Sunday, August 14, 2022

FATIHAH 1

 AL-FATIHAH 1

 

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (1)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

 

PENGENALAN

 

[1] Bismillah adalah satu ayat daripada semua surah kecuali surah البراءة. Ini adalah pendapat majoriti ulama, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Ibnu Al-Zubair, Abu Hurairah dan Ali. Dari kalangan tabiin pula seperti 'Ata, Tawus, Said bin Jubair, makhul dan al-Zuhri. Dalam kalangan ulamak mazhab, seperti imam Syafi'i dan Ahmad bin hambal.

 

Mengikut pendapat Imam Malik dan Imam Abu Hanifah, Bismillah bukan salah satu ayat daripada semua surah termasuk Al-Fatihah. (Kathir:1/116)

 

[2] Setiap surah di mulai dengan bismillah, seakan-akan Allah mahu mengajar kepada umat Islam bahawa setiap permulaan pekerjaan hendaklah diasaskan atas nama Allah.

 

Nabi Muhammad disuruh menyampaikan wahyu, itu juga atas nama Allah. Sebarang ucapan yang keluar dari mulut baginda, bukanlah semata-mata atas kehendak diri baginda, tetapi atas perintah dari Allah. (Hamka:1/67)

 

[3] Ayat yang mula-mula sekali diturunkan adalah اقرا باسم ربك الذي خلق, makanya dari sudut pengamalan, Allah membuktikan itu melalui Al-Quran sendiri, iaitu apabila mahu memulakan membaca Al-Quran, perlu membaca bismillah. Ia dimulai dengan membaca surah al-fatihah. (Shihab:1/11)

بِسْمِ اللَّهِ

 

[1] Menurut Buya Hamka, perkataan Allah dalam bahasa Melayu kuno dapat diertikan sebagai dewa dan Tuhan.

 

Buya Hamka menukilkan kupasan Raghib al-Asfahani, bahawa perkataan Allah adalah dari perkembangan dari kalimah الإله yang kalau hendak menyebut banyak Tuhan mereka pakai kata jamak الآلهة. (Hamka:1/67)

 

[2] Raghib Al-Asfahani juga menyatakan, sejak dahulu orang Arab itu di dalam hati sanubarinya mereka tidak mengakui tauhid uluhiyyah, sehingga mereka sekali-kali tidak memakai kalimah Allah untuk yang selain dari zat yang maha esa. Dan mereka tidak mahu menyebutkan Allah untuk beratus-ratus berhala yang mereka sembah. (Hamka:1/68)

 

[2] Kata Hamka, kepercayaan akan adanya zat yang maha kuasa adalah sama tumbuh dengan akal manusia. Namun ada sebahagian besar mereka menggambarkan tuhan itu sebagai sesuatu yang amat ditakuti atau menakutkan, seram dan kejam yang orang terpaksa memujanya oleh kerana takut akan murkanya. (Hamka:1/69)

 

Dengan sebab itu, orang Hindu Bali, walaupun mereka menyembah berbagai berhala, namun mereka tetap percaya kepada SANG HYANG WIDHI yang bermaksud yang maha esa. Kepercayaan agama Hindu pun sampai kepada puncak tertinggi sekali, iaitu kepada SANG HYANG TUNGGAL. (Hamka:1/69)

 

Begitu juga penemuan batu bersurat Terengganu yang ditulis dengan huruf Arab, lebih kurang 1303 masihi, kalimah Allah telah diertikan dengan DEWATA MULIA RAYA. (Hamka:1/68)

 

[3] Perkataan اسم berasal dari akar kata yang sama, iaitu السمو yang bermakna tinggi; dan perkataan السمة yang bermakna tanda.

