Thursday, March 31, 2022

ORANG DIPOTONG TANGAN DI ERA NABI SEBAB MENCURI

 ORANG DIPOTONG TANGAN DI ERA NABI SEBAB MENCURI

 

Menurut al-Qurtubi, hukuman potong tangan bagi pencuri adalah hukuman yang sudah berjalan pada zaman jahiliyyah lagi. Orang yang mula-mula sekali dikenakan hukuman tersebut pada zaman jahiliyyah adalah al-Walid bin al-Mughirah. Ia diteruskan pada zaman Islam.

 

Orang yang dipotong tangannya disebabkan kesalahan mencuri pada hayat Nabi Muhammad SAW adalah al-Khiyar bin ‘Adi bin al-Naufal bin Abd Manaf, Murrah binti bin Sufyan bin Abd al-Asad dari Bani Makhzum. Pada zaman Abu Bakar al-Siddiq menjadi Khalifah, beliau pernah memotong tangan pencuri seorang lelaki dari negeri Yaman. Ia diteruskan juga pada zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab yang memotong tangan pencuri bernama Ibn Samurah. 

 

(Al-Qurtubi, Abu Abd Allah Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakar bin Farh al-Ansari al-Khazraji Shams al-Din (671 H), al-Jami’ li Ahkam al-Quran, jld 6, hlmn 160, Dar al-Kutub al-Misriyyah, kaherah, tarikh : 1964 – 1384)

 


Saturday, March 26, 2022

BATAL WUDUK DENGAN SEBAB SENTUH ZAKAR?

BATAL WUDUK DENGAN SEBAB SENTUH ZAKAR?

 

PENDAPAT PERTAMA:


Batal wuduk jika sentuh kemaluan. Ini adalah pendapat MAZHAB SYAFIE dan HANBALI.

 

Hujah-hujah mereka adalah seperti berikut:

 

[a] Hadis—daripada Busrah binti Safwan berkata bahawa dia dengar Nabi saw bersabda:

 

مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

“Barangsiapa yang sentuh zakarnya, maka hendaklah dia berwuduk” (Abu Daud, hadis no: 181)

 

ISTIDLAL: Dalam hadis ini, nabi saw suruh berwuduk apabila menyentuh zakar. Justeru, mereka simpulkan bahawa sentuh zakar boleh menyebabkan wuduk batal.

  

[b] hadis—Abdullah bin Umar berkata:

 

إِذَا مَسَّ أَحَدُكُمْ ذَكَرَهُ فَقَدْ وَجَبَ عَلَيْهِ الْوُضُوءُ

“Apabila seseorang kamu memegang zakarnya, maka wajib dia berwuduk” (Muwatta’, hadis no: 129)

 

ISTIDLAL: kewajipan berwuduk apabila menyentuh zakar disebut oleh sahabat Nabi, iaitu Abdullah bin Umar.

 

PENDAPAT KEDUA: TIDAK BATAL


Ini adalah pendapat Mazhab HANAFI.

 

Hujah mereka adalah merujuk kepada hadis—daripada Qais bin Talq, dari bapanya yang bernama Talq bin ‘Ali berkata:

 

 سَأَلَ رَجُلٌ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيَتَوَضَّأُ أَحَدُنَا إِذَا مَسَّ ذَكَرَهُ؟ قَالَ: " إِنَّمَا هُوَ بَضْعَةٌ مِنْكَ أَوْ جَسَدِكَ

“Seseorang lelaki bertanya Rasulullah saw, apakah perlu seseorang kami berwuduk apabila menyentuh zakar? Jawab nabi: zakar itu adalah salah satu entity dari badan (jasad) kamu” (Muwatta’, hadis no: 16286)

 

ISTIDLAL: Hukum asal adalah tidak batal kecuali ada nas yang sahih dan sarih kata batal. Hadis ini membuktikan bahawa sentuh zakar tidak membatalkan wuduk.

 

Walaubagaimana pun, bagaimana pula dengan hadis-hadis yang dijadikan sandaran dalam mazhab yang mengatakan batal wuduk pula?

 

Dihujahkan seperti berikut:

 

Pertama, hadis Abdullah bin Umar itu bukan perkataan Nabi, tetapi kenyataan Abdullah bin Umar. menandakan ia bukan wahyu. Justeru, hadis itu tidak valid untuk dijadikan sandaran bahawa batal wuduk dengan sebab sentuh zakar.

