dan Ehsan. (Kathir:1/494)

 

حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ (180)

 

Perkataan حقا ia memberi makna kewajiban dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan. (Hamka:1/414)

 

Namun, dalam kupasan al-Imam Al-Qurtubi pula, apabila Allah mengatakan حقا على المتقين, kelihatan ayat ini mengkhususkan kepada orang bertaqwa sahaja.

 

Dengan ini disimpulkan bahawa, hukum wasiat ini adalah sekadar sunat sahaja. Kalau ia adalah wajib atau fardhu, sudah pasti akan disebut حقا على المسلمين. (Qurtubi:3/109)

 

PENGAJARAN

 

[1] Ibu bapa yang tidak beragama islam tidak dapat menerima Faraid. Justeru konsep wasiat sebagai cara untuk mengatasi masalah ini; iaitu diwasiatkan agar diberikan beberapa kadar harta kepada ibu bapa yang tidak beragama islam tersebut. (Hamka:1/414)

 

[2] Ulama khilaf berkenaan hukum wasiat;

 

(a)                     Syafie, Maliki dan al-Sauri: tidak wajib memberi wasiat sebelum mati. Ia sekadar sunat sahaja.

 

(b)                     al-Zuhri dan Abu Mijlaz: wajib berwasiat sebelum mati.

 

(c)                     Abu Thur: tidak wajib kecuali dia ada hutang, atau dia ada pegang duit orang yang diamanahkan kepadanya. (Qurtubi:3/94)

 

(d)                     Ibrahim Al-Nakhaie ada berkata: Rasulullah wafat tanpa nabi berwasiat. Abu Bakar berwasiat. Justeru, jika berwasiat, maka itu baik. Jika tidak berwasiat, tidak ada sebarang kesalahan pun. (Qurtubi:3/95)

 

[3] Ulamak berbeza pendapat berkenaan dengan orang yang telah memberi wasiat, kemudian dia mahu menukar wasiatnya;

(a)                         Tidak boleh dia menukar balik Wasiat. Ini adalah pendapat 'Ata bin Abi Rabah, Thawus, al-hassan, ibn sirin, ibn abi laila, al-Zuhri, Rabiah dan al-Awza'ie.

 

(b)                        Dia boleh menukar balik wasiatnya. Ini adalah pendapat imam Syafie, imam Abu Hanifah, imam Ahmad bin hambal. (Qurtubi:3/102)

 

[4] Seorang yang sakit, dia memberi wasiat secara isyarat, bukan dengan perkataan atau dokumentasi; apakah sah wasiat atau tidak?

 

(a)                       SUFYAN AL-SAURI, wasiat tidak boleh berlaku kecuali perlu dengan sesuatu yang meyakinkan seperti bercakap ataupun menulis.

 

(b)                       AL-AWZA'IE, wasiat boleh berlaku secara isyarat. Ia sama seperti seperti hukum wasiat bagi orang bisu. (Qurtubi:3/110)

 

[5] Ada empat syarat untuk berlaku wasiat;

 

(1)                  Taklif; iaitu wasiat tidak sah dari orang gila atau kanak-kanak.

 

(2)                   Islam; iaitu wasiat tidak sah jika datang dari orang kafir.

 

(3)                  ‘Adalah; iaitu wasiat tidak sah jika datang dari orang fasik.

 

(4)                  kifayah dan hidayah; iaitu tidak disyaratkan orang itu merdeka. Jika hamba memberi wasiat juga hukumnya adalah boleh. (Qurtubi:1/114)

 

[6] HUKUM NASAKH

 

(A)                NASAKH SESAMA AYAT AL-QURAN

 

Abduh menyatakan bahawa konsep nasakh itu berasaskan kepada hikmah dan realiti. Dengan sebab itu, syariat Musa menasakhkan sesetengah hukum dalam syariat Nabi Ibrahim; syariat Nabi Isa menasakhkan sesetengah hukum yang berada di dalam taurat; syariat Islam menasakhkan kandungan syariat nabi-nabi sebelum ini.