 

Kata SHIHAB, memang lama menjadi tanda bagi sesuatu usaha harus dijunjung tinggi. (Shihab:1/13)

 

[4] Menurut Al-Zamakhsyari dan ramai ulama tafsir, orang-orang Arab sebelum kehadiran Islam, mereka memulai pekerjaan mereka dengan menyebut nama Tuhan mereka, seperti        بسم اللات وبسم العز, sementara bangsa-bangsa lain memulai dengan menyebut nama raja atau penguasa mereka. (Shihab:1/13)

 

Islam pula mengajar, semua tuhan tuhan yang mereka sembah itu adalah palsu. Justeru perlu kepada Tuhan yang sebenar, iaitu Allah. Makanya Islam mengajar agar segala perbuatan yang baik, di mulai dengan membaca nama Allah.

 

Sebab itu kita berjumpa dalam hadis, antara perkara yang diajar oleh nabi adalah, apabila memulai tidur, kita membaca doa;

 

عَنْ حُذَيْفَةَ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَخَذَ مَضْجَعَهُ قَالَ: «اللهُمَّ بِاسْمِكَ اللهُمَّ أَحْيَا وَأَمُوتُ» - السنن الكبري, النسائي, 10516

"Dengan nama engkau aku hidup, dengan nama engkau aku mati"

 

Semua ini terkandung di dalam maksud firman Allah;

 

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (162) - الأنعام

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

 

Begitu juga, ketika makan. Dalam hadis, nabi ada berkata;

 

عن عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ، يَقُولُ: كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا غُلاَمُ، سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ» - البخاري, 5376

“wahai budak, baca nama Allah, makan dengan tangan kanan kamu dan makan makanan yang paling hampir dengan kamu”

 

Ketika setubuh. Dalam hadis, nabi saw bersabda:

 

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، يَبْلُغُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ قَالَ بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا، فَقُضِيَ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ لَمْ يَضُرُّهُ» - البخاري, 141

“kalau seseorang kamu datangi isterinya, dia membaca: dengan nama Allah, Ya Allah, jauhikan kami dari syaitan dan jauhi syaitan akan apa yang telah kamu rezekikan kepada kami. Dia diberikan anak antara kedua-duanya mereka yang syaitan tidak dapat memudharatkannya”

 

الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (1)

 

[1] Memandangkan dalam masyarakat manusia, Tuhan difahami sebagai menakutkan, makanya Al-Quran memperkenalkan Allah dalam bentuk yang pemurah dan penyayang. (Hamka:1/70)

 

[2] Dalam banyak-banyak nama Allah, hanya dua nama ini yang disebut dan diminta agar diulang setiap masa. Kedua-dua nama ini, mempunyai daripada akar kata yang sama, iaitu رحم. Menurut Shihab, kemungkinan kedua sifat ini dipilih kerana sifat itulah yang paling dominan. Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam ayat;

 

وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ (156) - الأعراف

"rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu" (Shihab:1/21)

 

[3] Dalam bahasa melayu, apabila disebut rahim, yang terbayang dalam fikiran adalah peranakan. Apabila disebut Rahim, maka yang dapat terlintas dalam benak adalah ibu dan anak dan ketika itu dapat terbayang betapa besar kasih sayang yang dicurahkan sang ibu kepada anak.

 

Sudah pasti tidak boleh dibandingkan antara kasih sayang ibu kepada anak berbanding kasih sayang tuhan kepada hamba. Dalam hadis—Umar bin al-Khattab berkata:

عَنْ عُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: قَدِمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَبْيٌ، فَإِذَا امْرَأَةٌ مِنَ السَّبْيِ قَدْ تَحْلُبُ ثَدْيَهَا تَسْقِي، إِذَا وَجَدَتْ صَبِيًّا فِي السَّبْيِ أَخَذَتْهُ، فَأَلْصَقَتْهُ بِبَطْنِهَا وَأَرْضَعَتْهُ، فَقَالَ لَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَتُرَوْنَ هَذِهِ طَارِحَةً وَلَدَهَا فِي النَّارِ» قُلْنَا: لاَ، وَهِيَ تَقْدِرُ عَلَى أَنْ لاَ تَطْرَحَهُ، فَقَالَ: «لَلَّهُ أَرْحَمُ بِعِبَادِهِ مِنْ هَذِهِ بِوَلَدِهَا» - البخاري, 5999