 

Kedua, hadis Talq bin ‘Ali menyatakan illat hukum, iaitu tidak batal wuduk itu, illat hukumya adalah zakar itu adalah salah satu entity jasad manusia juga. Adapun hadis Busrah binti Sofwan, ia tidak dinyatakan illat hukum.

 

Dalam metode Usul al-Fiqh mazhab Hanafi, apabila bertembung antara hadis yang ada illat dengan hadis yang tidak ada illat, maka didahulukan hadis yang ada illat.

 

Dalam hal ini, hadis tidak batal wuduk itu ada illat. Maka, diambil hadis yang ada illat.

 

Apatah lagi, hadis Busrah itu terbuka kepada penakwilan. Hal ini kerana, suruha berwuduk kerana sentuh zakar itu boleh sahaja dianggap suruhan sunat, bukan bermaksud batal wuduk; ataupun seperti takwilan sebilangan ulama mazhab maliki yang menyatakan bahawa suruhan itu melibatkan kepada sentuhan zakar yang boleh menaikkan syahwat. Dalam erti kata yang lain, batal wuduk itu bukan kerana sentuhan, tetapi factor syahwat ekoran sentuhan dan sebagainya.

 

Bagi pendapat Ibn Taimiyyah pula, sentuh zakar tidak membatalkan wuduk. Namun, terlebih utama berwuduk juga.

 

SENTUH FARAJ BAGI WANITA

 

Apabila dalam hadis menyatakan sentuh zakar yang membatalkan wuduk, bagaimana pula hukum perempuan menyentuh farajnya?

 

PERTAMA, tidak terdapat satu al-Quran dan hadis secara sarih menyatakan hukum wuduk bagi wanita menyentuh kemaluan.

 

KEDUA, apabila tidak ada nas sarih, makanya diserahkan kepada ijtihad ulama.

 

Dalam kalangan ulama, terdapat dua pendapat berikut;

 

PENDAPAT PERTAMA: BATAL WUDUK PEREMPUAN YANG SENTUH FARAJNYA.

 

Hujah mereka adalah kembali kepada kaedah bahawa hukum perempuan sama dengan hukum lelaki kecuali ada nas khusus bagi wanita dalam menyatakan sebaliknya.

 

Dalam erti kata lain, hukum wanita sentuh farajnya adalah batal wuduknya, sama seperti lelaki menyentuh zakarnya kerana faraj dan zakar adalah sama-sama kemaluan.

 

PENDAPAT KEDUA: TIDAK BATAL.

 

Ini pendapat Hanafi dan Suhnun (salah seorang ulama dalam Mazhab maliki).

 

Pendapat ini menyatakan, hukum berkenaan penentuan batal wuduk adalah ta’abbud. Justeru, kekalkan hukum tidak batal kecuali ada nas secara khusus menyebut batal.

 

Yang pasti, tidak ada nas khusus menyebut bahawa perempuan menyentuh kemaluan itu batal wuduk. Makanya, disimpulkan bahawa wanita sentuh faraj tidak membatalkan wuduknya.

 

Maksud dengan faraj dalam perbincangan ini adalah pada halaqah faraj. Hukumnya sama dengan menyentuh halaqah dubur.

 

Friday, March 25, 2022

PERAWI MAJHUL

 PERAWI MAJHUL

 

Dalam tradisi pengajian ilmu hadis, rawi yang majhul adalah seorang perawi yang tidak dikenali. Ia dilihat pada empat jenis:


a.                  Mubham, iaitu seseorang perawi yang tidak diketahui langsung namanya. Seperti contoh, seseorang murid itu berkata: “telah berkata guruku”. Tidak diketahui, apa nama gurunya itu.


b.                  Majhul al-Ain, iaitu seseorang perawi yang ada namanya ada dalam mana-mana kitab hadis, tetapi didapati muridnya hanya seorang sahaja, serta tidak ada sebarang komentar dari ulama hadis terhadapnya.


c.                   Majhul al-Hal, iaitu seseorang perawi yang namanya ada disebut dalam mana-mana kitab hadis, tetapi muridnya hanya dua orang sahaja, tanpa seorang ulama hadis memberi komentar terhadap dirinya.


d.                  Mastur, iaitu seseorang perawi yang sama dengan majhul al-Hal, tetapi orang hanya menyebut sifatnya yang zahir sahaja, tanpa disebut sifatnya yang batin.

