Wednesday, August 3, 2022

SURAH AL-BAQARAH 178-179

 

SURAH AL-BAQARAH 178-179

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنْثَى بِالْأُنْثَى فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ذَلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَى بَعْدَ ذَلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ (178) وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (179)

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya * Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 178

AYAT 179

 

Di jelaskan sifat orang yang benar-benar bertakwa, iaitu mereka perlu mempunyai sifat kebertanggungjawaban terhadap orang-orang yang susah. Ia merupakan cara untuk mewujudkan masyarakat yang baik. Yang semua ini berasaskan kepada keimanan kepada Allah.

 

 

Di jelaskan hukuman qisas untuk berhadapan dengan manusia yang tidak bertanggungjawab dalam hubungan kemasyarakatan. Ia juga mengandungi maksud mahu mencapai keamanan di dalam bermasyarakat.

 

 

[1] Dalam pada manusia beriman kepada Allah yang menjadikan mereka ada sikap kebertanggungjawaban, sesuatu yang tidak boleh dinafikan, terdapat dari kalangan manusia itu yang mereka ada sifat memusuhi sesama manusia, sehingga golongan yang kuat menindas kepada golongan yang lemah.

 

Dalam kalangan yang lemah pula, apabila ada dari kalangan mereka yang dibunuh, mereka berdendam. Mereka mencari peluang untuk membalas dendam tersebut. Jika tidak dapat membunuh si pembunuh, maka akan dibunuh kepada keluarga si pembunuh. Apabila keadaan ini terus berlaku, sudah pasti keamanan tidak akan tercapai.

 

Dengan sebab itu, Allah mendatangkan ayat berkenaan dengan hukum Qisas.

 

[2] Hukuman Qisas yang ditawarkan oleh Allah ini adalah bersifat membalas terhadap bentuk jenayah yang dilakukan oleh penjenayah, terhadap sesama orang merdeka, sesame hamba dan sesame Wanita.

 

[3] Walaupun hukuman Qisas dikenakan kepada penjenayah, tetapi semua itu berada dalam kuasa keluarga mangsa, sama ada untuk dijatuhkan hukuman kepada si penjenayah atau dilepaskan.

 

Dengan itu, Allah mencadangkan agar keluarga mangsa bunuh lebih memilih memberi maaf berbanding dikenakan hukuman.

 

[4] Apabila diberikan kemaafan, penjenayah tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Makanya, mereka perlu membayar diyat kepada keluarga mangsa.

 

[5] keringanan ini diberikan oleh Allah sebagai gambaran sifat rahmat yang Allah berikan kepada umat Nabi Muhammad saw yang tidak terdapat dalam ajaran Nabi-nabi sebelum ini.

 

[6] Namun begitu, keringanan yang diberikan tidak bermakna manusia boleh bermudah-mudah. Makanya, jika mereka melanggar aturan yang telah ditetapkan oleh Allah, mereka tetap akan dikenakan azab, sama ada berbentuk hukuman di dunia dengan proses perundangan; ataupun mereka akan mendapat azab pedih di akhirat kelak; ataupun kedua-duanya sekali.

 

[7] Bagi orang yang mempunyai akal yang jernih serta ada kebijaksanaan (ulul albab), mereka akan tahu bahawa Qisas adalah cara untuk menyelamatkan nyawa ramai manusia.

 

[8] Jika dihayati secara mendalam, pasti pembunuh tidak akan ulangi jenayah; ataupun orang lain akan merasa gerun dan takut dari melakukan jenayah bunuh.

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

 

[1] Ayat ini diturunkan setelah nabi hijrah ke Madinah, dan sebelum tercetus perang Badar, iaitu sebelum tahun ke-2 hijrah.

 

 Memandangkan ayat ini diturunkan di Madinah, sudah pasti terdapat keperluan kepada hukum. Antara hukum yang Allah wajibkan ketika itu adalah Qisas. Dengan itu tidak hairan Allah muliakan ayat dengan seruan: “Wahai orang-orang yang beriman”

 

[2] Ayat ini diturunkan sebelum turunnya firman Allah:

 

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ (190) - البقرة

“Berperanglah kamu di jalan Allah terhadap orang yang memerangi kamu, dan jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas”

 

[3] Menurut IBNU ASYUR, sebelum Allah berbicara tentang serangan luar terhadap Madinah, antara perkara yang penting perlu dijaga adalah keamanan di dalam negara yang melibatkan sesama warganegara.

 

Dengan sebab itu, sebelum tercetus perang Badar yang merupakan serangan dari luar Madinah, Tuhan turunkan terlebih dahulu ayat yang berkaitan dengan keamanan dalaman Madinah, antaranya adalah dengan kewujudan hukuman Qisas. (Asyur:2/134)

 

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى

 

[1] Yang dimaksudkan dengan كتب adalah DIWAJIBKAN. Digunakan perkataan كتب yang asal maknanya adalah كتابة, iaitu menulis.