 

Diterima nasakh kerana hukum itu mengandungi maksud maslahah. Sudah pasti maslahah tidak sama antara satu zaman dengan zaman yang lain.

 

Di sana ada pendapat yang mengatakan tidak berlaku nasakh antara ayat-ayat al-Quran.

 

Abu muslim Muhammad Al-Asfahani menyatakan, tidak ada konsep ayat al-Quran menasakhkan ayat Al-Quran. Adapun berkenaan dengan ayat Al-Quran berkaitan pemalingan kiblat daripada Masjidil Aqsa kepada Masjidil haram, itu bukan menasakhkan Al-Quran. Kita tidak tahu apakah Nabi Muhammad solat menghadap arah baitul maqdis itu berasaskan kepada ijtihad ataupun wahyu yang datang selain dari Al-Quran. Hal ini kerana, tidak terdapat satu dalil dari ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang suruhan solat menghadap arah baitulmaqdis.

 

Walau bagaimanapun, majoriti ulama menganggap Al-Quran boleh menasakhkan Al-Quran. (Manar:2/139)

 

(B)               NASAKH AL-QURAN DAN HADIS

 

Di sini ada beberapa kupasan berikut;

 

(a)                Zanni – qatie.

 

Adapun berkenaan dengan Al-Quran dinasakhkan dengan hadis, asas terhadap isu itu adalah sumber yang Qatie dinasakhkan dengan sumber yang Zanni.

 

Dengan sebab itu, Ulama bermazhab Hanafi dan kebanyakan ulama di dalam mazhab Syafie berpendapat bahawa harus Al-Quran dinasakhkan dengan hadis yang mutawatir.

 

(b)               Setanding al-Quran?

 

Imam Syafie dalam al-Risalah, menyatakan bahawa tidak harus hukum dari Al-Quran itu dinasakhkan dengan hadis, kerana tidak ada sesuatu sumber agama yang setanding dengan Al-Quran.

 

Dalam memberi komentar terhadap kupasan Abduh, Rashid Redha menyatakan bahawa setiap yang datang dari Al-Quran adalah wahyu. Adapun hadis, ia bercampur antara wahyu dan ijtihad nabi. Dengan itu, kelihatan bahawa hadis tidak boleh menasakhkan Al-Quran.

 

(c)                Dilalah

 

Ada setengah ulamak pula berpendapat, nasakh yang berlaku antara al-Quran dan hadis hanya melibatkan kepada dilalah ayat sahaja. Hal ini kerana, hukum yang diistinbatkan dari Al-Quran sifatnya dalam Zanni, sama seperti hukum yang terhasil daripada hadis. (Manar:2/140)

 

(d)               Hadis dikuatkan dengan ayat al-Quran.

 

Ada pendapat lain pula mengatakan, hadis yang menasakhkan hukum Al-Quran perlu disertai dengan ayat Al-Quran yang lain yang menguatkan maksud hadis tersebut.

 

Contoh dalam hal ini adalah seperti ayat ke-180 Surah al-baqarah yang mengatakan bahawa ada konsep wasiat terhadap kedua ibu bapa, sedangkan di dalam hadis nabi ada berkata;

فَلَا وَصِيَّةَ لِوَارِثٍ – ابو داود, 2870

“tidak ada wasiat bagi waris”

 

Hadis ini menasakhkan hukum yang terkandung dalam ayat yang ke-180 surah al-Baqarah, dalam pada hadis ini telah dikuatkan dengan ayat Al-Quran yang lain yang menjelaskan tentang ibu bapa mempunyai hak faraid (Surah al-Nisa 4:7-11). (Manar:2/141)



[1] SANAD:

حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَهَّابِ بْنُ نَجْدَةَ، حَدَّثَنَا ابْنُ عَيَّاشٍ، عَنْ شُرَحْبِيلَ بْنِ مُسْلِمٍ، سَمِعْتُ أَبَا أُمَامَةَ

[2] SANAD:

حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ شَرِيكٍ، عَنِ ابْنِ أَبِي مُلَيْكَةَ، عَنْ عَائِشَةَ قَالَ