 

Maksud sifat yang zahir, seperti sekadar menyebut Namanya dan bapanya, tanpa dijelaskan tahap kekuatan hafalannya, status amalan solehnya, dengan siapa dia belajar; semua hal-hal yang menjadi perbahasan para ulama rijal.


Perawi majhul dalam jenis (a) dan (b), tidak dapat dibuat hujah serta tidak layak untuk dijadikan syawahid dan mutaba-ah. Namun, perawi majhul dalam jenis (c) dan (d) boleh dibuat mutaba-ah dan syawahid.

Wednesday, March 23, 2022

TAFSIR SURAH AL-BAQARAH: 176

 TAFSIR SURAH AL-BAQARAH: 176

 

 ذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ نَزَّلَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِي الْكِتَابِ لَفِي شِقَاقٍ بَعِيدٍ (176)

“(Segala balasan yang buruk) itu adalah dengan sebab Allah telah menurunkan Kitab dengan mengandungi kebenaran (tetapi mereka berselisih padanya); dan sesungguhnya orang-orang yang berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat petunjuk hidayah Allah)”

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 176

AYAT 175

 

Al-Kitab itu adalah benar. Tidak patut didiamkan dan tidak disampaikan.

 

Azab dahsyat diberikan kepada orang alim yang menyembunyikan kandungan al-Kitab.

 

 

PENJELASAN AYAT

 

[1] Allah menjelaskan asas dan punca sebenar mereka kena azab adalah bermula dari berpecah.

 

Manusia berpecah berpunca dari tidak mengetahui kebenaran. Manusia tidak tahu kebenaran berpunca dari orang Alim yang tidak jujur dengan pengetahuannya, sama ada dia selewengkan kebenaran atau sembunyikan kebenaran itu.

 

[2] Secara tidak langsung, tersirat makna bahawa kerosakan di dunia seperti peperangan; antara faktornya adalah tidak tahu cerita sebenar.  Antara faktornya adalah, apabila orang yang tahu tidak mahu memberitahu.

 

ذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ نَزَّلَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ

 

Apa sahaja yang tuhan turunkan berbentuk kitab yang membawa kebenaran, sama ada al-Quran, taurat, Injil dan sebagainya; semua ini tidak boleh disembunyikan.

 

LUGHAH

 

Perkataan ذلك بأن—perkataan باء itu adalah سببية yang memberi maksud, ayat ini menjelaskan sebab dan punca atau TA’LIL mereka kena azab begitu dahsyat.

 

وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِي الْكِتَابِ لَفِي شِقَاقٍ بَعِيدٍ (176)

 

[1] Orang-orang alim ahli kitab adalah punca perpecahan, kerana mereka menyembunyikan kandungan al-Kitab yang sebenar.

 

Kalau mereka jujur dengan ilmu mereka, sudah pasti perpecahan antara Islam dan yahudi/Nasrani tidak berlaku.

 

[2] Dari konteks ayat, difahami bahawa maksud ikhtilaf dalam ayat bukan ikhtilaf yang melibatkan penafsiran terhadap al-Kitab, tetapi ikhtilaf yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah berkenaan maklumat kebenaran yang disembunyikan menyebabkan manusia berpecah (Ikhtilaf); iaitu kelompok yang ikut Islam dan kelompok kekal dalam ajaran ahli kitab.

 

Menurut Usaimin, termasuk IKHTILAF yang dimaksudkan ayat adalah berpunca dari takwil-takwil yang batil sehingga jauh dari maksud yang dikehendaki oleh Allah.

 

LUGHAH

 

[1] Perkataan شقيق diterjemahkan sebagai BERPECAH. Asal maknanya adalah pisah yang bermula dari satu menjadi dua. Dalam hadis, digunakan perkataan شق yang dikaitkan dengan pelepah tamar; bermaksud membelah satu pelepah tamar sehingga menjadi dua belah.

 

Dalam hadis—daripada Ibn Abbas:

 

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَبْرَيْنِ، فَقَالَ: «إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ، وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ» ثُمَّ أَخَذَ جَرِيدَةً رَطْبَةً، فَشَقَّهَا نِصْفَيْنِ، فَغَرَزَ فِي كُلِّ قَبْرٍ وَاحِدَةً، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، لِمَ فَعَلْتَ هَذَا؟ قَالَ: «لَعَلَّهُ يُخَفِّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا» - البخاري, 218

 

[2] Asal makna بعيد adalah jauh. Namun, dalam ayat digabungkan perkataan شقاق بعيد yang diterjemah harfiyyah—perselisihan yang jauh.