 

Menurut Usaimin, maksud كتب dari konteks ayat adalah sesuatu yang sabit yang tidak boleh dikompromikan lagi. Sabitnya itu bersifat pasti. Contohnya seperti firman Allah;

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ (282) - البقرة

Wahai Orang beriman, apabila kamu berhutang kepada suatu masa tertentu maka hendaklah kamu tulis. (Usaimin:2/295)

 

Imam Al-Qurtubi menukilkan satu pendapat yang lemah yang menyatakan bahawa maksud dengan كتب adalah tercatat di Luh Mahfuz. (Qurtubi:3/64)

 

 [2] Asal makna perkataan القصاص  berasal dari perkataan قص yang bermaksud mengikut jejak yang telah dilalui. Dalam Surah al-kahfi ayat 64;

 

قَالَ ذَلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ فَارْتَدَّا عَلَى آثَارِهِمَا قَصَصًا (64)

Nabi Musa berkata: "Itulah yang kita kehendaki "; merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka"

 

Bermakna dari sudut bahasa Arab, perkataan Qisas adalah mengikuti kesan yang lalu. Justeru makna Qisas dari sudut istilah syara' adalah, dikenakan hukuman kepada penjenayah seperti mana yang dilakukan kepada orang lain.

 

Iaitu jika penjenayah itu meninggalkan kesan luka, maka dia perlu dikenakan luka yang sama; jika dia meninggalkan kesan patah, maka dia perlu dikenakan patah yang sama; jika dia meninggalkan kesan mati, maka dia dikenakan hukuman mati yang sama. (Qurtubi:3/64)

 

[3] Amalan Qisas, iaitu bunuh balas adalah sesuatu yang sudah diamal dalam masyarakat Arab sejak sekian lama. Ia tidak dijadikan sebagai sesuatu hukum rasmi. Dengan sebab itu, pertumpahan darah berlaku sehingga tidak tercapai keamanan.

 

Lalu Islam datang, menjadikan ia sebagai undang-undang rasmi. Ia tidak boleh dilaksanakan kecuali perlu melalui proses undang-undang. Ia diasaskan kepada iman. Dengan sebab itu, dimulakan ayat dengan يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ

 

Dengan cara begini, mewujudkan masyarakat yang baik dapat dilaksanakan. (Hamka:1/408)

 

[4] Menurut HAMKA, apabila dimulakan dengan يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ, bermakna ia tidak boleh dilaksanakan kecuali dengan proses SYURA.

 

Bermaksud, proses pelaksanaan hukuman itu masih lagi berorientasi kepada penentuan ahli keluarga, tetapi segala keputusan itu bukan dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu mengikut proses perundangan dan dibuat keputusan melalui proses penghakiman. (Hamka:1/408)

 

[5] Hukum Qisas, ia adalah satu undang-undang yang telah wujud di dalam amalan Taurat. Firman Allah;

 

وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنْفَ بِالْأَنْفِ وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ فَمَنْ تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (45)

“Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” [Surah Al-Mâ'idah: 45]

 

[6] Asal sebab turun ayat ini adalah, di Madinah terdapat kejadian di mana Yahudi Bani Quraizah yang jika ada seseorang dari kalangan mereka yang membunuh seseorang Yahudi Bani Nadhir, maka dikenakan hukuman bunuh balas. Tetapi, apabila orang Yahudi Bani Nadhir membunuh orang Yahudi Bani Quraizah, maka hanya sekadar membayar DIYAT sahaja.

 

Tindakan sebegini tidak adil. Justeru, turun ayat ini untuk menyeru agar membuktikan bahawa Islam mengajar kesamaan yang merupakan salah satu asas bagi keadilan. (Ibn Kathir:1/489)

 

[7] Hukum bunuh yang dinyatakan dalam ayat ini adalah bunuh yang dilakukan dengan sengaja. Jika bunuh yang dilakukan dengan tidak sengaja, itu dijelaskan dalam surah Al-Maidah.

 

الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنْثَى بِالْأُنْثَى

 

[1] Buya Hamka ada menukilkan penjelasan AL-BAIDHAWI bahawa di zaman jahiliyah pernah terjadi pertumpahan darah di antara dua buah persukuan Arab.

 

Yang satu kabilahnya kuat dan yang satu lagi lemah. Apabila salah seorang dari anggota kafilah kuat  dibunuh oleh individu dari kabilah yang lemah, lantaran berasa diri kuat, kabilah yang kuat akan bersumpah mahu membalas dendam; akan bunuh balas terhadap orang merdeka, biarpun yang terbunuh dari kalangan mereka hanya seorang hamba; Walaupun yang terbunuh dari kalangan mereka seorang perempuan, mereka akan minta ganti nyawa dengan seorang lelaki. (Hamka:1/407)

 

Justeru dengan ayat ini, konsep keadilan diperkenalkan dengan unsur persamaan; orang merdeka dengan orang yang mereka, hamba dengan hamba, perempuan dengan perempuan.

