Tuesday, April 12, 2022

NAK KUATKAN HADIS MARFU’ YANG DOIF

 NAK KUATKAN HADIS MARFU’ YANG DOIF


Hadis marfu’ yang doif, boleh dikuatkan dengan wujud sumber saheh dari amalan para salaf soleh yang mengamalkan amalan ibadat yang diambil dari hadis marfu’ yang doif tersebut.

 

Contohnya, dalam hal solat sunat Tasbih, al-Baihaqi ada kata:

 

وكان عبد الله بن المبارك يفعلها وتداولها الصالحون بعضهم عن بعض وفيه تقوية للحديث المرفوع

"Dan adalah Abdullah bin al-Mubarak ia mengamalkannya dan ia disebarkan oleh orang-orang soleh kepada satu sama lain dan padanya menguatkan bahawa hadith tersebut adalah marfu'".

[Dalam as-Sunan al-Kubra]

PERAWI SIQAH RIWAYAT SECARA BERBEZA

 PERAWI SIQAH RIWAYAT SECARA BERBEZA


إذا رواه بعض الثقات الضابطين متصلا وبعضهم مرسلا أو بعضهم موقوفا وبعضهم مرفزعا أو وصله هو أو رفعه في وقت وأرسله أو وقفه في وقت، فالصحيح الذي قاله المحققون من المحدثين وقاله الفقهاء وأصحاب الأصول وصححه الخطيب البغدادي : أن الحكم لمن وصله أو رفعه

 

"Jika diriwayat oleh sebahagian perawi thiqat lagi dhabit secara muttashil dan sebahagiannya pula meriwayatkan secara mursal, atau sebahagiannya meriwayatkan secara mawquf dan sebahagiannya meriwayatkan secara marfu', atau ia menyambungkan sanad atau memarfu'kannya pada satu waktu dan memursalkannya atau memawqufkannya pada satu waktu yang lain, maka yang sahih ialah sepertimana yang dikatakan oleh para Muhaqqiq dari kalangan para Muhaddith dan apa yang dikatakan dari kalangan Fuqaha' dan Ashab al-Usul dan disahkan oleh al-Khatib al-Baghdadi : bahawa hukumnya kembali kepada yang menyambungkan sanad itu atau yang memarfu'kannya

 

-          Muqaddimah Syarah Muslim, Imam Nawawi.

HADIS MAWQUF YANG JADI SUNNAH

 HADIS MAWQUF YANG JADI SUNNAH


Dalam mazhab syafie: apabila disebut hadis mawquf yang saheh, boleh dianggap sebagai sunnah Nabi juga, walaupun ada hadis marfu' yang doif.

 

Tetapi, tidak boleh dianggap sunnah Nabi jika hadis marfu' yang doif tidak didokong dengan hadis mauquf yang saheh

MAKSUD SIQAH DI SISI IMAM SYAFIE

 MAKSUD SIQAH DI SISI IMAM SYAFIE


Persoalan ini sering ditanyakan kepada saya, iaitu siapakah perawi yang dimaksudkan oleh Imam al-Syafii dalam ucapan beliau "seorang thiqah memberitahu saya (أخبرنا الثقة)" dalam buku-bukunya?

 

Jawapan untuk persoalan ini pernah saya muatkan dalam buku saya yang bertajuk Fiqh Hadith Imam al-Syafii. Berikut adalah ringkasannya:

 

1. Beberapa pendapat telah diajukan untuk menjelaskan maksud al-Syafii di sini. Satu pendapat mengatakan bahawa perawi yang dimaksud adalah Yahya bin Hassan. Ada juga yang mengatakan: Ahmad bin Hanbal. Dan beberapa pendapat lainnya.

 

2. Sesetengah ulama mengkaitkan maksud al-Syafii di sini dengan perawi yang berada di atasnya. Jika al-Syāfi‘ī meriwayatkan daripada seseorang daripada Al-Laith bin Sa'ad, maka orang yang dimaksud itu ialah Yaḥyā bin Ḥassān.

 

Jika beliau meriwayatkan daripada al-Awzā‘ī, maka orang itu ialah 'Amr bin Abī Salamah.

 

Jika daripada Ibn Abī Dhi'b, maka orang itu ialah Muhammad bin Muslim bin Abī Fudayk.

 

Jika daripada Ibn Jurayj, maka beliau ialah Muslim bin Khālid.

 

Jika dari Ṣālih Mawlā Taw’amah dan Usāmah bin Zayd, maka beliau adalah Ibn Abī Yaḥyā.

 

Jika daripada Ḥumayd dan Yūnus bin 'Ubayd, maka beliau ialah Ismā‘īl bin 'Ulayyah.

 

Jika daripada Ma'mar, maka beliau dalah Muṭarrif bin Māzin.