"Rasulullah saw pernah memperoleh beberapa orang tawanan perang. Ternyata dari tawanan tersebut ada seorang perempuan yang menyusui anak kecil, apabila dia mendapatkan anak kecil dalam tawanan tersebut, maka ia akan mengambilnya dan menyusuinya, lalu Nabi saw bersabda kepada kami: 'Menurut kamu, apakah perempuan itu bersedia melemparkan bayinya ke dalam api?' Kami menjawab; 'Sesungguhnya ia tidak akan bersedia melemparkan anaknya ke dalam api selama ia masih sanggup menghindarkannya dari api tersebut' Lalu baginda bersabda: 'Sungguh, kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya melebihi kasih sayang perempuan itu terhadap anaknya”

 

[4] Perbezaan antara الرحمن dan الرحيم;

 

Satu:

Abdullah bin al-Mubarak berkata, makna الرحمن yang itu penyayangnya Allah yang apabila diminta, pasti Dia akan memberi. Adapun الرحيم bawa apa bila hamba tidak meminta, maka Dia murka.

 

Pendapat ini berasaskan kepada satu sabda Nabi:

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّهُ مَنْ لَمْ يَسْأَلِ اللَّهَ يَغْضَبْ عَلَيْهِ» - الترمذي, 3373

Barangsiapa yang tidak meminta kepada Allah, alah bakal murka kepadaNya. (Kathir:1/125)

 

Dua:

Pendapat العرزمي, sifat Rahman Allah adalah diberikan kepada semua makhluk. Hal ini berasaskan kepada beberapa firman Allah;

 

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى (5) – طه

 

ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ الرَّحْمَنُ فَاسْأَلْ بِهِ خَبِيرًا (59) - الفرقان

 

Adapun sifat rahim Allah, dikhususkan kepada orang yang beriman sahaja. Firman Allah;

 

وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا (43) - الأحزاب

 

PENGAJARAN

 

[1] Abduh menilai bahawa penggabungan tiga kata yang menunjuk Allah yang maha esa itu dalam ucapan basmalah, merupakan bantahan tidak langsung kepada orang-orang nasrani yang menganut fahaman triniti. Hal ini kerana, orang nasrani memulai doa-doa mereka dengan menyebut Tuhan bapak, Tuhan anak dan roh kudus.

 

Makanya Islam datang, membantah mereka bahawa Allah yang maha esa, walaupun nama-namaNya banyak tetapi hanya nama dan sifat yang banyak bukan zat yang dinamai dan disifati itu.(Shihab:1/23)

 

Menurut TAHIR IBNU ASYUR pula, basmalah dengan ketiga kata yang menunjukkan kepada Allah telah dikenal jauh sebelum turunnya Al-Quran. Hal ini merujuk kepada firman Allah berikut;

 

Pertama; berkenaan nama Allah al-Rahman, Nabi Ibrahim pernah menggunakannya;

 

يَا أَبَتِ إِنِّي أَخَافُ أَنْ يَمَسَّكَ عَذَابٌ مِنَ الرَّحْمَنِ فَتَكُونَ لِلشَّيْطَانِ وَلِيًّا (45) - مريم

" Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka".

 

Kedua: penggunaan kata al-Rahim pula, digunakan oleh Nabi Ibrahim;

 

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (128) - البقرة

"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

No comments:

Post a Comment

BENARKAH ALI BIN ABI TALIB KATA SUNNAH ZIARAH KUBUR HARI RAYA?

  BENARKAH ALI BIN ABI TALIB KATA SUNNAH ZIARAH KUBUR HARI RAYA? Sebelum ini admin sudah dedahkan bagaimana Jabatan Mufti Negeri Sembilan se...