 

Hal ini bermaksud, perselisihan mereka tidak dapat didekatkan lagi—gambaran perselisihan yang amat ketara.

 

PENGAJARAN

 

 

[1] Kekhilafan berlaku ini banyak factor. Antaranya adalah (a) dalam menafsirkan sesuatu kandungan ayat. (b) berlaku usaha sembunyikan kebenaran. (c) kalau dalam tradisi islam, sesuatu status hadis itu berbeza pendapat ulama dalam menentukan statusnya. Dalam Ayat ini, dijelaskan manusia berpecah yang amat ketara apabila ada pihak yang menyembunyikan kebenaran.

 

[2] Dari sini, perlu dibezakan antara dua perkara; (a) hakikat kebenaran. (b) penafsiran manusia terhadap kebenaran.

 

Manusia perlu meraikan dalam hal melibatkan penafsiran terhadap kebenaran, tetapi bertegas pada hakikat kebenaran.

 

Dalam erti kata lain, manusia perlu bertegas berkenaan ayat al-Quran. Tetapi, hormati perbezaan penafsiran manusia terhadap al-Quran.


TAFSIR SURAH AL-BAQARAH: 175

 TAFSIR SURAH AL-BAQARAH: 175

 

أُولَئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِالْهُدَى وَالْعَذَابَ بِالْمَغْفِرَةِ فَمَا أَصْبَرَهُمْ عَلَى النَّارِ (175)

“Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (ugama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu”

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 175

AYAT 174

 

Walaupun mereka sembunyikan kebenaran, hakikat sebenarnya mereka sama seperti orang yang menyelewengkan juga; iaitu mencipta persepsi bahawa kebenaran itu sebagai batil; berpahala itu sebagai suatu dosa.

 

 

Dijelaskan berkenaan ahli ilmu yang tidak amanah dengan ilmu; iaitu mereka  sembunyikan kebenaran.

 

 

PENJELASAN AYAT

 

[1] Dalam sistem kehidupan manusia, setiap perbuatan mesti ada implikasinyaada akibatnya. Justeru, akibat atau implikasi menyembunyikan kebenaran adalah azab dan terhindar dari keampunan dosa dari Allah.

 

[2] Orang-orang alim dari kalangan ahli kitab, mereka sembunyikan kebenaran nabi saw demi keuntungan diri mereka. Dengan perilaku buruk ini, mereka layak mendapat azab.

 

أُولَئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِالْهُدَى وَالْعَذَابَ بِالْمَغْفِرَةِ

 

Memandangkan orang-orang alim ahli kitab sembunyikan kebenaran, mereka dianggap sebagai sama seperti orang yang membeli kesesatan dengan bayarannnya adalah petunjuk; membeli azab dengan bayaran keampunan dosa.

 

LUGHAH

 

[1] Perkataan اشتروا yang diterjemah sebagai MEREKA MEMBELI, tetapi maksudnya adalah MEREKA MEMILIH. Ia bermaksud, mereka MEMILIH KESESATAN BERBANDING PETUNJUK, MEREKA MEMILIH AZAB BERBANDING KEAMPUNAN DOSA.

 

Dalam kupasan USAIMIN, digunakan perkataan اشتروا adalah untuk menggambarkan orang yang membeli itu ada hasrat yang tinggi untuk memiliki sesuatu sehingga sanggup membayar. Dalam erti kata lain, mereka terlalu mengharapkan keuntungan dunia sehingga mereka sanggup memilih kesesatan berbanding petunjuk; sanggup memilih azab neraka berbanding keampunan dosa (syurga).

 

[2] Perkataan الضلالة bermakna sesat. Apabila disebut sesat, bermaksud tidak jumpa jalan sebenar; ataupun, tahu jalan sebenar, tetapi memilih untuk jalan yang tidak benar.

 

RASHID REDHA kata, Sesat juga diumpamakan orang buta yang berjalan tanpa sebarang petunjuk, sama ada tongkat atau orang yang memimpin. Orang alim ini umpama orang yang celik, tetapi telah dibutakan dengan hawa nafsunya.