 

Jika daripada al-Zuhrī, maka beliau ialah Sufyān bin 'Uyaynah. (Tadrib al-Rawi).

 

3. Kaedah di atas memang teliti namun sukar dibuktikan. Secara amnya, kita tidak dapat memastikan maksud  al-Syāfi‘ī melainkan jika beliau menyebutkan secara jelas nama tokoh tersebut dalam tempat yang lain, atau hadith berkenaan diriwayatkan secara tafarrud oleh tokoh tertentu sahaja.

 

4. Oleh yang demikian, ulama yang paling menguasai pemikiran al-Syafii, iaitu Imam al-Bayhaqi, mengatakan bahawa perawi yang dimaksud al-Syafii dapat dikenalpasti pada sesetengah tempat, namun pada sesetengah yang tempat lain tidak diketahui melainkan dengan sangkaan yang tiada bukti (إلا بظن غير مقرون بعلم).

 

5. Tāj al-Dīn al-Subki dalam Tabaqat al-Syafiiyah berkata: "Apabila membaca kitab Musnad  al-Syāfi‘ī bersama Syeikh kami Abū ‘Abdillah al-Ḥāfiẓ (yakni al-Dhahabī), aku selalu menanyakan perkara ini kepada beliau. Sesetengah hadith dapat dipastikan bahawa ia adalah riwayat Yaḥyā bin Ḥassān, sebagaimana yang selalu dimaksudkan. Sebahagian yang lain, dapat dipastikan riwayat Ibn Abī Yaḥyā. Namun banyak juga hadith lain yang tidak dapat dipastikan maksudnya."

 

6. Menurut saya, pandangan al-Bayhaqi, al-Subki, dan al-Dhahabi ini lebih kuat kerana dibina di atas istiqra. Wallahu a'lam.

Saturday, April 2, 2022

ISTINJAK MENGGUNAKAN TIGA BIJI BATU

 ISTINJAK MENGGUNAKAN TIGA BIJI BATU

 

Dalam hadis, nabi saw melarang beristinjak menggunakan kurang tiga biji batu. Dalam hal ini, terdapat beberapa penjelasan ulama seperti berikut;

 

PERTAMA:

Dalam mazhab Syafie dan Hanbali, syarat beristinjak menggunakan batu adalah seperti berikut:

 

a.                  Perlu menyapu dengan batu pada tempat lubang dubur yang keluar najis itu sehingga bersih.

b.                  Bilangan batu perlu lebih dari kadar 3 biji batu.

 

Disamping hujah dari hadis bab ini, mereka turut kemukakan hujah-hujah tambahan seperti hadis—daripada Aisyah bahawa nabi ada bersabda:

 

إذا ذهب أحدُكم إلى الغائطِ، فلْيذهبْ معه بثلاثةِ أحجارٍ يَستطيبُ بهنَّ؛ فإنَّها تُجزئُ عنه

“apabila seseorang kamu pergi buang air besar, maka hendaklah di bawa bersamanya tiga biji batu yang dia gunakan untuk membersihkannya. Maka itu (tiga biji batu) baru memadai” (Abu Daud, hadis no: 40 | al-Nasaie, hadis no: 44)

 

Hadis lain—daripada Jabir bin Abdullah berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:

 

 إِذَا اسْتَجْمَرَ أَحَدُكُمْ فَلْيُوتِرْ

“Apabila seseorang kamu beristinjak menggunakan batu,hendaklah dengan bilangan ganjil (bukan genap)” (Muslim, hadis no: 239)

 

KEDUA:

Mazhab Hanafi dan Maliki mengatakan, perkara utama bagi istinjak adalah bersih, tidak kira dengan batu atau tidak; tidak kira batu yang digunakan itu kurang tiga biji atau lebih.

 

Mereka berhujah lebih kepada maqasid bagi istinjak sahaja, bukan kepada bilangan. Adapun hadis ini menyatakan tiga biji batu, mereka tafsirkan sebagai sunat sahaja.

 

Hujah mereka adalah seperti berikut;

 

Abdullah bin Mas’ud ada berkata:

"أَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الغَائِطَ فَأَمَرَنِي أَنْ آتِيَهُ بِثَلاَثَةِ أَحْجَارٍ ، فَوَجَدْتُ حَجَرَيْنِ ، وَالتَمَسْتُ الثَّالِثَ فَلَمْ أَجِدْهُ ، فَأَخَذْتُ رَوْثَةً فَأَتَيْتُهُ بِهَا ، فَأَخَذَ الحَجَرَيْنِ وَأَلْقَى الرَّوْثَةَ " وَقَالَ : هَذَا رِكْسٌ

“Nabi saw datang untuk Qadha’ Hajat, baginda pun menyuruh aku bahawa membawakan kepadanya tiga biji batu. Aku mendapati dua biji sahaja. Aku cari yang ketiga, aku tidak mendapatinya. Aku pun mengambil satu tahi keras dan aku berikan kepada baginda. Nabi saw mengambil dua biji batu dan melempar buang tahi keras itu. Kata baginda: ini adalah najis” (al-Bukhari, hadis no: 156)

 

ISTIDLAL: hadis ini dijelaskan bahawa Nabi saw hanya menerima dua biji batu, dan melempar buang tahi keras tersebut. Ia menjadi dalil bahawa istinjak menggunakan batu yang kurang dua biji batu pun sudah memadai.