[3] SANAD:

عَنْ مَعْمَرٍ، عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ

[4] SANAD:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ كَثِيرٍ، أَخْبَرَنَا سُفْيَانُ، عَنْ سَعْدِ بْنِ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ عَامِرِ بْنِ سَعْدٍ، عَنْ سَعْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ

Monday, September 5, 2022

TIDAK SAHIH BUKHARI MUSLIM, TIDAK BERMAKNA HADIS DOIF

 Kata al-Baihaqi dalam kitab al-Madkhal:

 

وقد بقيت الأحاديث الصحاج لم يخرجاها, وليس في تركهما اياها دليل على ضعفها

Hadis-hadis sahih ada yang tidak dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim. Mereka tinggalkan tidak menjadikan hadis itu doif.

Sunday, September 4, 2022

FATIHAH 6

FATIHAH 6

 

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6)

Tunjukilah kami jalan yang lurus.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 5

AYAT 6

 

Mengakui kelemahan diri, makanya sembah Allah dan memohon bantuan Allah.

 

 

Memohon bantuan dari Allah agar berikan bimbingan agar berada di atas jalan yang lurus.

 

 

[1] Kehidupan di dunia ini tidak kekal. Kehidupan yang kekal hanya di alam akhirat. Dengan sebab itu, semasa kehidupan di dunia, manusia perlu memohon agar diberikan petunjuk. Hal ini kerana, dengan petunjuk yang manusia dapat di dunia, manusia tersebut akan mendapat kehidupan akhirat yang baik dan selamat.

 

[2] Dengan sebab itu, Tuhan meminta agar manusia memohon dengannya agar diberikan bimbingan dariNya.

 

[3] Dalam banyak-banyak bimbingan yang manusia perlu dari Allah adalah mendapat bimbingan di dunia agar selamat di alam akhirat kelak.

 

اهْدِنَا

 

[1] Setelah manusia mengakui kekuasaan Allah di dunia dan di akhirat, dalam pada masa yang sama, mengabdikan diri kepada Allah, serta meminta pertolongan dariNya, maka perkara yang paling utama yang manusia perlu memohon dengan Allah adalah HIDAYAH.

 

Manusia dapat menjalani kehidupan secara fizik, seperti makan minum berjalan dan sebagainya; semua ini adalah hidayah dari Allah.

 

Demikian juga manusia dapat menjalani kehidupan secara metafizik, dia tidak boleh lepas dari bimbingan Allah yang disebut sebagai hidayah.

 

Dengan sebab itu, Ibn Kathir kata;

 

فتضمن معنى الهمنا او وفقنا او ارزقنا او اعطنا

Terkandung makna (أهدنا) adalah  ilhamkan kepada kami; atau berikan taufiq kepada kami; atau berikan rezeki kepada kami; atau berikan kepada kami. (Kathir:1/137)

 

[2] Menurut Shihab, asal perkataan Hidayah dari ه-د-ي yang memberi dua maksud;

 

(a)                                 Tampil ke depan memberi petunjuk

 

(b)                                 Menyampaikan dengan lemah lembut.

 

Pada pemaknaan (b), lahir perkataan hadiah yang ia adalah pemberian atau penyampaian sesuatu dengan lemah lembut yang digunakan untuk menunjukkan simpati. (Shihab:1/63)

 

Justeru memohon hidayah adalah, memohon dari Allah agar diberikan petunjuk; atau memohon agar Allah menyampaikan sesuatu kebaikan dalam kehidupan kita secara lemah lembut

 

[3] Antara perkara penting dalam kehidupan manusia adalah dalam menentukan dua perkara;

(a)                      Baik atau buruk.

(b)                      Benar atau batil.

 

Untuk menilai dua hari ini, perlu kepada memanfaatkan akal. Namun begitu, apa yang diputuskan oleh akal tidak semestinya menggambarkan hakikat sebenar. Demikian juga, ada hal-hal yang akal menilai sesuatu itu sebagai benar atau baik, ia tidaklah dalam pemaknaan yang sebenar. Justeru, untuk mengetahui hakikat sebenar sesuatu kebenaran dan kebaikan perlu kepada bimbingan dari Allah yang disebut sebagai hidayah.