 

Dalam erti kata lain, tindakan orang-orang alim dari kalangan ahli kitab yang sembunyikan kebenaran; bukanlah mereka tidak tahu kebenaran, tetapi mereka memilih tidak benar hanya kerana mereka mahu mendapat kemewahan dunia.

 

[3] Dalam ayat tuhan guna perkataan المغفرة—"keampunan dosa”. Ia adalah dalil bahawa orang alim yang jujur dalam menyampaikan kebenaran dan tidak sembunyikannya akan mendapat keampunan dosa dari Allah.

 

[4] Ayat menggunakan perkataan العذاب kepada mereka berdiam diri dari kebenaran. Bermaksud, dengan dia diam diri ketika orang memerlukan kebenaran, sebenarnya dia sudah menempah azab.

 

فَمَا أَصْبَرَهُمْ عَلَى النَّارِ (175)

 

Dalam ayat 174, Tuhan memberitahu  bentuk azab yang bakal diberikan kepada orang-orang alim Ahli kitab, iaitu wang yang mereka dapat dengan cara diam dari menyampaikan kebenaran; wang itu digunakan untuk membeli makanan; apabila mereka makan, hakikatnya mereka makan api neraka.

 

Dalam ayat ini pula, tuhan sindir mereka dengan menampilkan rasa kekaguman tuhan kerana kesanggupan mereka mahu menerima azab neraka sebegitu.

 

LUGHAH

 

[1] Dalam kupasan USAIMIN, perkataan فَمَا أَصْبَرَهُمْ; ما adalah تعجبية مبتداء sedangkan أَصْبَرَهُمْ adalah خبر

 

Apabila ia bermakna التعجبية yang boleh BUKU PIMPINAN AL-RAHMAN terjemahkan sebagai: “Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu”

 

AL-RAZI kata, ayat ini mengandungi maksud التوبيخ iaitu menggambarkan Allah kagum dengan kesanggupan mereka menerima azab.

 

Dalam erti kata lain, ia memberi maksud bahawa Allah MENYINDIR mereka memilih azab akhirat dengan menyembunyikan kebenaran.

 

PENGAJARAN

 

[1] Menjadi tanggungjawab orang berilmu bahawa dia menyampaikan ilmu serta menyebarkannya kepada umat.

 

[2] Orang jahil yang tersesa itu sudah merbahaya, bertambah merbahaya kita orang alim orang alim yang tersesat. Hal ini kerana, diam orant alim pun sudah memberi implikasi kesesatan umat ekoran tidak tahu kebenaran.

 

[3] Walaupun orang alim itu sembunyikan kebenaran, hakikat sebenarnya mereka menimbulkan kekeliruan manusia terhadap maksud agama; iaitu menampakkan kebatilan seakan-akan benar; perkara dosa seakan-akan berpahala.

 

Sunday, March 20, 2022

QIRAAT TUJUH

 Qiraat tujuh adalah 7 orang imam qiraat yang terkenal. Mereka adalah:

 

a.                  Abdullah bin ‘Amir

b.                  Ibn Kathir al-Makki

c.                   ‘Asim bin Bahdalah al-Kufi

d.                  Abu Amru al-Basri

e.                  Hamzah al-Kufi

f.                    Nafi’ al-Madani

g.                   Al-Kasaie al-Kufi

MUKHADRAM

 MUKHADRAM

 

Makna Mukhadramالمخضرم  di sisi ulama hadis sepertimana kata Ibn al-Solah adalah mereka yang sempat di era Jahiliyyah dan hayat hidup Nabi saw, lalu mereka memeluk islam tanpa mereka bersahabat (tidak berjumpa) dengan Nabi saw.

 

Saturday, March 19, 2022

BACA AL-QURAN DI KUBUR

BACA AL-QURAN DI KUBUR UNTUK KURANGKAN AZAB

 

Daripada Ibn Abbas: 


 مَرَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى قَبْرَيْنِ، فَقَالَ: "إِنَّهُمَا يُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا هَذَا فَكَانَ لَا يَسْتَنْزِهُ مِنَ الْبَوْلِ، وَأَمَّا هَذَا فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ، ثُمَّ دَعَا بِعَسِيبٍ رَطْبٍ فَشَقَّهُ بِاثْنَيْنِ، ثُمَّ غَرَسَ عَلَى هَذَا وَاحِدًا، وَعَلَى هَذَا وَاحِدًا، وَقَالَ: لَعَلَّهُ يُخَفَّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا"

