oleh: Dr. Umar Muhammad
Persoalan
ini sering ditanyakan kepada saya, iaitu siapakah perawi yang dimaksudkan oleh
Imam al-Syafii dalam ucapan beliau "seorang thiqah memberitahu saya (أخبرنا الثقة)" dalam buku-bukunya?
Jawapan
untuk persoalan ini pernah saya muatkan dalam buku saya yang bertajuk Fiqh
Hadith Imam al-Syafii. Berikut adalah ringkasannya:
1. Beberapa
pendapat telah diajukan untuk menjelaskan maksud al-Syafii di sini. Satu
pendapat mengatakan bahawa perawi yang dimaksud adalah Yahya bin Hassan. Ada juga yang mengatakan: Ahmad bin Hanbal. Dan
beberapa pendapat lainnya.
2.
Sesetengah ulama mengkaitkan maksud al-Syafii di sini dengan perawi yang berada di atasnya.
Jika al-Syāfi‘ī meriwayatkan daripada seseorang daripada Al-Laith bin Sa'ad, maka
orang yang dimaksud itu ialah Yaḥyā
bin Ḥassān.
Jika beliau
meriwayatkan daripada al-Awzā‘ī,
maka orang itu ialah 'Amr bin
Abī Salamah.
Jika
daripada Ibn Abī Dhi'b,
maka orang itu ialah Muhammad
bin Muslim bin Abī Fudayk.
Jika
daripada Ibn Jurayj,
maka beliau ialah Muslim bin
Khālid.
Jika dari Ṣālih Mawlā Taw’amah dan Usāmah bin Zayd, maka
beliau adalah Ibn Abī Yaḥyā.
Jika
daripada Ḥumayd dan Yūnus
bin 'Ubayd, maka beliau ialah Ismā‘īl bin 'Ulayyah.
Jika
daripada Ma'mar,
maka beliau dalah Muṭarrif bin
Māzin.
Jika
daripada al-Zuhrī,
maka beliau ialah Sufyān bin
'Uyaynah. (Tadrib al-Rawi).
3. Kaedah
di atas memang teliti namun sukar dibuktikan. Secara amnya, kita tidak dapat
memastikan maksud al-Syāfi‘ī melainkan jika beliau menyebutkan secara jelas
nama tokoh tersebut dalam tempat yang lain, atau hadith berkenaan diriwayatkan
secara tafarrud oleh tokoh tertentu sahaja.
4. Oleh
yang demikian, ulama yang
paling menguasai pemikiran al-Syafii, iaitu Imam al-Bayhaqi, mengatakan
bahawa perawi yang dimaksud al-Syafii dapat dikenalpasti pada sesetengah
tempat, namun pada sesetengah yang tempat lain tidak diketahui melainkan dengan
sangkaan yang tiada bukti (إلا بظن غير مقرون بعلم).
5. Tāj
al-Dīn al-Subki dalam Tabaqat al-Syafiiyah berkata: "Apabila membaca kitab
Musnad al-Syāfi‘ī bersama Syeikh kami Abū ‘Abdillah al-Ḥāfiẓ (yakni
al-Dhahabī), aku selalu menanyakan perkara ini kepada beliau. Sesetengah hadith
dapat dipastikan bahawa ia adalah riwayat Yaḥyā bin Ḥassān, sebagaimana yang
selalu dimaksudkan. Sebahagian yang lain, dapat dipastikan riwayat Ibn Abī
Yaḥyā. Namun banyak juga hadith lain yang tidak dapat dipastikan
maksudnya."
6. Menurut saya, pandangan al-Bayhaqi, al-Subki, dan al-Dhahabi ini lebih kuat kerana dibina di atas istiqra.
No comments:
Post a Comment