 

[2] AL-SYA'BI menyatakan bahawa ayat ini diturunkan berkaitan dengan perbalahan berlaku antara dua kelompok Arab dalam kalangan orang Ansar. Salah satu kaum itu berkata: pasti kami akan membunuh orang yang merdeka jika ia membunuh hamba, pasti kami akan membunuh lelaki jika ia membunuh perempuan.

 

Walaubagaimanapun riwayat yang dikemukakan ini tidak sabit. (Asyur:2/138)

 

[3] DAKWAAN MANSUKH

 

PERTAMA: IBN MUSAYYIB, AL-NAKHAIE, AL-SAURI DAN ABU HANIFAH

 

Ibn Abbas menyatakan bahawa hukum yang termaktub di dalam ayat ini adalah MANSUKH dengan ayat 45 dari Surah Al-Maidah yang menyatakan hukuman Qisas tidak dibataskan status dan jantina. Ini pendapat yang dikemukakan oleh Sa'id bin al-musayyab, Al-Nakhaie, al-Sauri dan Abu Hanifah.

 

KEDUA: AL-QURTUBI DAN IBN ATIYYAH

 

Namun pendapat ini dibantah oleh Ibnu Atiyyah dan Al-Qurtubi dengan menyatakan bahawa ayat 45 Dalam surah Al-Maidah itu merujuk kepada hukuman yang berlaku dalam kalangan Bani Israel. Justeru ia tidak wajar dijadikan sebagai PENASAKH kepada hukum yang sabit di dalam syariat Islam. (Asyur:2/138)

 

[4] ORANG MERDEKA BUNUH HAMBA

 

PERTAMA: JUMHUR

 

Ayat ini menyatakan bahawa hukuman Qisas itu berlaku jika orang merdeka membunuh orang merdeka. Dengan itu, jika orang merdeka membunuh hamba, maka orang merdeka itu tidak dikenakan hukuman Qisas. Ini adalah pendapat Jumhur ulama.

 

Alasan mereka adalah hamba adalah barang yang boleh dijual beli sahaja. Justeru, hukumnya adalah sama seperti berinteraksi dengan barangan yang dijual beli.

 

KEDUA: MAZHAB HANAFI

 

Pendapat ini dibantah oleh mazhab Hanafi. Pada mereka, orang merdeka yang membunuh hamba tetap dikenakan hukuman Qisas juga. Mereka memegang kepada umum lafaz Dalam surah Al-Maidah ayat 45. Ini juga adalah pendapat imam al-Sauri, Ibn Abi Laila dan Daud.

 

Begitu juga dijatuhkan hukuman bunuh balas kepada tuan yang membunuh hambanya. Ini adalah pendapat al-Bukhari, Ali bin al-Madini dan Ibrahim Al-Nakhaie. Hujah mereka adalah bersandarkan kepada hadis;

 

عَنْ سَمُرَةَ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «مَنْ قَتَلَ عَبْدَهُ قَتَلْنَاهُ، وَمَنْ جَدَعَ عَبْدَهُ جَدَعْنَاهُ» - ابو داود, 4515

"Barangsiapa yang membunuh hambanya, kami akan jatuhkan hukuman mati padanya. Barangsiapa yang memotong hidung hambanya, kami akan jatuhkan hukuman potong hidungnya juga" (Abu Daud, hadis no: 4515)

 

[5] QISAS ANTARA MUSLIM – KAFIR

 

PERTAMA: JUMHUR

 

Jumhur ulama berpendapat bahawa orang Islam tidak dijatuhkan hukuman Qisas jika membunuh orang kafir. Mereka berpegang kepada sabda Nabi;

 

وَلاَ يُقْتَلُ مُسْلِمٌ بِكَافِرٍ – البخاري, 111

"Orang Islam tidak boleh dibunuh dengan sebab membunuh orang kafir" (al-Bukhari, hadis no: 111)

 

KEDUA: MAZHAB HANAFI

 

Pendapat jumhur ini dibantah oleh mazhab Hanafi dengan alasan berikut;

A.                  Dalam Surah al-Maidah ayat 45, dijelaskan bahawa hukuman Qisas bersifat umum, tanpa dibataskan anutan agama.