 Nabi melintasi di dua kuburan lalu bersabda: "Sesungguhnya keduanya sedang diazab, dan keduanya tidak diazab kerana dosa besar. Adapun yang ini, dia tidak bersih dari kencing, sedangkan yang ini, kerana dia berjalan dengan namimah (batu api)"

 

Kemudian baginda menyuruh seseorang mengambil pelepah tamar yang basah, lalu dibelah menjadi dua, kemudian baginda menanamkannya pada kuburan ini dan menanamkan satunya pada kuburan yang satu lagi, dan baginda pun bersabda: "Semoga ia dapat meringankan keduanya selama ia belum kering”


Berlaku khilaf dalam kalangan ulama dalam hal membaca al-Quran atas kubur seperti berikut;


PENDAPAT PERTAMA: MEMBACA AL-QURAN DI KUBUR DAPAT KURANGKAN AZAB

 

Kata al-Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim:

 

واستحب العلماء قراءة القرآن عند القبر لهذا الحديث؛ لأنه إذا كان يرجى التخفيف بتسبيح الجريد فتلاوة القرآن أولى والله أعلم

“Ulama menggalakkan membaca al-Quran di samping kubur dengan sebab hadis ini, kerana apabila diharapkan ringan azab dengan sebab tasbih pelepah tamar, justeru bacaan al-Quran adalah lebih diharapkan lagi (diringankan azab).

 

Demikian juga, kata Qadhi Iyyadh dalam kitab Ikmal al-Muallim:

 

أخذ العلماء من هذا استحباب قراءة القرآن على الميت لأنه إذا خٌفِّف عنه بتسبيح الجريدتين وهما جماد، فقراءة القرآن أولى

“Ulama mengambil dari ini bahawa digalakkan membaca al-Quran terhadap mayat kerana apabila ia dapat mengurangkan azab dengan sebab tasbih dua belahan pelepah tamar, walhal kedua-duanya jamad, maka membaca al-Quran terlebih lagi boleh mengurangkan azab”.

 

Abu Bakar bin al-Khallal berkata dalam kitab al-Qiraah ‘Ala al-Qubur bahawa Al-Hasan bin al-Sobbah al-Za’farani berkata:

 

سألت الشافعي عن القراءة عند القبر فقال: لا بأس به

“Aku tanya Imam al-Syafie berkenaan membaca (al-Quran) di samping kubur. Jawab al-Syafie: tidak mengapa”

 

Dalam kitab al-Roh, al-Imam Ibn al-Qayyim ada berkata:

 

وقد ذكر عن جماعة من السلف أنهم أوصوا أن يٌقرَأ عند قبورهم وقت الدفن.

“Disebut dari Jemaah dari kalangan salaf bahawa mereka memberi wasiat agar dibacakan al-Quran di samping kubur mereka—di saat berlaku pengkebumian”

 

Dalam kitab yang sama, dinukilkan perkataan Abdul Haq al-Isybili:

 

يروى أن عبد الله بن عمر أمر أن يقرأ عند قبره سورة البقرة، وكان الإمام أحمد ينكر ذلك أولاً حيث لم يبلغه فيه أثر ثم رجع عن ذلك.

“Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Umar menyuruh bahawa dibacakan Surah al-baqarah di samping kuburnya. Dahulu, Imam Ahmad ingkar maklumat itu tidak sampai kepadanya. Apabila sampai, dia pun rujuk pendapatnya”

 

Antara hujah-hujah bagi pendapat ini adalah seperti berikut;

 

PERTAMA: Tidak dinafikan bahawa tidak ada satu nas yang sarih menyatakan bahawa bacaan al-Quran dapat mengurangkan azab orang dalam kubur.

 

Namun begitu, Konsep kurang azab dengan sebab syafaat Nabi sememangnya ada. Hal ini melihat kepada dikurangkan azab terhadap Abu Talib.

