Saturday, April 15, 2023

KHADIR: NABI ATAU MALAIKAT?

KHIDIR ADALAH NABI ATAU MALAIKAT?

Dalam kalangan ulama berkenaan hal ini adalah seperti berikut;

A. Khidir adalah Nabi. Ini adalah pandangan sebilangan besar ulama, seperti al-Qaradawi

B. Khidir bukan nabi, tetapi seorang wali Allah yang saleh. Ini pandangan sebilangan kecil dalam kalangan ulama, terutama dalam kalangan cenderung kepada sufi.

C. Khidir adalah Malaikat. Ini adalah pandangan Abu 'Ala Al-Maududi.

HUJAH

Bagi pendapat yang mengatakan Khidir bukan Nabi, hujah-hujah mereka adalah seperti berikut;

a. Tidak terdapat satu ayat Al-Quran dan hadis yang menyebut secara terang-terangan bahawa Khidir adalah Nabi.

Pada mereka, sesuatu dakwaan bahawa seseorang itu adalah Nabi, ia perlu kepada penjelasan wahyu secara jelas, bukan terbuka kepada penafsiran. Justeru, mereka simpulkan bahawa Khidir adalah wali Allah atau hamba Allah yang Soleh.

b. Seseorang Nabi perlu ada umat, sedangkan Khidir tak ada umat.

C. Bagi seorang Nabi, ia perlu ada syariah untuk disampaikan kepada umat, sedangkan Khidir tak ada syariah.

Bagi pandangan yang mengatakan Khidir adalah Nabi, hujah-hujah mereka adalah seperti berikut;

a. Dalam Al-Quran, Allah menyebut bahawa Nabi Musa menuntut ilmu dari Khidir. (Surah al-Kahfi, ayat 66)

 Sebagai Nabi, sudah pasti Musa menuntut ilmu dari Nabi. Mana mungkin Nabi menuntut ilmu dari orang bukan Nabi.

Hujah ini dijawab - bukan sesuatu yang mesti bahawa Nabi perlu belajar dari Nabi. Nabi Muhammad pernah mengambil ilmu dari sahabat dalam hal melibatkan perang yang ia tidak mencacatkan status kenabian.

b. Berkenaan dengan Khidir, Al-Quran ada menyatakan: "Kami (Allah) datangkan kepadanya (Khidir) rahmat dari sisi Kami" (Surah al-Kahfi, ayat 65)

Maksud rahmat dalam ayat ini merujuk kenabian.

Hujah ini dijawab - dakwaan rahmat dalam ayat ini bermaksud kenabian hanya tafsiran sahaja, sedangkan penentuan berkenaan kenabian memerlukan penjelasan wahyu secara jelas.

C. Berkenaan Khidir, Al-Quran ada menyatakan: "Kami (Allah) ajarkan kepadanya (Khidir) ilmu dari sisi Kami".(Surah al-Kahfi, ayat 65)

Maksud dengan "ilmu di sisi kami" adalah wahyu. Justeru, dia adalah Nabi.

Hujah ini dijawab - sifat ilmu wahyu, ia datang samada ada terus dari Allah, ataupun melalui perantaraan Jibril. Jadi ayat ini, bukan merujuk kepada wahyu, tetapi ilmu laduni.

Bagi Maududi, Khidir adalah malaikat berdasarkan hujah-hujah berikut;

a. Kata Al-Quran : "Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata "Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!" (Surah Al-Kahf, Ayah 74)

Dia membunuh itu merentasi syariah. Ekoran itu, ia ditegur oleh Nabi Musa. Tindakan membunuh sebegitu, tidak boleh dilakukan bagi makhluk dalam kerangka syariah. Dengan itu, Maududi kata bahawa Khidir adalah malaikat.

b. Al-Quran menyatakan bahawa Khidir berkata:  "Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri" (Surah al-Kahfi, ayat 82)

Apabila Khidir buat semua ini bukan dengan fikirannya yang sudah pasti atas perintah Allah, ia selaras dengan sifat malaikat yang diceritakan dalam Al-Quran: "mereka (malaikat) tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah al-Tahrim, ayat 6)

C. Selain itu, malaikat itu sememangnya mendapat rahmat dari Allah dan sememangnya ilmu mereka dari sisi Allah, sepertimana yang disebut dalam Surah al-Kahfi, ayat 65.

KESIMPULAN

Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama Islam dalam hal melibatkan status Khidir, apakah dia seorang Nabi atau tidak. Ia adalah perkara yang khilafiah yang boleh diraikan.

Wallahu 'Alam

(22 Januari 2021)

#IlmuMudahDifahami

No comments:

Post a Comment

BENARKAH ALI BIN ABI TALIB KATA SUNNAH ZIARAH KUBUR HARI RAYA?

  BENARKAH ALI BIN ABI TALIB KATA SUNNAH ZIARAH KUBUR HARI RAYA? Sebelum ini admin sudah dedahkan bagaimana Jabatan Mufti Negeri Sembilan se...