 

B.                  Hadis ini bersifat Ahad. Justeru, tidak boleh bercanggah dengan Al-Quran. Makanya, dia ambil hukum Al-Quran dan ditinggalkan hadis Ahad tersebut. (Kathir:1/490)

 

[6] QISAS ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN

 

PERTAMA: AL-HASAN DAN ‘ATA

 

Al-Hasan dan 'Ata mengatakan bahawa lelaki tidak dikenakan hukuman Qisas jika membunuh perempuan. Alasan mereka adalah dengan merujuk kepada ayat ini: وَٱلۡأُنثَىٰ بِٱلۡأُنثَىٰۚ

 

Al-Lais pula menyatakan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah, suami tidak boleh dijatuhkan hukuman Qisas jika membunuh isteri.

 

KEDUA: JUMHUR

 

Pendapat ini dibantah oleh jumhur ulama dengan merujuk kepada ayat ke 45, dalam surah Al-Maidah dan sabda Nabi;

 

الْمُسْلِمُونَ تَتَكَافَأُ دِمَاؤُهُمْ – ابو داود, 2751

“Orang Islam itu darah mereka terjamin”. (Kathir:1/490)

 

Usaimin ada menjelaskan bahawa, Kalau dilihat kepada zahir ayat, kita akan katakan bahawa tidak dikenakan Qisas kepada lelaki yang membunuh perempuan. Pentaksiran sebegini ditolak, kerana terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh al-bukhari (2413), bahawa seorang lelaki Yahudi dikenakan hukuman qisas kerana telah membunuh seorang hamba perempuan. (Usaimin:2/301)

 

Al-Bukhari meriwayatkan—daripada Anas bin Malik:

 

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ يَهُودِيًّا رَضَّ رَأْسَ جَارِيَةٍ بَيْنَ حَجَرَيْنِ، قِيلَ مَنْ فَعَلَ هَذَا بِكِ، أَفُلاَنٌ، أَفُلاَنٌ؟ حَتَّى سُمِّيَ اليَهُودِيُّ، فَأَوْمَأَتْ بِرَأْسِهَا، فَأُخِذَ اليَهُودِيُّ، فَاعْتَرَفَ، «فَأَمَرَ بِهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرُضَّ رَأْسُهُ بَيْنَ حَجَرَيْنِ» - البخاري, 2413

“Seorang yahudi kepit kepada seorang hamba perempuan dengan dua batu. Ditanya kepadanya: siapa yang buat kamu begini? Apakah fulan dan fulan? Sehingga dia menyebut nama yahudi tersebut. Perempuan itu menggelengkan kepalanya. Lalu dibawa lelaki yahudi terbabit dan dia mengakuinya. Maka Nabi saw pun menyuruh agar kepalanya dikepit dengan dua batu”

 

[7] QISAS ANTARA ORANG RAMAI DAN SEORANG

 

PERTAMA: MAZHAB EMPAT

 

 Orang ramai tidak boleh dikenakan hukuman Qisas jika mereka membunuh seorang. Ini adalah pendapat jumhur ulama termasuk imam mazhab empat.

 

Hujah mereka adalah merujuk kepada perkataan Saidina Umar berkenaan dengan seorang hamba yang telah membunuhnya seramai tujuh orang. Kata Saidina Umar:

 

لَوِ اشْتَرَكَ فِيهَا أَهْلُ صَنْعَاءَ لَقَتَلْتُهُمْ - البخاري, 6896

“Andai seluruh penduduk San'a berpakat membunuhnya, sudah pasti aku akan membunuh mereka semuanya”

 

Tidak diketahui pada zaman itu seorang sahabat pun yang membantah tindakan dan perkataan Saidina Omar tersebut. (Kathir:1/490)

 

Begitu juga tindakan Saidina Ali yang telah membunuh satu jemaah dalam kalangan orang khawarij kerana mereka telah membunuh Abdullah bin Khabbab. (Zahrah:535)

 

KEDUA: AHMAD BIN HANBAL

 

Pendapat ini dibantah oleh sebilangan ulama yang menyandarkan kepada pendapat Ahmad bin Hambal, iaitu mengatakan orang ramai tidak boleh dikenakan hukuman Qisas jika membunuh seorang.

 

Antara yang menyokong pendapat ini adalah Muadz, IBN al-Zubir, Abdul Malik bin Marwan, al-Zuhri, Muhammad bin Sirin dan Habib bin Abi Thalib. (Kathir:1/490)

 

فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ

 

[1] Ayat ini membuktikan bahawa, keluarga mangsa bunuh diberikan dua pilihan;

 

A.                       Sama ada dia boleh bersetuju untuk si pembunuh dijatuhkan hukuman mati; ataupun,

B.                       Dia boleh memberi kemaafan kepada si pembunuh.

 

Dalam perkataan yang lain, seorang pembunuh hakikatnya telah meletakkan nyawanya berada di dalam kekuasaan keluarga mangsa bunuh. Terpulang kepada keluarga mangsa bunuh untuk memastikan pembunuh itu hidup atau mati. (Sya'rawi:747)

 

Firman Allah;

 

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَمَنْ قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِفْ فِي الْقَتْلِ إِنَّهُ كَانَ مَنْصُورًا (33)- الإسراء

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas.