 

Dalil satu: daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah saw ada bersabda:

 

أَهْوَنُ أَهْلِ النَّارِ عَذَابًا أَبُو طَالِبٍ، وَهُوَ مُنْتَعِلٌ بِنَعْلَيْنِ يَغْلِي مِنْهُمَا دِمَاغُهُ

“Seringan azab ahli neraka adalah Abu Talib. Dia pakai sepatu dengan dua sepatu, lalu dengan sebab dua sepatu itu, otaknya bergelegak” (Muslim, hadis 212)

 

Dalil dua: Hadis daripada al-Nu’man bin Basyir bahawa dia mendengar Rasulullah saw bersabda:

 

إِنَّ أَهْوَنَ أَهْلِ النَّارِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَرَجُلٌ تُوضَعُ فِي أَخْمَصِ قَدَمَيْهِ جَمْرَتَانِ، يَغْلِي مِنْهُمَا دِمَاغُهُ

“Azab yang paling ringan untuk ahli neraka pada hari kiamat nanti adalah lelaki yang diletak dua kakinya pada bara api; dengan sebab dua kaki itu, otaknya bergelegak” (muslim, hadis no: 213)

 

Dalam hadis daripada al-Abbas bin Abd al-Muttalib berkata bahawa dia bertanya kepada nabi berkenaan Abu Talib. Jawab Nabi saw;

 

هُوَ فِي ضَحْضَاحٍ مِنْ نَارٍ، وَلَوْلاَ أَنَا لَكَانَ فِي الدَّرَكِ الأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ

“Dia berada di tepian neraka. Seandainya bukan kerana aku, dia tentu sudah berada di dasar neraka” (al-Bukhari, hadis no: 3883)

 

ISTIDLAL: Jika kurang azab terhadap orang bukan islam pun berlaku, sudah pasti kurang azab terhadap muslim juga boleh berlaku.

 

Kedua, terdapat dalil bahawa azab akan dikurangkan dengan sebab doa orang hidup terhadap orang mati.

 

 Antaranya adalah semasa menunaikan solat jenazah, diajar agar mendoakan terhadap si mati. Dalam hadis—daripada Auf bin malik berkata:

 

صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى جَنَازَةٍ، فَحَفِظْتُ مِنْ دُعَائِهِ وَهُوَ يَقُولُ: «اللهُمَّ، اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ - أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ -» قَالَ: «حَتَّى تَمَنَّيْتُ أَنْ أَكُونَ أَنَا ذَلِكَ الْمَيِّتَ»

Rasulullah saw menunaikan solat terhadap satu jenazah. Aku hafal doa baginda itu, iaitu baginda berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa-dosanya, kasihanilah ia, lindungilah ia dan maafkanlah ia, muliakanlah tempat kembalinya, lapangkan kuburnya, bersihkanlah ia dengan air, salji, dan air yang sejuk. Bersihkanlah ia dari segala kesalahan, sebagaimana Engkau telah membersihkan pakaian putih dari kotoran, dan gantilah rumahnya -di dunia- dengan rumah yang lebih baik -di akhirat- serta gantilah keluarganya -di dunia- dengan keluarga yang lebih baik, dan pasangan di dunia dengan yang lebih baik. Masukkanlah ia ke dalam syurga-Mu dan lindungilah ia dari siksa kubur atau siksa api neraka)." (Aku mendengar itu) sehingga aku merasakan seandainya aku sudah menjadi mayat”

 

ISTIDLAL: Kalau mendoakan kepada si mati adalah sia-sia, masakan ia diajar oleh Nabi saw. Ini bermakna, mendoakan kepada si mati agar dikurangkan azab itu boleh berlaku, termasuk bertabarruk dengan al-Quran semasa berdoa terhadap si mati.

 

PENDAPAT KEDUA: TIDAK ADA KONSEP BACA AL-QURAN DI SAMPING KUBUR

 

Ini adalah pendapat Abu Hanifah, Mazhab Maliki, Ibn Taimiyyah dan sebagainya.

 

Antara dalil-dalil mereka adalah seperti berikut;

 

PERTAMA: daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda:

 

لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

“Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Hal ini kerana Syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah” (Muslim, hadis no: 780)

 

ISTIDLAL: Nabi saw larang jadikan rumah sebagai kubur. Lalu dijelaskan, perbezaan antara kubur dan rumah adalah, rumah itu dibacakan al-Quran. Makanya, tidak ada membaca al-Quran di kubur.

 

KEDUA: Fiman Allah:

 

أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى (38) وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى (39) – النجم

Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain * Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”


IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI

  IBN TAIMIYYAH DAHULUKAN QATIE DAN ZANNI   وَالْحَقُّ كَمَا قَالَ شَيْخُ الْإِسْلَامِ ابْنُ تَيْمِيَةَ:   إِنَّ كُلًّا مِنَ الدَّلِيل...