 

Dengan sebab itu, manusia tidak boleh bergantung semata-mata pada ilmu logika. Hal ini kerana, logika adalah satu ilmu yang dirumuskan oleh aristotle yang bertujuan memelihara seseorang agar tidak terjerumus ke dalam kesalahan. Namun ternyata ilmu itu tidak mampu memelihara perumusnya dari sebarang kesalahan. (Shihab:1/64)

 

[4] Menurut HAMKA, antara maksud hidayah;

 

(a)                         Dianugerahkan kecerdikan dan kecerdasan minda dapat membezakan yang salah dari yang benar. Disebut sebagai الإرشاد

 

(b)                         Bersesuaian hendaknya dengan apa yang direncanakan Tuhan. Disebutkan sebagai التوفيق

 

(c)                          Dapat mengatasi sesuatu kesulitan. Disebutkan sebagai الإلهام

 

(d)                         Ditunjukkan tanda tanda Di mana tempat yang merbahaya. Disebutkan sebagai الدلالة (Hamka:1/79)

 

 

[5] Dalam beragama, petunjuk yang kita mahu dari Allah adalah;

 

(a)                              Mendapat kefahaman dalam menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.

 

(b)                             Ada kemampuan untuk melaksanakan petunjuk dan hidayah.

 

[6] Mengurut ibnu asyur, hidayah itu dilihat kepada empat tingkat;

 

(a)                                                Potensi penggerak dan memahami. القوي المحركة والمدركة. Ini berlaku kepada semua manusia, seperti naluri bayi menyusu atau menangis ketika sakit dan sebagainya.

 

(b)                                               Memahami dalil-dalil yang dapat membezakan di antara kebenaran dan kebatilan.

 

(c)                                                Sesuatu yang tidak dapat dijangkau boleh analisa dan aneka argumen aqliyah, bahkan perlu mendapat bimbingan dari wahyu.

 

(d)                                               Tersingkap hakikat-hakikat yang tertinggi serta aneka rahsia yang membingungkan para pakar dan cendekiawan. (Shihab:1/65)

 

الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6)

 

[1] Asal perkataan صراط adalah سراط. Memandangkan huruf س bertemu dengan huruf رmenjadi berat di lidah orang arab menyebut. Dengan itu, dibaca dengan صراط.

 

Dari sudut asal pemaknaan bahasa Arab, ia bermakna MENELAN. Jalan yang lebar dinamai صراط kerana sedemikian lebarnya sehingga ia bagaikan menelan si penjalan. (Shihab:1/67)

 

Apabila jalan itu sudah besar, sudah pasti manusia tidak akan bersesak-sesak. Maka demikianlah manusia yang akan masuk ke dalam syurga. Mereka tidak akan bersesak-sesak untuk masuk. (Shihab:1/68)

 

[2] Dalam Al-Quran, perkataan صراط tidak pernah digunakan dengan kata jamak. Sedangkan Perkataan سبيل ada digunakan kata Jamak, walhal Dari sudut terjemahan ia juga memberi makna jalan.

 

Seakan-akan ia menggambarkan bahawa ketika kita berdoa kepada Allah dengan membaca ayat ini—permintaan kita agar berada dalam satu jalan sahaja, iaitu jalan yang boleh membawa kepada syurga.

 

Menurut Shihab, صراط bagaikan laluan yang mempunyai tol. Apabila sudah masuk, kita tidak dapat lagi keluar atau tersesat. (Shihab:1/68)

 

[3] Maksud JALAN YANG LURUS;

 

(a)                            Mohon ditunjuk agama yang benar. Ini tafsiran yang dikemukakan ibnu Abbas, sepertimana yang diriwayatkan oleh ibnu Abi Hatim

 

(b)                            Mohon berada dalam agama Islam. Ini tafsiran yang dikemukakan oleh Jabir bin Abdillah.