 

[2] Di dalam ayat menggunakan perkataan اخيه yang membawa maksud saudaranya (atau: adik beradik), walhal pembunuh itu bukan ada hubungan kekeluargaan pun dengan keluarga mangsa bunuh. Di sini menjadi dalil, saudara di dalam Al-Quran memberi maksud pelbagai;

 

A.                  Saudara seagama, seperti firman Allah;

 

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (10) – الحجرات

“Orang mukmin itu bersaudara”

 

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (103) ال عمران

“Ingatlah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu. Dulu kamu bermusuh, lalu Allah kukuhkan antara hati-hati kamu, maka jadilah kamu dengan nikmatNya itu bersaudara”

 

B.                  Saudara sekeluarga, seperti al-quran menyebut berkenaan dengan adik-beradik Nabi Yusuf.

 

وَجَاءَ إِخْوَةُ يُوسُفَ فَدَخَلُوا عَلَيْهِ فَعَرَفَهُمْ وَهُمْ لَهُ مُنْكِرُونَ (58) - يوسف

“telah datang saudara yusuf”

 

C.                  Saudara senegara, seperti apa yang dinyatakan dalam ayat ini.

 

[3] Dalam ayat digunakan perkataan اخيه--saudaranya, walhal ia merujuk kepada si pembunuh. Ini memberi maksud, Tuhan mahu keluarga mangsa bunuh melihat kepada si pembunuh itu seperti adik beradiknya sendiri. Dengan itu akan lahir perasaan mahu memberi maaf dan tidak berdendam.

 

Menurut Syeikh Sya'rawi, seakan-akan Allah mahu menggalakkan kepada keluarga mangsa agar memberi maaf kepada si pembunuh dengan tidak melupakan persaudaraan keimanan. Dalam perkataan yang lain, Allah menggalakkan agar kita mendahulukan persaudaraan keimanan berbanding persaudaraan darah. (Sya'rawi:748)

 

[4] Setelah keluarga mangsa memberi maaf, maka tugas Hakim adalah menerima pemberian maaf yang telah diberikan oleh keluarga mangsa. Maka itu maksud فَٱتِّبَاعُۢ بِٱلۡمَعۡرُوفِ.

 

Setelah itu, Allah mewajibkan وَأَدَآءٌ إِلَيۡهِ بِإِحۡسَٰنٖۗ, iaitu si pembunuh hendaklah membayar DIYAT kepada keluarga mangsa.

 

Diyat itu, wajib dibayar kepada keluarga mangsa. Hal ini disebut dalam Al-Quran;

 

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَنْ يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَأً وَمَنْ قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُسَلَّمَةٌ إِلَى أَهْلِهِ إِلَّا أَنْ يَصَّدَّقُوا فَإِنْ كَانَ مِنْ قَوْمٍ عَدُوٍّ لَكُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ وَإِنْ كَانَ مِنْ قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيثَاقٌ فَدِيَةٌ مُسَلَّمَةٌ إِلَى أَهْلِهِ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةً مِنَ اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا (92)- النساء

Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar "diyat" (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar "diah" (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. [Surah An-Nisâ': 92]

 

Dalam ayat ini secara terang Allah berkata: وَدِيَةٞ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰٓ أَهۡلِهِۦٓ إِلَّآ أَن يَصَّدَّقُواْۚ, iaitu diyat itu diserahkan kepada keluarga mangsa. Pihak kerajaan tidak mempunyai sebarang hak terhadap diyat tersebut kecuali jika disedekahkan oleh keluarga mangsa.

 

[4] Ulama berbeza pendapat kadar bayaran diyat;

a.                      Imam Syafii menetapkan diyat bagi seorang lelaki Muslim yang merdeka adalah 100 ekor unta.

 

b.                      Imam Malik menyatakan kadar di hati tu salah satu dari tiga perkara; unta, emas atau perak.

 

Imam ibnu al-Munzir menyatakan dia seorang lelaki Muslim yang merdeka adalah 100 ekor unta, itu adalah ketetapan pada setiap zaman. Hal ini kerana melihat apa yang telah difardukan oleh Rasulullah. (Qurtubi:3/85)

 

[5] SHIHAB menyatakan bahawa, apabila ada perkataan فَٱتِّبَاعُۢ بِٱلۡمَعۡرُوفِ, membuktikan bahawa agama tidak memaksa kepada keluarga memberi maaf, kerana pemaafan yang dipaksakan adalah satu keburukan. (393)

 

ذَلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ

 

[1] Apabila Tuhan mengatakan "rahmat" dalam ayat ini, ia memberi maksud bahawa sistem ini ditawarkan untuk melahirkan persaudaraan yang kuat serta mewujudkan masyarakat yang baik.