 

Penghujahan ini dibantah dengan menyatakan bahawa dalam riwayat selain al-Bukhari, seperti riwayat Ahmad dan al-Tibrani bahawa hadis ini ada sambungannya, iaitu selepas Nabi saw melempar buang tahi kering tersebut, nabi saw berkata:

إِنَّهَا رِكْسٌ، ائْتِنِي بِحَجَرٍ

“Ia adalah najis. Bawakan kepadaku satu biji lagi” (Ahmad, hadis no: 4299 | Tibrani dalam al-Mukjam al-Kabir, hadis no: 9951)

 

Dalam penghujahan al-Khattabi bahawa menggunakan tiga biji batu itu adalah ta’abbudi sama seperti tiga kali quru’ bagi iddah Wanita. Dalam erti kata yang lain, walaupun rahim Wanita sudah bersih dengan sekali quru’ (haid atau suci), tetapi tetap disuruh agama sebagai tiga kali quru’ kerana terkandung dalam maksud suruhan itu adalah ta’abbud, iaitu ketaatan dan kepatuhan terhadap perintah tuhan, walaupun tidak diketahui sebab dan puncanya.

 

Thursday, March 31, 2022

ORANG DIPOTONG TANGAN DI ERA NABI SEBAB MENCURI

 ORANG DIPOTONG TANGAN DI ERA NABI SEBAB MENCURI

 

Menurut al-Qurtubi, hukuman potong tangan bagi pencuri adalah hukuman yang sudah berjalan pada zaman jahiliyyah lagi. Orang yang mula-mula sekali dikenakan hukuman tersebut pada zaman jahiliyyah adalah al-Walid bin al-Mughirah. Ia diteruskan pada zaman Islam.

 

Orang yang dipotong tangannya disebabkan kesalahan mencuri pada hayat Nabi Muhammad SAW adalah al-Khiyar bin ‘Adi bin al-Naufal bin Abd Manaf, Murrah binti bin Sufyan bin Abd al-Asad dari Bani Makhzum. Pada zaman Abu Bakar al-Siddiq menjadi Khalifah, beliau pernah memotong tangan pencuri seorang lelaki dari negeri Yaman. Ia diteruskan juga pada zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab yang memotong tangan pencuri bernama Ibn Samurah. 

 

(Al-Qurtubi, Abu Abd Allah Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakar bin Farh al-Ansari al-Khazraji Shams al-Din (671 H), al-Jami’ li Ahkam al-Quran, jld 6, hlmn 160, Dar al-Kutub al-Misriyyah, kaherah, tarikh : 1964 – 1384)

 


Saturday, March 26, 2022

BATAL WUDUK DENGAN SEBAB SENTUH ZAKAR?

BATAL WUDUK DENGAN SEBAB SENTUH ZAKAR?

 

PENDAPAT PERTAMA:


Batal wuduk jika sentuh kemaluan. Ini adalah pendapat MAZHAB SYAFIE dan HANBALI.

 

Hujah-hujah mereka adalah seperti berikut:

 

[a] Hadis—daripada Busrah binti Safwan berkata bahawa dia dengar Nabi saw bersabda:

 

مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

“Barangsiapa yang sentuh zakarnya, maka hendaklah dia berwuduk” (Abu Daud, hadis no: 181)

 

ISTIDLAL: Dalam hadis ini, nabi saw suruh berwuduk apabila menyentuh zakar. Justeru, mereka simpulkan bahawa sentuh zakar boleh menyebabkan wuduk batal.

  

[b] hadis—Abdullah bin Umar berkata:

 

إِذَا مَسَّ أَحَدُكُمْ ذَكَرَهُ فَقَدْ وَجَبَ عَلَيْهِ الْوُضُوءُ

“Apabila seseorang kamu memegang zakarnya, maka wajib dia berwuduk” (Muwatta’, hadis no: 129)

 

ISTIDLAL: kewajipan berwuduk apabila menyentuh zakar disebut oleh sahabat Nabi, iaitu Abdullah bin Umar.

 

PENDAPAT KEDUA: TIDAK BATAL


Ini adalah pendapat Mazhab HANAFI.