 

(c)                             Jalan yang lurus adalah mengikut kitabullah (al-Quran). Ini menurut tafsiran yang dikemukakan Ibnu Mas'ud.

 

[4] Hamka bawakan satu hadis—daripada النواس ابن سمعان bahawa nabi berkata;

 

Perumpamaan tentang الصراط المستقيم itu, bahswa di kedua belah jalan ada dua buah dinding tinggi. Pada kedua dinding tinggi itu ada beberapa pintu terbuka yang di atas tiap-tiap pintu itu ada langsir penutup. Di hujung jalan tengah yang lurus (صراط المستقيم) ada seorang berdiri memanggil-manggil: Wahai sekalian manusia, masuklah ke jalan ini semuanya. Jangan kamu berpecah belah.

 

Di situ pula ada seorang menyeru dari atas sirat. Apabila manusia hendak membuka salah satu dari pintu pintu itu, dia berkata; celaka, jangan engkau buka itu. Kalau engkau buka, pasti engkau akan terperosok ke dalam.

 

Rasulullah SAW pun menambah: jalan sirat itu adalah Islam. Dan kedua dinding di sebelah-menyebelah itu ialah segala batas-batas yang ditentukan Allah. Dan banyak pintu yang terbuka itu ialah segala yang diharamkan Allah. Penyeru yang menyeru di hujung jalan itu ialah Al-Quran. Yang menyeru dari atas itu adalah واعظ (pemberi nasihat) dari Allah yang ada dalam tiap-tiap diri Muslim.

 

Ibnu Katsir menukilkan hadis ini di dalam kitab beliau dan menganggap ia sebagai Hasan lagi sahih. (Hamka:1/80, Kathir:1/138)

 

[5] Dari konteks untuk mengetahui kebenaran, secara tersirat ayat ini telah memberitahu kepada kita bahawa akal sahaja tidak cukup untuk memahami kebenaran. Ia perlu kepada bimbingan dari Allah, iaitu dengan kehadiran Nabi dan kitab sebagai panduan dalam mengetahui kebenaran.

 

PENGAJARAN

 

[1] Apabila kita meminta sesuatu perkara, itu memberi gambaran bahawa perkara yang kita minta itu belum ada lagi pada diri kita.

 

Justeru, apabila kita meminta agar diberikan hidayah, itu memberi gambaran bahawa ketika ini kita tidak berada dalam Islam.

 

Meminta sesuatu yang kita sudah ada adalah, تحصيل الحاصل باطل-memohon agar mendapat sesuatu yang sudah ada adalah perbuatan yang sia-sia dan batil.

 

Hal ini sudah pasti tidak munasabah, kerana tuntutan dibaca ayat ini bagi orang yang mukmin, iaitu ketika sedang menunaikan solat.

 

Perlu difahami daripada ayat ini, perkataan اهدنا tidak memberi makna agar diberikan hidayah semata-mata. Di dalam perkataan ini terkandung makna yang lebih luas dari "diberikan hidayah", iaitu terkandung di dalamnya makna agar "manusia sentiasa dan kekal berada dalam hidayah", agar "manusia mendapat kekuatan untuk kekal berada dalam hidayah" dan sebagainya.

 

Dengan sebab itu, antara yang dicadangkan kepada orang beriman agar membaca doa berikut;

 

رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَيۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةًۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ (8) - ال عمران

(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

 

[2] Menurut imam Ibnu kathir, ayat 8 surah Al Imran ini, sering dibaca oleh Abu Bakar as-siddiq pada setiap kali menunaikan solat maghrib. Ia dibaca dalam rakaat ketiga selepas daripada membaca surah al-fatihah-dibaca dengan suara tidak dinyaringkan. (Kathir:1/139)


IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI

  IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI   وَالْحَقُّ كَمَا قَالَ شَيْخُ الْإِسْلَامِ ابْنُ تَيْمِيَةَ:   إِنَّ كُلًّا مِنَ الدَّلِيل...