 

[2] Ibnu Katsir pula menafsirkan, yang dimaksudkan dengan keringanan dari Allah adalah kewujudan sistem diyat. Hal ini tidak wujud dalam syariat nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad. Berkata Ibn Abbas;

 

كتب على بني اسرائيل القصاص في القتلى ولم يكن فيه العفو

Allah wajibkan kepada Bani Israel hukuman Qisas dalam kesalahan pembunuhan tanpa ada pada mereka kemaafan. (Kathir:1/491)

 

Menurut Syeikh Sya'rawi, dalam Taurat, ada hukuman bunuh balas tetapi tidak ada hukuman diyat. Dalam Injil pula, tidak ada hukuman bunuh balas dan tidak ada hukum Diyat. Dalam syariat Islam pula, kedua-dua hukum ini wujud. Ini menjadi dalil bahawa Islam adalah agama yang sempurna dan merangkumi. (Sya'rawi:750)

 

[3] Kata Usaimin, orang Yahudi mewajibkan Qisas. Iaitu apabila seseorang itu telah membunuh, lalu hukuman yang dikenakan kepadanya adalah bunuh balas tanpa sebarang kompromi lagi.

 

Hal ini berbeza dengan syariat Islam. Iaitu walaupun telah sabit kesalahan membunuh, tetapi hukuman yang dikenakan kepadanya tidak bersifat mandatori, bahkan masih lagi terbuka peluang untuk dimaafkan. Maka itu yang dimaksudkan “takhfif” dan “rahmat”, iaitu keringanan dari Allah dalam pada tidak menafikan kewujudan hukum.  (Usaimin:2/298)

 

فَمَنِ اعْتَدَى بَعْدَ ذَلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ (178)

 

[1] Maksud اعتدى adalah, jika setelah hukuman ditetapkan oleh pihak Hakim, tiba-tiba ada pihak yang melanggar segala keputusan, seperti;

 

a.                       si pembunuh tidak membayar DIYAT kepada keluarga mangsa, atau;

 

b.                       Setelah keluarga mangsa memaafkan dalam mahkamah, tetapi tetap membunuh kepada si pembunuh di luar mahkamah, atau;

 

 

c.                        Keluarga mangsa membunuh juga setelah mendapat Diyat, atau;

 

d.                       Si pembunuh mengulangi lagi amalan membunuh selepas diberikan kemaafan dan pembayaran diyat. (Asyur:2/144)

 

Segala tindakan sebegitu akan menyebabkan mereka mendapat azab yang pedih di akhirat kelak.

 

Kata Buya Hamka, Tuhan menawarkan azab yang pedih itu kerana tindakan tersebut adalah jalan-jalan merosak perdamaian. (Hamka:1/410)

 

Dalam surah yang lain Allah ada menyatakan bahawa Allah berdendam dengan orang yang mengulangi perbuatan setelah Allah memberikan kemaafan. Firman Allah:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنْتُمْ حُرُمٌ وَمَنْ قَتَلَهُ مِنْكُمْ مُتَعَمِّدًا فَجَزَاءٌ مِثْلُ مَا قَتَلَ مِنَ النَّعَمِ يَحْكُمُ بِهِ ذَوَا عَدْلٍ مِنْكُمْ هَدْيًا بَالِغَ الْكَعْبَةِ أَوْ كَفَّارَةٌ طَعَامُ مَسَاكِينَ أَوْ عَدْلُ ذَلِكَ صِيَامًا لِيَذُوقَ وَبَالَ أَمْرِهِ عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ وَمَنْ عَادَ فَيَنْتَقِمُ اللَّهُ مِنْهُ وَاللَّهُ عَزِيزٌ ذُو انْتِقَامٍ (95)  - المائدة

Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa. [Surah Al-Mâ'idah: 95]

 

[2] Al-Razi menyatakan bahawa, orang Yahudi menganggap bahawa hukuman bunuh adalah bunuh balas tanpa mereka mempunyai hukuman diyat. Orang nasrani pula, mereka tidak mempunyai hukuman qisas dan diyat. Orang Islam mempunyai kedua-duanya sekali; iaitu dikenakan hukuman qisas, selama tidak diberikan kemaafan dari keluarga mangsa bunuh. Jika diberikan kemaafan, pembunuh terlepas dari hukuman mati, dan wajib baginya membayar DIYAT kepada keluarga mangsa bunuh.

 

Justeru, apabila Allah menyatakan dalam ayat: "barangsiapa yang melampaui daripada itu" ia memberi maksud, sama ada mereka mengikut cara Yahudi (melaksanakan hukuman qisas tanpa ada diyat) atau mengikut cara nasrani (tidak melaksanakan kedua-duanya sekali), maka itu termasuk dibawah maksud dalam ayat ini. (Razi:5/60)

 

[3] Hasan Basri ada menceritakan, bahawa seorang lelaki pada zaman jahiliyah telah membunuh seseorang, lalu dia lari balik kepada kaumnya. Kaumnya itu datang berjumpa dengan kaum mangsa bunuh. Lalu mereka berunding sehingga mencapai kata sepakat untuk membayar diyat.