 

Hujah mereka adalah merujuk kepada hadis—daripada Qais bin Talq, dari bapanya yang bernama Talq bin ‘Ali berkata:

 

 سَأَلَ رَجُلٌ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيَتَوَضَّأُ أَحَدُنَا إِذَا مَسَّ ذَكَرَهُ؟ قَالَ: " إِنَّمَا هُوَ بَضْعَةٌ مِنْكَ أَوْ جَسَدِكَ

“Seseorang lelaki bertanya Rasulullah saw, apakah perlu seseorang kami berwuduk apabila menyentuh zakar? Jawab nabi: zakar itu adalah salah satu entity dari badan (jasad) kamu” (Muwatta’, hadis no: 16286)

 

ISTIDLAL: Hukum asal adalah tidak batal kecuali ada nas yang sahih dan sarih kata batal. Hadis ini membuktikan bahawa sentuh zakar tidak membatalkan wuduk.

 

Walaubagaimana pun, bagaimana pula dengan hadis-hadis yang dijadikan sandaran dalam mazhab yang mengatakan batal wuduk pula?

 

Dihujahkan seperti berikut:

 

Pertama, hadis Abdullah bin Umar itu bukan perkataan Nabi, tetapi kenyataan Abdullah bin Umar. menandakan ia bukan wahyu. Justeru, hadis itu tidak valid untuk dijadikan sandaran bahawa batal wuduk dengan sebab sentuh zakar.

 

Kedua, hadis Talq bin ‘Ali menyatakan illat hukum, iaitu tidak batal wuduk itu, illat hukumya adalah zakar itu adalah salah satu entity jasad manusia juga. Adapun hadis Busrah binti Sofwan, ia tidak dinyatakan illat hukum.

 

Dalam metode Usul al-Fiqh mazhab Hanafi, apabila bertembung antara hadis yang ada illat dengan hadis yang tidak ada illat, maka didahulukan hadis yang ada illat.

 

Dalam hal ini, hadis tidak batal wuduk itu ada illat. Maka, diambil hadis yang ada illat.

 

Apatah lagi, hadis Busrah itu terbuka kepada penakwilan. Hal ini kerana, suruha berwuduk kerana sentuh zakar itu boleh sahaja dianggap suruhan sunat, bukan bermaksud batal wuduk; ataupun seperti takwilan sebilangan ulama mazhab maliki yang menyatakan bahawa suruhan itu melibatkan kepada sentuhan zakar yang boleh menaikkan syahwat. Dalam erti kata yang lain, batal wuduk itu bukan kerana sentuhan, tetapi factor syahwat ekoran sentuhan dan sebagainya.

 

Bagi pendapat Ibn Taimiyyah pula, sentuh zakar tidak membatalkan wuduk. Namun, terlebih utama berwuduk juga.

 

SENTUH FARAJ BAGI WANITA

 

Apabila dalam hadis menyatakan sentuh zakar yang membatalkan wuduk, bagaimana pula hukum perempuan menyentuh farajnya?

 

PERTAMA, tidak terdapat satu al-Quran dan hadis secara sarih menyatakan hukum wuduk bagi wanita menyentuh kemaluan.

 

KEDUA, apabila tidak ada nas sarih, makanya diserahkan kepada ijtihad ulama.

 

Dalam kalangan ulama, terdapat dua pendapat berikut;

 

PENDAPAT PERTAMA: BATAL WUDUK PEREMPUAN YANG SENTUH FARAJNYA.

 

Hujah mereka adalah kembali kepada kaedah bahawa hukum perempuan sama dengan hukum lelaki kecuali ada nas khusus bagi wanita dalam menyatakan sebaliknya.

 

Dalam erti kata lain, hukum wanita sentuh farajnya adalah batal wuduknya, sama seperti lelaki menyentuh zakarnya kerana faraj dan zakar adalah sama-sama kemaluan.

 

PENDAPAT KEDUA: TIDAK BATAL.

 

Ini pendapat Hanafi dan Suhnun (salah seorang ulama dalam Mazhab maliki).

 

Pendapat ini menyatakan, hukum berkenaan penentuan batal wuduk adalah ta’abbud. Justeru, kekalkan hukum tidak batal kecuali ada nas secara khusus menyebut batal.

 

Yang pasti, tidak ada nas khusus menyebut bahawa perempuan menyentuh kemaluan itu batal wuduk. Makanya, disimpulkan bahawa wanita sentuh faraj tidak membatalkan wuduknya.

 

Maksud dengan faraj dalam perbincangan ini adalah pada halaqah faraj. Hukumnya sama dengan menyentuh halaqah dubur.

 

IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI

  IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI   وَالْحَقُّ كَمَا قَالَ شَيْخُ الْإِسْلَامِ ابْنُ تَيْمِيَةَ:   إِنَّ كُلًّا مِنَ الدَّلِيل...