 

Keluarga mangsa bunuh bersetuju untuk menerima diyat. Kemudian dari itu, pembunuh pula dibunuh oleh keluarga mangsa bunuh. (Qurtubi:3/87)

 

[4] Dalam ayat menyebut: فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ, yang termasuk maksud azab yang pedih adalah azab yang dikenakan semasa di dunia.

 

Dalam perkataan yang lain, jika mereka masih lagi mengulangi amalan jenayah membunuh, ketika itu diserahkan kepada pemerintah untuk dijatuhkan hukuman kepada penjenayah tersebut. Pemerintah perlu melaksanakan hukuman yang lebih berat, yang selaras dengan pendekatan maqasid Syariah. (Asyur:2/144)

 

[5] Para ulama berbeza pendapat berkenaan dengan keluarga mangsa membunuh juga selepas dia dibayar diyat;

 

a.                       Imam Syafi'i dan imam Malik berpendapat, keluarga mangsa bunuh hendaklah mengikut proses hukuman bunuh, iaitu perlu dibuktikan bahawa membunuh dengan sengaja, kemudian diberi peluang kepada keluarga untuk dimaafkan atau menerima diyat. Azabnya akan diterima di akhirat kelak

 

b.                       Qatadah, Ikrimah dan al-Suddiy mengatakan bahawa dia hendaklah dikenakan hukuman bunuh. Tidak ada ruang lagi bagi Hakim untuk memberi kemaafan.

 

c.                        Hasan Basri mengatakan, hendaklah dipulangkan semula diyat. Azab yang pedih akan dikenakan di akhirat kelak.

 

d.                       Omar bin Abdul Aziz menyatakan, hal itu hendaklah dikembalikan kepada kebijaksanaan pemerintah. (Qurtubi:3/88)

 

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ

 

[1] Allah menjelaskan maqasid di sebalik pelaksanaan hukuman Qisas, iaitu menyelamatkan banyak nyawa. Iaitu berapa ramai orang yang mahu membunuh terhenti dari membunuh kerana takut dijatuhkan hukuman bunuh. (Kathir:1/492)

 

Menurut SHIHAB, Semut pun melawan jika kehidupannya terancam, kalau perlu dan mampu, ia akan membunuh yang berusaha membunuhnya. Kalau demikian sikap semut, tentu lebih-lebih lagi manusia. Kerana itu semua peraturan perundangan mentoleransikan pembunuhan yang dilakukan oleh siapa pun yang mempertahankan kehidupannya.

 

Di sisi lain, semua masyarakat menyiapkan senjata, paling tidak untuk mempertahankan kehidupannya.  Dalam perkataan lain, manusia ingin mempertahankan hidupnya walaupun dengan membunuh. (Shihab:1/395)

 

[2] SHIHAB kata, perkataan الألباب adalah kata jamak bagi perkataan لب, iaitu SARI PATI bagi sesuatu. Contohnya adalah kacang yang kulitnya menutup ISI. Isi kacang itu disebut sebagai لب.

 

Justeru, SHIHAB menafsirkan maksud اولوا الألباب adalah orang-orang yang memiliki akal murni yang tidak diselubungi kulit, iaitu kabut idea yang dapat melahirkan kerancuan dalam berfikir. (Shihab:1/179)

 

Ibn kathir pula kata, Maksud dengan Ulul Albab adalah orang yang mempunyai akal dan pemahaman serta kesedaran yang terhasil dari pengalaman. (Kathir:1/492)

 

Abu Zuhrah pula menyatakan bahawa الالباب adalah orang yang mempunyai pemahaman akal bukan semata-mata pada perkara yang zahir sahaja, bahkan mengetahui hakikat yang ada pada sesuatu perkara. (Zuhrah:540)

 

Al-Razi pula menyatakan bahawa yang dimaksudkan Ulul Albab adalah orang yang mempunyai akal dalam memahami akibat dan implikasi sesuatu perbuatan. (Al-Razi:5/62)

 

[3] Apabila Tuhan memanggil: “Wahai Ulul Albab”, ia adalah suruhan agar manusia yang mempunyai akal berfikir secara mendalam dan merenung terhadap pelaksanaan hukuman Qisas. (Asyur:2/145)

 

Tanpa berfikir secara mendalam, orang akan menganggap bahawa hukuman Qisas sebagai cara menyelamatkan nyawa adalah tidak munasabah. Hal ini kerana hukuman Qisas adalah dengan membunuh yang sudah pasti melibatkan kepada kehilangan nyawa, sedangkan ayat ini menyatakan dengan hukuman qisas akan memberikan nyawa (kehidupan) kepada manusia. (Usaimin:2/305)

 

Membunuh bagi pesalah adalah satu nyawa. Ia dilakukan di khalayak ramai agar yang lain merasa takut untuk melakukan pembunuhan. Justeru, hikmah disebalik qisas adalah menghilangkan satu nyawa demi menyelamatkan banyak nyawa yang lain. Ini dibawah maksud melakukan mudharat yang kecil demi mengelak dari berlaku mudarat yang lebih besar.

 

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (179)

 

[1] Allah mengkaitkan ketakwaan dengan pelaksanaan hukuman Qisas. Ia memberi maksud, usaha untuk mencapai keamanan adalah salah satu dari amalan orang yang bertaqwa. Orang yang tidak berusaha ke arah pelaksanaan keamanan, status ketaqwaannya itu diragui.

 

Menurut HAMKA, untuk mencapai keamanan, perlu kepada dua:

a.                  undang-undang negara

b.                  membina ketaqwaan pada diri individu rakyat.

 

Justeru, HAMKA tafsirkan maksud taqwa di sini pada makna yang (b). (Hamka:1/411)

 

[2] Ada pula mendapatkan yang dimaksudkan dengan “mudah-mudahan kamu bertakwa”;  perkataan taqwa di sini merujuk kepada takut, iaitu mudah-mudahan kamu takut untuk mengulangi atau melakukan hukuman jenayah.

 

[3] Usaimin menyatakan bahawa takut membunuh dan dibunuh juga adalah salah satu tuntutan ketakwaan. (Usaimin:2/305)

 

PENGAJARAN

 

[1] Hukuman Qisas adalah hukuman yang sudah diamalkan dalam masyarakat Arab jahiliah, bahkan turut disyariatkan dalam syariat taurat dan Injil. Islam datang hanya meneruskan pengamalan sedia ada, tetapi dengan ditawarkan satu sistem yang tersusun terhadap pelaksanaan hukuman Qisas tersebut.

 

[2] Allah mencadangkan kepada keluarga mangsa bunuh bahawa memberi maaf kepada si pembunuh. Jika dilihat di dalam banyak ayat Al-Quran, memberi maaf itu amat terpuji di sisi Allah.

 

وَإِنْ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ إِلَّا أَنْ يَعْفُونَ أَوْ يَعْفُوَ الَّذِي بِيَدِهِ عُقْدَةُ النِّكَاحِ وَأَنْ تَعْفُوا أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَلَا تَنْسَوُا الْفَضْلَ بَيْنَكُمْ إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (237)  - البقرة

“Kamu memberi maaf, itu lebih hampir dengan ketaqwaan”

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوًّا لَكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ وَإِنْ تَعْفُوا وَتَصْفَحُوا وَتَغْفِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (14) – التغابن

Jika kamu maaf, memberi keluasan dan memberi keampunan, maka sesungguhnya Allah adalah tuhan yang maha pengampun lagi maha penyayang”

 

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (134) – ال عمران

Orang yang memaafkan manusia, Allah suka kepada orang yang muhsinin

 

وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِثْلُهَا فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ (40) – الشوري

“barangsiapa yang maaf dan membuat baik, balasannya terletak pada Allah.

 

[3] Apabila Allah menyatakan: “barangsiapa yang memberi kemaafan kepada saudaranya”, sedangkan perkataan “saudaranya” itu merujuk kepada pembunuh, sedangkan membunuh adalah dosa besar; ini menjadi dalil bahawa pelaku dosa besar tidak menjadi kufur. Jika kufur sudah pasti tidak dipanggil sebagai "saudaranya". (Usaimin:2/302)

 

[4] Kata imam Al-Qurtubi, para imam sepakat bahawa tidak boleh dilaksanakan hukuman Qisas oleh seseorang tanpa melalui proses pemerintahan. (Qurtubi:3/89)

 

[5] Hukum bunuh yang hendak dilaksanakan kepada pesalah yang sabit kesalahan, imam Abu Hanifah menyatakan bahawa hukuman itu hendaklah dilaksanakan dengan menggunakan pedang.

 

Mengikut pendapat majoriti ulama, hukuman yang dikenakan itu mengikut cara yang pelaku lakukan kepada mangsa bunuh. Jika dia membunuh dengan cara memukul, maka hendaklah dilaksanakan hukuman bunuh itu dengan cara memukul sama. (Masir:1/104)

No comments:

Post a Comment

IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI

  IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI   وَالْحَقُّ كَمَا قَالَ شَيْخُ الْإِسْلَامِ ابْنُ تَيْمِيَةَ:   إِنَّ كُلًّا مِنَ الدَّلِيل...